Tuesday, June 29, 2010

TUAN GURU NIK AZIZ: BERTASBIH TAPI MENGHALALKAN YANG HARAM


Di antara perkara yang sangat-sangat menggembirakan saya ialah apabila pimpinan PAS yang tidak mempunyai latar pendidikan agama yang tinggi (termasuk yang tidak berpendidikan formal dalam bidang agama) telah menunjukkan kemampuan dalam menghurai sesuatu dalam konteks Islam dengan begitu baik. Yakin sungguh di hati kecil saya, inilah kesan daripada perjuangan PAS yang dipimpin golongan ulama’.

Hasilnya, golongan dilihat telah mampu memahami dan menghuraikan aspek kehidupan dari perspektif Islam dengan jelas. Ia merupakan hasil didikan dan tarbiyah yang diperolehi di dalam PAS. Berbeza dengan Umno yang dilihat membekukan golongan ulama’. Jika tidak, mana mungkin sesuatu yang haram seperti judi, boleh dilesenkan sebagai halal.

Saya menyentuh begini kerana ada peristiwa menarik hati saya sewaktu penggulungan perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tempoh hari (9 Rejab 1431/22 Jun 2010). Ia adalah sidang kali ke-2 bagi tempoh penggal ketiga Dun Kelantan yang Ke- 12.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS menghuraikan falsafah solat begitu tepat sekali, walaupun tidak mendapat pendidikan agama yang tinggi secara formal. Jika boleh saya nukilkan kembali bagaimana YB Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong) menyebut betapa peliknya sesetengah Muslim yang sewaktu rukuk dan sujudnya menyebut tasbih meninggikan Allah SWT, tetapi di dalam masa yang sama menyokong judi dihalalkan.

Tidakkah terdetik di hati kecil mereka betapa salahnya apa yang mereka lakukan. Dahi sujud kepada Allah membisik tasbih, memuji Allah SWT dengan mengaku bahawa Allah SWT yang Maha Tinggi, tetapi di luar solat mengangkat tangan bersetuju dengan judi. Tidakkah terdetik rasa malu kepada Allah SWT?

Saya ingin menambah dalam coretan ringkas ini. Sebenarnya Kerajaan Umno/BN melesenkan judi untuk meraih pendapatan yang lebih. Dalam erti kata lain untuk mendapat kemakmuran. Sedar atau tidak, persoalan kemakmuran telah disebut jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Jika saya diberi peluang berkuliah kepada pimpinan Umno, ingin sekali saya membaca ayat daripada Surah Al A’raf, ayat 96 yang bermaksud:

...Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya...

Sudikah kiranya pemimpin Umno yang beragama Islam mengambil sedetik dua masa untuk menelaah ayat ini? Jika sudi, perhatikanlah bagaimana janji Allah untuk melimpahkan segala macam berkat hanya apabila manusia beriman dan bertakwa.

Kemakmuran ialah satu keberkatan. Kemakmuran bukannlah bermakna kemewahan semata-mata. Hidup kaya raya tetapi hati susah bukan makmur namanya. Negara mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kesan terhadap sosial dan kehidupan rakyat jelata begitu teruk. Itu bukan makmur namanya. Sedangkan kami di Kelantan percaya bahawa keberkatan itu ada kaitan erat dengan ketakwaan kepada Allah SWT, dan atas asas inilah kami memperkenalkan dasar Membangun Bersama Islam yang berteraskan prinsip Ubidiah, Masuliah dan Itqan.

Sayangnya, pimpinan Umno pada hemat saya gagal atau langsung tidak mahu memahami ayat al-Quran di atas. Barangkali, jika masih ada golongan ulama’ yang berminat mahu berada di dalam kubang Umno, saya hanya mampu untuk bersimpati.

Friday, June 25, 2010

Menziarahi Isteri Ustaz Ibrahim

Ustaz Ibrahim berbaju hijau ditengah

Beberapa orang AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Perak telah berkesempatan menziarahi Puan Hidayah, isteri Ustaz Muhammad Zulkifli Zakaria yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim di Taman Samudera, Seri Manjung kelmarin 24/6/2010. Ustaz Ibrahim telah ditahan di Lapangan Terbang Cairo Mesir lebih 2 minggu lalu semasa dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah berada di sana selama sebulan untuk urusan menyambung pengajian diperingkat Master.
Difahamkan isteri beliau tidak dimaklumkan mengenai penahanan tersebut dan terpaksa pulang ke Malaysia dengan 2 orang anak
yang berusia 4 dan 2 tahun dan menunggu berita Ustaz Ibrahim selama beberapa hari di KL.

