Thursday, September 27, 2012

Pemuda PAS kongsi kemelut penjaga gol Terengganu




KUALA TERENGGANU:Kemelut yang melanda penjaga gol pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli turut dikongsi bersama Dewan Pemuda PAS negeri sebagai tanda sokongan moral kepada pemain tersebut.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut tersebut serta memberi suntikan semangat agar Sharbinee meneruskan karier dalam bidang bola sepak.

Katanya, sebagai pemain yang profesional Sharbinee perlu kuat semangat dan jadikan kemelut tersebut sebagai ujian bagi kemantapan diri.

“Kami, Pemuda PAS Terengganu datang untuk lawatan ziarah kepada Saudara Sharbinee yang sebelum ini pelbagai kemelut melanda penjaga gol (Terengganu) ini.

“Kita harap, dia kuat semangat sebagai pemain profesional, kemelut itu sebagai ujian dan jika ada rezeki Allah swt akan beri yang lebih baik, Insya Allah,” ujarnya ketika menziarahi Sharbinee di rumah ibunya di Kampung Pulau Duyung, semalam.

Hadir sama mengikut rombongan tersebut Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Ridhuan Hasyim, Setiasaha Pemuda PAS Terengganu, Mohamad Zaidan Abdullah dan Pengarah MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Sharbinee berkata tuduhan menjual perlawanan oleh pihak terbabit terhadapnya adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

“Saya sendiri yang pergi jumpa pihak SPRM minta siasat kes (jual perlawanan) ini setelah ada orang tuduh saya buat begitu…tapi saya tidak pernah buat seperti yang dituduh.

“Ini macam fitnahlah kepada saya dan saya tidak pernah buat perkara (jual perlawanan) itu. Saya telah bersihkan nama dan SPRM telah sahkan,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi tawaran untuk menyertai pasukan lain seperti Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain lagi.

Namun, kata beliau masih berfikir panjang dan sebaiknya masih mahu bersama pasukan Terengganu demi masa depan bidang tersebut.

Pada 18 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak bersalah atas tuduhan jual perlawanan dan kes ditutup.

(Gambar: Mohd Nor Hamzah menyampaikan hamper kepada Mohd Sharbinee.) 


SUMBER : HARAKAHDAILY

Wednesday, September 26, 2012

Nak tahu macam mana ‘Awang Hitam’ kelentong kita?



Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ada mengeluarkan panduan khas mengenai penipuan yang sering dilakukan warga Afrika kepada penduduk negara ini.
Dalam erti kata lain, kalau anda dihampiri warga Afrika yang menggunakan taktik seperti mana yang dinyatakan itu, berhati-hatilah supaya anda tidak menjadi mangsa mereka.

Modus operandi
a. Mangsa berkenalan dengan saspek melalui internet
(chatting/ e-mail)
b. Saspek dan mangsa akan menjadi mesra dan sentiasa berhubung melalui internet dimana saspek akan membuat mangsa mempercayainya samada dalam cinta, persahabatan atau sesuatu urusan perniagaan / pelaburan sebelum menjanjikan sesuatu kepada mangsa.
c. Setelah dapati mangsa mempercayainya, saspek memberitahu akan menghantar barangan cenderahati seperti laptop, barang kemas, mata wang asing atau modal pelaburan / perniagaan melalui perkhidmatan kourier kepada mangsa.
d. Mangsa akan dihubungi oleh saspek yang menyamar sebagai pegawai kastam KLIA atau pekerja syarikat kourier dan diminta masukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh saspek sebagai wang proses penghantaran. Setelah wang dimasukkan, mangsa tidak menerima barangan seperti yang dijanjikan dan saspek tidak dapat dihubungi lagi.
e. Kebanyakan saspek kes ini telah menggunakan akaun bank orang lain.
Jumlah kes penipuan African scam (penipuan melalui email) yang dilaporkan pada tahun 2012 (Januari hingga Ogos) ialah 41 kes.
Nasihat :
Orang ramai dinasihat supaya jangan mempercayai hubungan percintaan / perniagaan di dalam dunia siber tanpa pernah menjumpai. Jangan tamak apabila ditawarkan barangan atau bungkusan yang ditawarkan oleh saspek kononnya barangan kemas dan wang tunai. – Facebook PDRM

Friday, September 21, 2012

Dewan Muslimat Mengecam Video Penghinaan Nabi Muhammad S.A.W


Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang pengarah filem berketurunan Israel Amerika, yang menghina Nabi Muhammad SAW melalui filem terbarunya. Filem ini telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia..

Filem berjudul Innocence of Muslims, ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dan trailer filem tersebut juga telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu. Filem ini telah mendapat suntikan dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi.
Filem tersebut telah menghina Baginda Nabi SAW dengan mewatakkan baginda sebagai seorang lelaki yang ‘gila perempuan’.Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan para sahabat.

