Monday, July 18, 2011

Takziah untuk keluarga Dr Lo' Lo'

Dewan Muslimat PAS negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Dr Lo'lo Bt Dato' Mohd Ghazali. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam, setelah dua tahun menghidap penyakit kenser. Allahyarhamah merupakan kakak kepada Pn Zuhairah Bt Dato'Mohd Ghazali, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Perak. Pemergian Allahyarhamah sangat dirasai oleh ahli muslimat PAS negeri Perak terutama bagi kawasan Bukit Gantang, kerana pada pilihanraya umum yang ke 11(2004), beliau diberi tanggungjawab oleh PAS bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya, malah kekalahan yang pertama itu menjadi peransang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh kebelakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi pilihan -raya. Dr Lo'lo merupakan puteri kepada bekas mufti Perak, Dato' Mohd Ghazali Bin Abdullah, dan pernah belajar di Sekolah Raja Perempuan Taayah, Ipoh sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang. Beliau merupakan Mujahidah yang sangat kental hati dan berkeyakinan tinggi dalam perjuangan PAS, Perjuangan .Semasa hayatnya beliau pernah memegang jawatan sebagai timbalan ketua Dewan Muslimat Pas Pusat.Beliau ibarat permata yang tidak akan hilang kilauannya kerana jasa dan bakti beliau akan dikenang selama-lamanya. Kami Dewan Muslimat PAS Negeri Perak berdoa agar ALLAH menghimpunkan beliau dikalangan hamba yang soleh dan menerima keampunan dari Allah swt.

Ketua DMP Perak
Dr Hjh Najihatussalehah bt Ahmad.

Friday, July 15, 2011

Saya Selamat Bersama Orang PAS -Peserta Cina


Oleh Chen Shu Yong | 12 Jul 2011

BERSIH 2.0, Pengalaman Saya Siri 2

Pasca Bersih: Sebagai anak CINA, saya rasa lebih selamat bersama orang PAS

SEORANG pakcik yang berkopiah menuju ke arah saya, "Di manakah stadium?"

Saya menuding jari ke depan. Lantas beliau berjalan ke arah sana, tanpa sebarang keraguan. Saya merasakan diri saya amat tidak berguna pada ketika itu. Mengapa tidak saya bertindak sebagaimana pakcik itu? Berarak adalah hak kita. Mengapa pula saya takut? Saya tetap berdiri di situ, menyaksikan bagaimana orang tua itu dihalang polis, dan kemudian beliau terus berjalan ke depan.

Kemudian saya berjalan, dan terserempak dengan seorang polis muda. Beliau bertanya untuk apa saya berada di situ, saya sekadar jawab, tak ada, cuma jalan-jalan. Beliau menunjuk ke arah Jalan Sultan, mengarahkan saya beredar dari situ, atau saya akan ditangkap. Saya tahu beliau cuba menakutkan saya. Masih awal lagi, saya tidak mahu timbul hal, maka saya pun beredar.

Saya nampak sekumpulan orang di kedai KL Commercial Book Co., semacam orang PAS, maka saya berjalan menuju ke arah mereka. Pada hakikatnya, saya amat yakin dengan mereka. Saya rasa diri saya berselindung di dalam kelompok mereka pada ketika itu. Ya, saya rasa sangat selamat.

Pada kira-kira jam 12.20 tengah hari, kelompok di sini hanya kira-kira 20 orang. Tiba-tiba kami dengar jeritan orang, dan kami bergegas ke situ dan mendapati kira-kira 2,000 orang. Mereka muncul entah dari mana, sungguh ajaib! Tapi kami masih menganggap bilangan ini terlalu sedikit!

Pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, saya tak berapa ingat lagi. Kami nampak sekumpulan manusia menuju ke arah kami melalui Jalan Sultan, sambil melaungkan slogan. Bilangan mereka terlalu ramai berbanding kami. Ramai orang tua yang bertanya, PERKASA? Pemuda UMNO? Kami berdiri di situ dan memandang, gagal mendengar apakah yang dilaungkan.

Tiba-tiba, ada yang bertepuk tangan, berkata "Tengok, Cina ada, India ada, bukan PERKASA, bukan Pemuda UMNO, orang kita!" Kami bertepuk dengan gemuruh, berarak ke arah mereka untuk berkumpul bersama. Kami seolah-olah dapat membentuk pasukan kami, dan tidak lagi keseorangan atau kesepian.