Berbagai usaha telah dilakukan untuk mengetahui kedudukan Ustaz Ibrahim,namun sehingga kehari ini masih belum ada berita mengenainya. Ada yang mengatakan Ustaz ditahan di penjara bawah tanah dan ini amat menyedihkan isteri beliau memandang kepanasan di Mesir sekarang ini.

Dewan Muslimat Negeri Perak menuntut pembebasan Ustaz Ibrahim yang nyata dilakukan ada dasar "takut kepada bayang-bayang sendiri". Kerajaan Malaysia juga diminta untuk melindungi hak rakyat negara ini dengan sewajarnya, bukan sekadar lepas tangan bila melibatkan "mereka-mereka" yang tidak sehaluan dengan mereka.
Negara telah dibuktikan dengan pembebasan aktivis kemanusiaan Mavi Marvara yang ditahan dipenjara Israel dapat dibebaskan dengan campurtangan yang bersungguh-sungguh dari kerajaan...

Difahamkan juga, semua dokumen penting milik Puan Hidayah seperti kad pengenalan, buku dan kad bank berada di dalam beg Ustaz Ibrahim semasa beliau ditahan. Keadaan ini amat menyukarkan bagi Puan Hidayah. Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut telah diminta untuk bertindak membantu Puan Hidayah mengatasi masalah ini.


Turut hadir ialah Dr Najihatusaleha Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPP dan ketua serta muslimat DMPK Lumut.

Puan Zuhairah selaku Ketua Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan DMPP menyampaikan sumbangan kepada Puan Hidayah, isteri Ustaz Ibrahim.



Puan Zuhairah menyampaikan sumbangan DMPN kepada Puan Hidayah

Puan Hidayah mempunyai 2 orang anak berumur 4 dan 2 tahun

Antara muslimat Lumut yang turut berada di rumah Puan Hidayah

Puan Hidayah bersama teman2 yang menziarahi beliau

Saturday, June 19, 2010

TUAN GURU NIK AZIZ SARAN WANITA SOLAT JUMAAT

BACHOK, 19 Jun: Kompleks Masjid Daruttarbiyah bakal menyaksikan perubahan baru apabila kaum wanita disaran supaya menunaikan solat Jumaat seperti mana dilakukan kaum lelaki selepas siap pembinaannya kelak.

Saranan itu diutarakan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebenarnya sudah lama saya hendak tengok keadaan ini boleh dilakukan oleh wanita," katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Derma mengisi tabung kompleks masjid tersebut di Kampung Wakaf Zain, dekat sini, malam tadi.

Beliau berkata, keselesaan ruang masjid yang cukup luas mampu membawa kaum wanita untuk turut bersama menunaikan solat Jumaat.

"Saya cadangkan ruang bawah untuk orang perempuan dan di sebelah atas pula bagi orang lelaki masa sembahyang Jumaat," katanya.

Kompleks masjid tersebut mula dibina sejak Ogos tahun lalu di atas tapak seluas satu ekar yang dibeli dengan harga RM180,000 manakala pembinaannya menelan belanja sebanyak RM2 juta dan dijangka siap pada Ogos 2011.

Kos pembelian tapak serta binaan adalah daripada sumbangan orang ramai.

Masjid dua tingkat yang kini dalam 40 peratus pembinaan itu dibina secara bergotong royong melibatkan seluruh kepimpinan cawangan termasuk penghulu-penghulu mukim dan masyarakat tempatan.

Adun Tawang, Hassan Mahmood ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata, pembinaan kompleks masjid berkenaan dilengkapi dengan dewan mesyuarat dan seminar yang mampu menampung 200 peserta dan asrama.

"Kita berharap segala kemudahan yang melengkapi masjid ini seperti dewan dan sebagainya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam menjana generasi masa depan yang bakal mewarisi perjuangan ulama," katanya.

Friday, June 18, 2010

PR dicadang tetapkan tarikh pilihan raya awal


KOTA BHARU, 18 Jun: Empat negeri Pakatan Rakyat dicadangkan menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal iaitu semua pihak tahu bila pilihan raya akan diadakan tanpa perlu berteka-teki sebagaimana yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sekarang.

AJK PAS Pusat Datuk Husam Musa (gambar) dalam blognya berkata, langkah ini dibuat untuk memastikan semua keputusan bila pilihan raya hendak dibuat di negara ini dibincang dengan Pakatan Rakyat dan bukan hak eksklusif BN sahaja.

