Thursday, August 30, 2012

Bantah Seksyen 114A: Najib juga mesti dipanggil



(Kempen hentikan Akta 114A)

KUALA LUMPUR: Kabinet diminta turut menyenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk dipanggil kerana menyuarakan pendapat dan bantahan terbuka terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Ini kerana, beliau adalah antara orang yang pertama berkata akan mempertimbangkan tuntutan agar akta itu dikaji balik.

Pada 14 Ogos Najib mengarahkan kabinet untuk membincangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang menjadi isu besar dalam alam maya.

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan yang dibuat terhadap Akta Keterangan yang telah digazetkan pada Julai lepas.


"Saya telah meminta kabinet untuk membicangkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950. Apa saja yang kita lakukan, kita mesti mendahulukan kepentingan rakyat," kata Najib ringkas dalam ruang Twitternya dari Mekah.

Kempen-kempen tentangan terhadap akta itu dibuat oleh pertubuhan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan sepanduk yang dibuat oleh pertubuhan itu melalui laman facebook dengan tajuk "Stop 114A" itu telah dimuat turun oleh pelbagai pengguna internet negara ini.

Akta 114A dikatakan bersifat berat sebelah kerana undang-undang boleh mendakwa mereka yang menyiar dan menyalin semula atau memaparkan kandungan seperti hasutan dan fitnah walaupun bukan mereka yang menghasilkan bahan itu.

Kabinet dikatakan telah menerima cadangan supaya tiga pemimpin BN diberi amaran kerana menyuarakan bantahan terbuka mereka terhadap Seksyen 114A Akta Keterangan 1950.

Mereka ialah adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu (kiri) dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Yang menariknya, cadangan ini dibuat ketika Kabinet sedar Najib juga membuat kenyataan serupa dan kajian itu dikemukakan ketika mesyuarat Kabinet dipengerusi Tan Sri Muhyidn Yassin.

Sumber-sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Ogos.

Satu sumber mendedahkan bahawa dicadangkan perdana menteri atau timbalan perdana menteri perlu memanggil dua timbalan menteri berkenaan dan memberi mereka amaran
kerana tindakan mereka bertentangan dengan pendirian kerajaan.

Katanya, ia juga telah mencadang supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz supaya bertemu dengan dua timbalan menteri dan Khairy untuk mendengar pandangan mereka, dan menyediakan kepada mereka penjelasan kerajaan."

Tuesday, August 28, 2012

Penganjur optimis polis benarkan 'Janji Demokrasi'


KUALA LUMPUR: Penganjur sambutan ambang kemerdekaan 'Janji Demokrasi' optimis pihak polis akan membenarkan program tersebut diadakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Eksekutif Empower Selangor, Maria Chin Abdullah berkata, kira-kira setengah jam berdialog, polis tidak menyatakan akan membenarkan atau tidak sambutan itu diadakan sebaliknya menekankan aspek keselamatan peserta.

"Polis tidak cakap mereka benarkan atau tidak (sambutan) tapi kami sudah terangkan apa yang akan berlaku pada hari itu dan tidak melanggar akta perhimpunan aman 2012," kata beliau kepada pemberita selepas dipanggil memberikan maklumat mengenai sambutan yang akan diadakan pada 30 Ogos ini di Balai Polis Dang Wangi petang tadi.

Maria berkata, beliau turut memberitahu polis bahawa gabungan Janji Demokrasi hanya akan berada di sekitar Dataran Merdeka dengan memakai baju kuning dan hanya Sasterawan Negara, A. Samad Said yang akan membacakan puisi.

"Seperti yang kita cakap sebelum ini, sebarang ucapan, kain rentang dan sepanduk tidak dibenarkan. Kita akan berada di Dataran Medeka selama dua jam dan akan bersurai selepas jam 12 tengah malam," katanya.

Selain Maria, seorang lagi penganjur, Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Yong Yew Wei yang akan mengetuai sambutan di Jalan Sultan turut hadir dalam pertemuan tersebut.

"Dialog dengan polis hari ini berjalan baik dan kami mengharapkan polis memberikan kerjasama untuk memantau keadaan di Dataran Merdeka dan Jalan Sultan," katanya.

"Janji Demokrasi' turut mendapat sokongan PAS dan ahli-ahlinya diserukan memenuhkan Dataran Merdeka dengan memakai pakaian kuning.

Kerajaan bagaimanapun akan mengadakan sambutan ambang kemerdekaan tahun ini di Bukit Jalil.