"BERSIH! BERSIH! Hidup BERSIH!" Ribuan yang membanjiri Jalan Sultan. Orang berada di tengah dan di tepi jalan, warga tua dan warga muda. Maka kami terus berjalan, tidak memasuki jalan ke arah Stadium Merdeka. Saya sedar, bilangan kami masih tidak mencukupi. Kami menuju ke arah Pudu Raya, dan di situ telah dibanjiri lautan manusia yang lebih daripada 10 ribu.

Abang saya menghantar sms kepada saya, memberitahu bahawa pasukan di Hotel Hilton telah mula bertolak. Dengan serta-merta saya berkongsi maklumat ini dengan orang yang berada di sisi saya.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kami nampak satu pasukan yang lebih besar, kemas sususannya berarak dari arah Hospital Tung Shin. Kemudian, muncul lagi satu pasukan dari Kota Raya. Tidak berhenti kami bertepuk tangan. Kami menjerit sepuas-puasnya. Saya nampak ramai yang menakung air di matanya. Saya amat terharu. Saya kini berada di tengah-tengah belasan, malah puluhan ribu orang. Saya tidak kesepian, kami tidak kesepian!

Terharu kerana dibantu orang yang saya tidak kenal langsung!

Kami berkumpul di depan Menara MayBank. Saya tak dengar apa yang diucap pemidato. Tapi saya hanya seorang penyokong. Saya hanya menyorak bersama kelompok manusia, bertepuk tangan apabila semua orang berbuat demikian.

Kemudian saya mendapati trak FRU. Seorang warga tua, mungkin dari PAS, memesan agar saya undur dahulu. Tidak lama kemudian, FRU melepaskan gas pemedih mata, dan meriam air kimia yang berwarna biru. Saya rasa macam tersengit. Baunya sangat tidak menyenangkan. Orang di sisi saya (sahabat dari kaum lain) menuangkan air ke atas kepala saya. Ada seorang yang menyapu minyak angin di bawah kelopak mata saya. Ada pula yang memberi garam kepada saya.

Saya teringat, air mata saya mengalir pada ketika itu bukan disebabkan gas pemedih mata, tetapi mengalir kerana terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh orang-orang yang saya tak kenal ini.

Pada ketika itu saya nampak polis, kononnya, menangkap orang ramai di depan Menara MayBank. Ramai yang memanjat ke atas di cerun pada mulanya, kemudian mereka melompat dari tembok yang tinggi. Saya sangat marah ketika itu, kerana saya nampak ramai wanita dan warga tua. Dan mereka yang kononnya polis itu dicemuh dalam hati saya, "Bukan manusia!"

Saya berehat seketika. Saya menjangkakan bahawa orang ramai akan menuju ke Jalan Sultan. Maka, saya berjalan dahulu ke arah sana. Apabila berdekatan dengan KFC, hujan mulan turun. Seorang peserta yang tua berkata kepada saya, "Komunis pun tak macam ini!" Saya tercengang seketika, gagal memberi apa-apa jawapan....

Matlamat sama..

Pada sebelah malam, saya dimaklumkan bahawa kawan dari kaum Melayu amat terharu dengan kehadiran kami. Mereka berkata, "Itu kebanggaan kami apabila kamu muncul bersama. Kamu duduk belakang sikit, biar kami yang hadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan di depan!"

Nota:Akhirnya saya sedar, mengapa saya berselindung dalam kelompok orang PAS. Mereka membuktikan dengan tindakan mereka, itu yang membuatkan saya terharu dan berasa selamat. Lain kali, saya tetap akan bersama mereka, berada di garis depan, untuk menghadapi peluru (gas pemedih mata) dan keganasan.

Terima kasih, sahabat semua. Walaupun kita tidak berkenalan, tapi matlamat kita sama. Dan ini hanya boleh dirasai mereka yang hadir dalam perhimpunan.

Saya menyeru agar lebih ramai bangkit dari tidur, dan mereka yang sudah sedar, biarlah bertindak.