Apabila tarikh pilihan raya empat negeri Pakatan ditetapkan lebih awal, pihak kerajaan Pusat terpaksa membuat pilihan sama ada untuk membuat pilihan raya peringkat pusat berasingan atau berunding dengan Pakatan.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang memberitahu, tarikh pilihan raya hanya berada di tangan beliau.

"Beliau telah berjanji menjadikan tarikh pilihanraya sesuatu yang mengejutkan. Itu yang diucapkan beliau di Kelantan semalam," tulis Husam.

Bagi Husam, pilihanraya mengejut bertujuan memerangkap pembangkang dan mencari satu masa di mana pembangkang belum bersedia atau sedang mengalami pusingan ke bawah. Termasuk dengan media stage yang mereka atur.

"Jika itu janji Najib dan kita hanya mengikut, sekali lagi tangan UMNO berada lebih atas," katanya.

Katanya, padang permainan tak sama rata telah menguasai pilihanraya Malaysia sejak UMNO mewarisi negara ini dari penjajah.

Sebahagian sebab kemenangan UMNO/Perikatan dan UMNO/BN selama ini ialah kerana mereka menguasai semua instrumen penting untuk menjadikan proses pilihanraya sentiasa menyebelahi mereka.

Setiap dua kali pilihanraya, katanya, mereka mengubah sempadan pilihanraya ikut corak yang membolehkan mereka menang mudah dengan ramuan berubah-ubah peratusan Melayu-Cina-India dan beberapa faktor lain.

Kali ini, hingga kini, mereka tidak lagi boleh berbuat demikian kerana majoriti dua pertiga yang telah hilang buat pertama kalinya.

"Apa lagi unsur pilihanraya yang boleh diubah untuk menjadikan padang lebih sama dan rata? Bagaimana dengan tarikh pilihanraya?

"Jika Najib dengan berani menunjukkan bahawa beliau 'in command', apa pilihan kita untuk membolehkan Najib berfikir dua kali? Apa kata empat negeri Pakatan menetapkan tarikh pilihanraya DUN lebih awal?

"Sebelum Najib membubarkan Parlimen, kita mengumumkan tarikh pilihanraya kita sekarang," cadang Husam dalam tulisannya.

Menurut Husam, tak semestinya tarikh pilihanraya itu awal tetapi penetapan tarikhnya diumumkan awal.

Ini bermakna, tarikh pilihanraya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.

"Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan. Pilihanraya DUN dan Parlimen tidak berjalan serentak, kecuali mereka menjadualkan sama dengan jadual kita," katanya.

Husam berkata, apabila ini dilakukan, ada dua kemungkinan.

"Pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menetukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata. Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita.

"Namun, kita telah mulakan satu precedent baru iaitu tarikh pilihanraya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerentah semata-mata," katanya.

Tindakan begini bertujuan menghapuskan monopoli penentuan tarikh pilihanraya. Tindakan demokratik untuk kesaksamaan kepada semua pihak, tambah beliau.

Bagi Husam, pilihan tarikh itu boleh atas berbagai asas.

"Jika nak genapkan lima tahun, bermakna DUN empat negeri Pakatan hanya akan dibubarkan awal 2013. Jika empat tahun nak digunakan sebagai asas, DUN boleh dibubarkan pada awal 2012. Akhir 2012 boleh juga dipilih untuk memberikan masa yang cukup untuk negeri ini ditadbir tanpa terlalu banyak politiking pilihanraya.

"Paling penting, Najib perlu tahu, mengejut atau tidak, bukan beliau seorang sahaja berhak untuk tentukan," tegas Husam dalam tulisannya.

Wednesday, June 16, 2010

Keshvinder ‘tidur' masa PR perintah Perak

IPOH, 16 Jun: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Malim Nawar, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh yang mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan DAP dan menjadi Adun Bebas disifatkan sebagai membuka pekung sendiri.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Khalil Idham Lim (gambar) berkata, tindakan Keshvinder tersebut akibat menyedari tidak mampu menyelesaikan masalah serius rakyat di kawasannya sendiri sejak Mac 2008 lalu.

Katanya, selama menjadi Adun sewaktu Pakatan Rakyat memerintah, Keshvinder didakwa ‘tidur’ sehingga tidak tahu permasalahan yang berlaku di kawasannya.

