Thursday, September 20, 2012

K’jaan tetap gagal tangani jenayah walaupun Tabung 1Wilayah ditubuh


Warga Wilayah Persekutuan amnya dan Kuala Lumpur khususnya berasa serba-sedikit lega tatkala mendengar khabar penubuhan dana khas Tabung Keselamatan 1Wilayah untuk membantu meningkatkan tahap keselamatan kawasan-kawasan perumahan sekitar ibu kota.
Namun, langkah ini hanyalah satu usaha bersifat sementara yang tidak benar-benar menyelesaikan peningkatan kadar jenayah yang dihadapi warga Kuala Lumpur yang memerlukan perubahan dasar dan pendekatan mengatasi kadar jenayah yang lebih tersusun.
Malah langkah menubuhkan dana ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah gagal dalam tanggungjawab mencegah jenayah disebabkan 3 faktor:
1) Kerajaan Persekutuan gagal menugas semula (redeploy) anggota-anggota Polis Di-Raja Malaysia – terutama dari Cawangan Khas dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) – untuk meningkatkan jumlah anggota polis yang bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah terutama sebagai pegawai penyiasat;
2) Kerajaan Persekutuan dan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan gagal mengutamakan warga kota apabila bersetuju menempatkan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seperti IPD Brickfields jauh dari pusat-pusat penduduk, yang secara langsung mahupun tidak merumitkan proses pemantauan jenayah di Brickfields sebagai contoh;
3) Kerajaan Persekutuan gagal menangani masalah jenayah secara dasar, sistemik, dan menyeluruh kerana semua sedar bahawa jenayah berkait dengan keadaan ekonomi yang lemah; malah, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar cuba untuk “menghilangkan” isu “miskin bandar” dengan pengumuman penghapusan miskin tegar menerusi paras Garis Kemiskinan  lapuk (Poverty Line Index) satu ketika dahulu.
Tanggungjawab Keselamatan Diswastakan?
Saya turut menggesa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar agar mendedahkan sebarang perjanjian yang dibuat di antara pihak Kementerian dan semua pihak yang memberi sumbangan kepada tabung ini – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dilaporkan menyumbang sejumlah RM1 juta, sebagai contoh – yang jelas membuktikan bahawa:
1) Tugas dan tanggungjawab keselamatan yang sepatutnya dilaksanakan Kerajaan Pusat sebagai satu khidmat awam asas telah pun diswastakan di dalam bentuk ‘perkhidmatan kubu keselamatan’ (neighborhood security fortress) di kawasan-kawasan perumahan oleh syarikat-syarikat keselamatan swasta – di mana kos bayaran perkhidmatan yang ditanggung merupakan satu bentuk ‘subsidi’ yang bukan sahaja patut dikembalikan kepada penduduk di dalam bentuk rebat cukai (tax rebate) tetapi ia juga berbentuk diskriminasi kerana hanya kawasan-kawasan di mana penduduk yang mampu sahaja akan memperolehi perkhidmatan keselamatan swasta yang lebih daripada majoriti penduduk kurang mampu.
2) Kaedah kepolisian yang dibantu peralatan seperti kamera CCTV memerlukan sistem yang lebih mantap dan teratur melebihi apa yang mungkin dapat dipasang dengan dana khas ini mengikut piawaian liputan pantauan (security monitoring coverage) yang mesti ditetapkan dan dimaklumkan kepada umum
3) Dan sepatutnya sistem kamera CCTV termasuk pemasangan lampu di kawasan gelap wajib DISEGERAKAN dan bukan menunggu pengumuman dan pelancaran yang nampak seperti satu kempen publisiti ketika harta dan keselamatan rakyat makin tergugat
Sudah tiba masanya pemusatan kuasa dihentikan termasuk perkhidmatan polis serta pilihan raya  kerajaan tempatan dikembalikan kepada rakyat setempat agar kebertanggungjawapan dan ketelusan perkhidmatan awam yang menjadi asas demokrasi dapat menjaminkan aspirasi rakyat ditunaikan dan bukan dipolitikkan melalui perangkaan jenayah NKRA yang tidak tepat  mahupun usaha ‘penswastaan keselamatan’ dengan pengumuman dana khas contohnya.
Oleh demikian, saya menggesa kerajaan dan pihak yang betanggungjawab memberitahu apa perancangan SEGERA dan BERKESAN untuk mengatasi kadar jenayah yang bertambah buruk – dalam semangat keterbukaan, demi kesejahteraan warga Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khususnya.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN

No comments:

Post a Comment