Diangkat dari

Thursday, July 14, 2011

Bersih 2.0: Pengalaman Khalid Samad ditembak


Pengalaman saya bersama Perhimpunan BERSIH 2.0 bermula pada jam 11 pagi apabila saya dengan seorang teman dari PAS Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya kami mencuba Lebuh Raya Persekutuan. Ianya sesak dari sebelum Tol Batu 3. Kami cuba pintas melalui Glenmarie. Trafik sesak di hadapan kilang pengedar kereta BMW. Kami memutuskan untuk berpusing balik dan mencuba pula melalui ELITE/PLUS menuju ke KLIA. Masuk di Batu 3, keluar di Tol USJ. Seterusnya menuju ke arah Puchong. Seterusnya kami menyusuri Jalan Gasing dan melalui kawasan Universiti Malaya sehingga keluar di Jalan Pantai. Dari situ terus menuju ke KL Sentral.

Sekatan jalan oleh polis di merata tempat. BN menyusahkan rakyat semata-mata kerana hendak menghalang program yang menegur mereka. Turut bersimpati dengan pihak polis, berpanas dan mendapat sumpahan rakyat berbakul-bakul semata-mata kerana UMNO/BN. Hanya pencuri dan BN yang bergembira dengan penggunaan polis secara sebegini. Tetapi, kalau difikirkan, memang terdapat persamaan di situ. Pencuri mencuri secara'illegal', BN mencuri harta rakyat melalui cara'legal'.

Setibanya kami di jalan Brickfields, saya turun di tepi jalan dan berjalan kaki menuju ke KL Sentral. Terserempak dengan sahabat bermotosikal dan membonceng ke hadapan kawasan KL Sentral. Berjalan kaki pula menuju ke Hotel Hilton yang berada di sebelahnya. Saya berjalan berhampiran beberapa anggota polis tetapi mungkin oleh kerana saya bertegur sapa seorang pelancong dari Australia dan bersembang sambil berjalan dengan beliau, mereka tidak perasan akan saya. Mungkin juga saya dianggap sebagai 'pemandu pelancong' ataupun tourist guide.

Saya masuk ke Hotel Hilton dan dari lobi, terus menuju ke atas untuk bersama pimpinan. DSAI telahpun berada di situ bersama Dato Ambiga dan Lim Kit Siang. Beberapa pimpinan PAS juga sudah di situ apabila saya sampai. TG Hj Abdul Hadi sampai pada jam 1 tengah hari. PC dibuat dan mereka menyatakan secara jelas apa itu BERSIH 2.0 dan matlamat yang ingin dicapai. PR juga menyatakan sokongannya terhadap BERSIH 2.0.

Selepas solat Zohor yang diimamkan TG Hj Abdul Hadi kami mula bergerak ke bawah. Sampai sahaja kami ke Lobi, pelanggan di restoran di kawasan Lobi hotel itu tiba-tiba berdiri dan menepuk tangan menunjukkan sokongan. Termasuk pelancong-pelancong yang mengikuti perkembangan Negara, mereka semua faham apa yang kami inginkan akan membawa kebaikan untuk Negara. Hanya UMNO tidak mahu faham kerana mereka lebih pentingkan kebaikan diri mereka sendiri!
Ada dikalangan pelanggan, bangun untuk turut bersama. Sambil menunggu tadi, mereka minum di restoran hotel, membawa business juga pada hotel tersebut nampak gaya!

Kami keluar pintu utama Hotel dan terus tuju ke bangunan KL Sentral. Sambil keluar saya menoleh ke belakang dan mata saya mengesahkan, tiada meja yang diterbalikkan, tiada kerusi yang dicampak dan tiada bahagian yang dibakar di Hotel Hilton! Kami himpunan aman, bukan perusuh.

Sambil keluar saya melihat hari sedang hujan. Hujan rahmat yang akan mengurangkan kesan keperitan gas pemedih mata, terfikir saya. Bila tiba di salah satu pintu masuk KL Sentral, ada anggota polis yang cuba menghalang kami dari masuk, tetapi tidak berjaya. Kami masuk ke dalam dan tiba-tiba, orang ramai yang berada di dalam bersorak menyambut ketibaan kami. Jumlah yang asalnya hanya berpuluh, tiba-tiba disertai ramai yang telah berada di dalam, menjadi beratus! Kami terus mara dan keluar dari bangunan KL Sentral, dibawa melalui tangga besi ke tingkat bawah.

Yang menyertai kami di KL Sentral terdiri dari rakyat biasa yang menyokong kami. Mereka menunggu kami dan sambil menunggu, mereka membeli minuman dan makanan di kedai-kedai di KL Sentral. Semasa mereka bangun untuk menyertai kami, tiada kedai yang dibakar, kerusi yang dibaling atau meja yang dipecahkan. Kerana kami berhimpunan secara aman yang ingin menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, bukan perusuh. Kami ingin lawan melalui pilihan raya, bukan melalui huru hara. Itu sebab pilihan raya perlu adil dan bersih.

