Thursday, September 27, 2012

Pemuda PAS kongsi kemelut penjaga gol Terengganu




KUALA TERENGGANU:Kemelut yang melanda penjaga gol pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli turut dikongsi bersama Dewan Pemuda PAS negeri sebagai tanda sokongan moral kepada pemain tersebut.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut tersebut serta memberi suntikan semangat agar Sharbinee meneruskan karier dalam bidang bola sepak.

Katanya, sebagai pemain yang profesional Sharbinee perlu kuat semangat dan jadikan kemelut tersebut sebagai ujian bagi kemantapan diri.

“Kami, Pemuda PAS Terengganu datang untuk lawatan ziarah kepada Saudara Sharbinee yang sebelum ini pelbagai kemelut melanda penjaga gol (Terengganu) ini.

“Kita harap, dia kuat semangat sebagai pemain profesional, kemelut itu sebagai ujian dan jika ada rezeki Allah swt akan beri yang lebih baik, Insya Allah,” ujarnya ketika menziarahi Sharbinee di rumah ibunya di Kampung Pulau Duyung, semalam.

Hadir sama mengikut rombongan tersebut Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Ridhuan Hasyim, Setiasaha Pemuda PAS Terengganu, Mohamad Zaidan Abdullah dan Pengarah MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Sharbinee berkata tuduhan menjual perlawanan oleh pihak terbabit terhadapnya adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

“Saya sendiri yang pergi jumpa pihak SPRM minta siasat kes (jual perlawanan) ini setelah ada orang tuduh saya buat begitu…tapi saya tidak pernah buat seperti yang dituduh.

“Ini macam fitnahlah kepada saya dan saya tidak pernah buat perkara (jual perlawanan) itu. Saya telah bersihkan nama dan SPRM telah sahkan,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi tawaran untuk menyertai pasukan lain seperti Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain lagi.

Namun, kata beliau masih berfikir panjang dan sebaiknya masih mahu bersama pasukan Terengganu demi masa depan bidang tersebut.

Pada 18 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak bersalah atas tuduhan jual perlawanan dan kes ditutup.

(Gambar: Mohd Nor Hamzah menyampaikan hamper kepada Mohd Sharbinee.) 


SUMBER : HARAKAHDAILY

No comments:

Post a Comment