"Saya tidak tahu apa yang dia lakukan sejak dia menjadi Adun sehingga rampasan kuasa, sehingga baru tahu ada orang susah di kawasannya selepas BN merampas kuasa.

"Sesudah 2 tahun lebih menjadi Adun baru dia mahu berlagak menjadi wakil rakyat di Dun yang dimenanginya. Sebelum ini dia ‘tidur’ sahaja," kata Idham Lim yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Rakyat Perak.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebelum ini, kata Idham Lim, memberi peruntukan sebanyak RM75,000 yang disalurkan melalui pejabat daerah dan dikendalikan kelulusannya oleh Adun termasuk Keshvinder, namun tidak tahu ke mana peruntukan wang tersebut disalurkannya.

Semalam, Keshvinder mengumumkan keluar parti pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang.

Beliau sebelum ini pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa ditawarkan wang tunai RM20 juta agar meninggalkan Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataan kepada media di luar pejabat SPRM pada hari itu, Keshvinder mendakwa, agen Datuk Seri Najib Razak, ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Perhubungan Umno Perak yang membuat tawaran itu.

"Dengan ini saya menegaskan bahawa tindakan Khesvinder tidak membawa masalah kepada Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat Perak terus utuh dengan gabungan yang mantap serta kesefahaman yang terus kami jalin terus bagi memastikan segala gerak kerja yang selama ini dirancang bersama untuk menumbangkan BN dalam pilihan raya akan datang diterus dan ditingkat dari masa ke semasa," kata Idham Lim yang juga Adun Titi Serong.

Tuesday, June 15, 2010

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2.

Thursday, June 10, 2010

Muktamar Muslimat lulus usul 30% jawatan untuk Muslimat

KOTA BHARU, 10 Jun: Muktamar Dewan Muslimat PAS hari ini meluluskan usul mendesak PAS Pusat membuat ketetapan di semua peringkat agar melantik 30 peratus daripada ahli Jawatankuasa kerjanya daripada kalangan muslimat.

Usul yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian, yang telah dipinda oleh lembaga penapis usul DMPP itu bersetuju dengan desakan itu demi untuk memberi pengiktirafan kepada muslimat yang mewakili separuh daripada pengundi dan separuh daripada rakyat Malaysia.

Ianya juga dipersetujui demi untuk menyahut resolusi Pakatan Rakyat 2009 dan Deklarasi Beijing.

Usul berkenaan dibacakan semula oleh Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Mumtaz Md Nawi, dengan pindaan.

Usul asal yang dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian antara lain berbunyi Dewan Muslimat mendesak PAS Pusat mewujudkan jawatan Naib Presiden 1V di peringkat PAS Pusat dan jawatan Timbalan Pesuruhjaya 1V di peringkat perhubungan PAS negeri dan dan Wilayah Persekutuan.

Terdahulu beberapa perwakilan muslimat dari kawasan berbeza pendapat mengenainya dengan ada yang menyokong dan ada yang membantahnya.

Antara yang menyokong usul asal perwakilan dari Padang Rengas, Dungun.

Namun ada juga beberapa perwakilan yang mewakili kawasan masing-masing turut menolak, antaranya Selangor, Rompin, Kelana jaya.

Perwakilan dari Rompin, yang menolak usul berkenaan berkata dengan jawatan yang banyak akan menyebabkan mereka tidak mampu untuk mengendalikannya.

Menurutnya, bersesuaian dengan dengan peranan muslimat yang telah diletakkan oleh Islam itu sendiri di mana mereka tidak boleh dijadikan imam solat secara bersama dengan muslimin dan berbagai lagi, amat wajar jawatan tertinggi di peringkat parti tidak diberikan kepada muslimat.

Lagipun, menurutnya jawatan lain telah diberi kelonggaran untuk pimpinan seperti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Senator dan wakil-wakil rakyat.

Bagaimanapun perwakilan dari Dungun, Terengganu pula memberitahu, kegagalan mengurus akibat tanggungjawab yang banyak kerana sikap individu mereka sendiri dan bukannya jawatan.

Katanya, untuk menerajui kepimpinan negara, muslimat amat wajar mengisi kerusi tersebut sebagai persiapan.

PEMUDA PAS BERANI KE NAK BUAT CAM MUSLIMAT???


Seorang perwakilan Muktamar Dewan Muslimat di Kota Baru hari ini melangkah hiasan bendera Amerika dan Israel sebagai tanda protes terhadap rejim Yahudi... Pemuda PAS yang nampaknya lantang berani ke buat begini????