Di tingkat bawah, kami berada di kawasan yang bagaikan sebuah terowong, kiri kanan berdinding. Mereka yang di depan membawa kami terus mara lagi menuju ke jalan keluar untuk ke Stadium Merdeka. Bila sampai di pintu 'terowong' tiba-tiba kelihatan satu barisan anggota FRU menghalang jalan. Kami berada lebih kurang 20 meter dari mereka. Kami berhenti, pimpinan berada di saf hadapan. Saya di saf yang ketiga. Tiba-tiba berbunyi siren dari belakang. Landrover FRU menuju ke arah kami dari belakang, inginkan laluan untuk ke depan. Kami memberinya laluan tanpa apa-apa tindakan khianat dari pihak kami.

Setelah landrover tersebut berada di hadapan, saya menoleh ke belakang, ingin melihat sekiranya ada pasukan FRU yang sedang mara ke arah kami. Orang sudah ramai, beresak-esak, dalam keadaaan kebimbangan kerana kami terperangkap dalam terowong tanpa adanya jalan keluar. Di depan FRU dan di belakang pun sudah begitu. Kami datang bukan untuk berentap dengan FRU tetapi BN menghantar FRU untuk menyerang kami.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan dan dengan serta-merta, cermin-mata saya terpelanting ke depan. Asap gas pemedih mata mula berkepul-kepul. Tembakan datang dari depan dan belakang. Pada saat itu saya terfikir saya perlu mencari cermin-mata kerana semua menjadi kabur tanpanya. Tetapi suasana kelam kabut menyedarkan saya bahawa itu tidak mungkin saya lakukan. Gas pemedih mata mula terhidu. Saya teringat beg plastik yang berada di dalam kocek seluar saya dan dengan segera membukanya sehingga dipenuhi udara serta bernafas melaluinya dengan menutup hidung dan mulut saya dengannya. Beg plastik itu adalah pembalut baju BERSIH 2.0 yang diberikan kepada saya semasa diatas.

Pada ketika itu saya tidak sedar bahawa kepala saya terkena kelonsong gas pemedih mata dan sudah mula berdarah. Saya bersama rakan saya dari Shah Alam, saudara Zainal, yang ditugaskan untuk menemani saya, bergegas ke belakang dan ternampak 'lubang' di tepi dinding di sebelah kanan kami. Kami menuju ke lubang tersebut.

Sambil ke sana saya melihat A. Samad Said terduduk tersandar di tepi dinding. Beliau orang lama, pasti umurnya lebih 70 tahun. Dia tentu tidak mampu untuk beredar dari terowong yang semakin penuh dengan gas pemedih mata. Turut kelihatan beberapa pemuda yang duduk bersama beliau.

Semasa sidang akhbar sebentar tadi A. Samad Said turut bercakap. Beliau berkata, telah tiba masanya untuk sasterawan terlibat dalam pencorakan Negara kerana kerosakan yang semakin melanda. Saya kagum dengan beliau. Kebiasaannya, orang seperti dia akan berehat di rumah, bermain dengan anak cucu. Malangnya kebobrokan pemerintah memaksa beliau ke jalan raya, walaupun sudah cukup berusia. Mengapa? Kerana dia tidak ingin mewariskan kepada yang muda suatu negara yang hancur dan budaya politik yang muflis dari segi akhlak dan amanah! Celaka BN kerana merampas ketenangan zaman usia emas darinya!

Kelihatan juga beberapa wanita yang terduduk di atas jalan, tercungap-cungap kepedihan, hadiah dari BN yang ingin terus mempertahankan proses pilihan raya yang kotor. Mereka sedar akan risikonya tetapi mereka ingin juga melihat perubahan dan keadilan. Apa akan mereka warisi sekiranya kepincangan diteruskan dan kekayaan negara terus disalah-gunakan? Oleh itu mereka datang walaupun tahu kemungkinan mereka akan dilayani sebegitu rupa oleh BN.

Pada ketika itu saya tersedar bahawa beg plaktik yang saya bernafas melaluinya sudah mula basah, berisi dengan sesuatu cecair yang berwarna gelap. Sahabat saya lantas memberitahu saya bahawa saya telah terluka di bahagian kepala. Beg plastik dipenuhi darah!

Saudara Zainal membawa saya terus menuju ke lubang yang kelihatan tadi. Terpaksa kami melalui di bawah dua batang paip air untuk sampai ke lubang tersebut. Sebaik sahaja melalui lubang itu, kami dapati kami memasuki kawasan pembinaan. Ada beberapa pekerja di situ. Kami bertanya jalan keluar dan dengan segera mereka menunjukkan kami jalan untuk melepas diri.

Zainal meminta saya berhenti dan baju Bersih 2.0 yang saya pakai di atas baju T-shirt saya digunakan untuk membalut kepala saya untuk mengurangkan pendarahan. Pada masa itu kelihatan baju saya penuh dengan kesan darah. Saya duduk sambil dia dan beberapa lagi rakan seperjuangan membalut kepala saya. Ada bersama pemuda dari kawasan Selayang. Ada juga pemuda dari Sarawak! Pemuda dari selayang memberikan saya tuala kecil yang sudah dibasahkan untuk membersihkan muka dari kesan darah.

Sambil itu semua dilakukan, dua orang lagi pemuda keluar dari kawasan pembinaan tersebut untuk mendapatkan teksi untuk saya. Bila ada teksi ditahan, maka mereka memanggil saya untuk menaiki teksi tersebut. Zainal menutup kepala saya dengan beg plastic kuning yang dia bawa bersama. Takut luka dibasahi hujan. Pemuda Sarawak memberi pula jaket hitamnya untuk menutup kepala saya juga, takut air hujan akan membasahi luka saya.

Saya dan Zainal menaiki teksi dan meminta pemandu membawa kami ke Hospital. Pemandu itu melihat pada saya dan terus menyedari saya salah seorang yang menyertai perhimpunan BERSIH. Dia nampak saya sedang cedera dan dengan segera dia membawa kami pergi. Sambil dalam perjalanan dia cukup berhati-hati, mengelak kawasan yang dijaga polis.

Setibanya kami di Hospital, di bahagian kecemasan, saya dibawa untuk bertemu doktor yang bertugas. Pembantu Hospital (HA) ramai bertanya akan keadaan di Kuala Lumpur sambil menunjukkan sokongan mereka terhadap apa yang diusahakan. Sambil berbincang saya dicucuk dengan cucukan anti-tetanus, tekanan darah dibaca dan keadaan jantung diperiksa melalui ECG. Orang biasa yang berada di hospital turut bertanya apa yang sedang berlaku. Sambil menunggu keluarga mereka yang dirawat, sokongan mereka terhadap apa yang dituntut oleh BERSIH jelas disuarakan.

Ada seorang peserta himpunan aman BERSIH yang cedera telah tiba di Hospital sebelum saya. Beliau lagi parah. Kelongsong gas pemedih mata terkena di dadanya dan melantun ke atas melanggar dagunya. Tulang dagunya patah menyebabkan dia tidak boleh bercakap dengan jelas.

Para doktor dan jururawat yang merawat saya begitu bersimpati dengan usaha kami. Sambil menjahit luka saya setelah kepala di x-ray, ada yang bertanya kehairanan terhadap cara perhimpunan itu ditangani. "Apa salahnya? Kenapa tidak dibenarkan sahaja? Apa yang diminta sememangnya patut" kata salah seorang doktor sambil menjahit 6 jahitan dikepala saya. "Kami sokong, tapi terpaksa menikus" katanya lagi.

Itulah Malaysia, negara kesayangan kita semua. Bumi di mana golongan bijak pandai ditakut-takutkan. "Kalau bersama himpunan BERSIH, tindakan akan diambil! Semua pegawai kerajaan diharamkan untuk berserta! Mahasiswa, mahasiswi, pensyarah, cikgu-cikgu, kalau terlibat, nahas kamu!" kata-kata perangsang pemerintah yang memerintah melalui penindasan dan ugutan. Ya Malaysia, bukannya Myanmar ataupun Kampuchea di bawah Pol Pot. Kehebatan negara ini dan segala kelebihannya hancur di tangan pemerintah yang mementingkan diri.

Itulah sebabnya perubahan itu perlu. Perubahan demi membebaskan Malaysia dari barisan pemimpin yang sudah lupa diri, tenggelam dalam harta dan kemewahan yang dicuri dari rakyat. Ianya hanya dapat dilakukan sekiranya pilihan raya itu adil dan bersih. Itulah sebabnya mengapa usaha BERSIH perlu diteruskan.

Pada masa itu waktu sudah pukul empat petang. Saya menerima sms bahawa TG Hj. Abd Hadi telah ditahan. DSAI dihantar ke hospital kerana turut cedera. Lebih kurang 1,400 orang ditahan polis. Tetapi, LKS tidak mampu ditahan polis walaupun beliau 'separuh rabun' kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata! Sedangkan beliau bersama di saf hadapan. Adakah ini merupakan sebahagian dari tipu muslihat mereka? Ingin ditonjolkan kononnya bahawa hanya Melayu sahaja yang terlibat sambil mengelakkan kemarahan masyarakat Cina?

Namun demikian, maklumat seterusnya yang saya terima melalui SMS menyatakan, himpunan BERSIH 2.0 berjaya dihadiri berpuluh ribu rakyat berbilang kaum di beberapa tempat termasuk di Stadium Merdeka dan Pudu Raya! Sambil itu, perhimpunan turut diadakan di beberapa bandar utama di serata dunia!

Saya kembali ke rumah selepas itu, walaupun perit gas pemedih mata masih terasa dan luka di kepala masih menyengit, tetapi hati tetap gembira dengan kejayaan perhimpunan tersebut. Saya kemudiannya dikunjungi beberapa sahabat yang kembali dari Kuala Lumpur. Mereka menceritakan pengalaman mereka sambil ingin tahu keadaan saya. Semua merasa bangga dengan kejayaan perhimpunan tersebut dan tiada sesiapa, termasuk saya, merasa kesal kerana telah bersama. Ini adalah kerana, kami telah turut menyertai suatu perhimpunan yang telah melakar sejarah dalam mencorak masa depan tahah air. InsyaAllah, angin perubahan kencang akan terus kekal bertiup di bumi Malaysia ini!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Wednesday, July 13, 2011

DOA BUAT DR LO'LO'






DIMAKLUMKAN SEBENTAR TADI BAHAWA DR LO' LO' DATO' MOHD GHAZALI BERADA DIDALAM KEADAAN KRITIKAL DI HOSPITAL SELAYANG, SELANGOR.

DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI PERAK MENYERU AHLINYA MENGADAKAN SOLAT HAJAT MENDOAKAN KESEJAHTERAAN DR LO' LO'...MOGA ALLAH SWT MEMBERIKAN KESEJAHTERAAN BUAT PEPIMPIN KESAYANGAN KITA INI...AMIN...

Friday, July 8, 2011

SELAMAT BERJUANG..


DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI PERAK MENDOAKAN KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN KEPADA SEMUA PESERTA BERSIH 2.0 YANG AKAN BERLANGSUNG PADA 9 JULAI INI.

DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI PERAK MENGHARAPKAN TIDAK ADA INSIDEN BURUK YANG AKAN TERJADI. PARA PESERTA DIMINTA UNTUK MENURUT ARAHAN PIMPINAN SAHAJA, ELAKKAN PROVOKASI SERTA BERADA DI DALAM KUMPULAN YANG RAMAI.

AKHIRNYA, KEYAKINAN YANG TINGGI TERHADAP PERTOLONGAN DAN PERLINDUNGAN ALLAH SWT HENDAKLAH SENTIASA DISEMAT DI DALAM HATI ...


SELAMAT BERJUANG, SELAMAT BERJIHAD.....


Thursday, July 7, 2011

SALAM TAKZIAH KEPADA USTAZAH NURIDAH

Kasih seorang ibu...
Ustazah Nuridah menatap wajah anakandanya ,

Abdul Aziz buat kali terakhir...


DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI PERAK MENGUCAPKAN TAKZIAH KEPADA USTAZAH NURIDAH DIATAS KEMBALINYA ANAKANDA TERSAYANG, ABDUL AZIZ KE RAHMATULLAH BARU BARU INI.

DEWAM MUSLIMAT PAS NEGERI PERAK MENDOAKAN SEMOGA USTAZAH SEKELUARGA TABAH MENGHADAPI DUGAAN INI DAN DIDOAKAN JUGA SEMOGA ANAKANDA ABDUL AZIZ DI TEMPATKAN DI KALANGAN HAMBA YANG DIREDHAI OLEH NYA... AMIN.