“Times of Israel” melaporkan filem ini merupakan kempen daripada pelampau anti-Muslim Egyptian Christian di United States.Filem yang melabel Nabi Muhammad SAW ‘fraud, a womanizer and a madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara timur tengah seperti Mesir dan Libya. Seorang rakyat Amerika telah ditembak mati sebagai tanda tidak puas hati mereka. Penunjuk perasaan juga bertindak membakar Konsulat AS di Beghazi dan Cairo.

Bantahan akan terus berlarutan jika pihak AS tidak mengambil tindakan tegas keatas pembuat filem ini. Pihak Dewan muslimat akan bersama-sama menyertai demo yg berdekatan.

Dewan Muslimat PAS Negeri Perak

Thursday, September 20, 2012

K’jaan tetap gagal tangani jenayah walaupun Tabung 1Wilayah ditubuh


Warga Wilayah Persekutuan amnya dan Kuala Lumpur khususnya berasa serba-sedikit lega tatkala mendengar khabar penubuhan dana khas Tabung Keselamatan 1Wilayah untuk membantu meningkatkan tahap keselamatan kawasan-kawasan perumahan sekitar ibu kota.
Namun, langkah ini hanyalah satu usaha bersifat sementara yang tidak benar-benar menyelesaikan peningkatan kadar jenayah yang dihadapi warga Kuala Lumpur yang memerlukan perubahan dasar dan pendekatan mengatasi kadar jenayah yang lebih tersusun.
Malah langkah menubuhkan dana ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah gagal dalam tanggungjawab mencegah jenayah disebabkan 3 faktor:
1) Kerajaan Persekutuan gagal menugas semula (redeploy) anggota-anggota Polis Di-Raja Malaysia – terutama dari Cawangan Khas dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) – untuk meningkatkan jumlah anggota polis yang bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah terutama sebagai pegawai penyiasat;
2) Kerajaan Persekutuan dan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan gagal mengutamakan warga kota apabila bersetuju menempatkan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seperti IPD Brickfields jauh dari pusat-pusat penduduk, yang secara langsung mahupun tidak merumitkan proses pemantauan jenayah di Brickfields sebagai contoh;
3) Kerajaan Persekutuan gagal menangani masalah jenayah secara dasar, sistemik, dan menyeluruh kerana semua sedar bahawa jenayah berkait dengan keadaan ekonomi yang lemah; malah, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar cuba untuk “menghilangkan” isu “miskin bandar” dengan pengumuman penghapusan miskin tegar menerusi paras Garis Kemiskinan  lapuk (Poverty Line Index) satu ketika dahulu.
Tanggungjawab Keselamatan Diswastakan?
Saya turut menggesa pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar agar mendedahkan sebarang perjanjian yang dibuat di antara pihak Kementerian dan semua pihak yang memberi sumbangan kepada tabung ini – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dilaporkan menyumbang sejumlah RM1 juta, sebagai contoh – yang jelas membuktikan bahawa:
1) Tugas dan tanggungjawab keselamatan yang sepatutnya dilaksanakan Kerajaan Pusat sebagai satu khidmat awam asas telah pun diswastakan di dalam bentuk ‘perkhidmatan kubu keselamatan’ (neighborhood security fortress) di kawasan-kawasan perumahan oleh syarikat-syarikat keselamatan swasta – di mana kos bayaran perkhidmatan yang ditanggung merupakan satu bentuk ‘subsidi’ yang bukan sahaja patut dikembalikan kepada penduduk di dalam bentuk rebat cukai (tax rebate) tetapi ia juga berbentuk diskriminasi kerana hanya kawasan-kawasan di mana penduduk yang mampu sahaja akan memperolehi perkhidmatan keselamatan swasta yang lebih daripada majoriti penduduk kurang mampu.
2) Kaedah kepolisian yang dibantu peralatan seperti kamera CCTV memerlukan sistem yang lebih mantap dan teratur melebihi apa yang mungkin dapat dipasang dengan dana khas ini mengikut piawaian liputan pantauan (security monitoring coverage) yang mesti ditetapkan dan dimaklumkan kepada umum
3) Dan sepatutnya sistem kamera CCTV termasuk pemasangan lampu di kawasan gelap wajib DISEGERAKAN dan bukan menunggu pengumuman dan pelancaran yang nampak seperti satu kempen publisiti ketika harta dan keselamatan rakyat makin tergugat
Sudah tiba masanya pemusatan kuasa dihentikan termasuk perkhidmatan polis serta pilihan raya  kerajaan tempatan dikembalikan kepada rakyat setempat agar kebertanggungjawapan dan ketelusan perkhidmatan awam yang menjadi asas demokrasi dapat menjaminkan aspirasi rakyat ditunaikan dan bukan dipolitikkan melalui perangkaan jenayah NKRA yang tidak tepat  mahupun usaha ‘penswastaan keselamatan’ dengan pengumuman dana khas contohnya.
Oleh demikian, saya menggesa kerajaan dan pihak yang betanggungjawab memberitahu apa perancangan SEGERA dan BERKESAN untuk mengatasi kadar jenayah yang bertambah buruk – dalam semangat keterbukaan, demi kesejahteraan warga Malaysia amnya dan warga Wilayah Persekutuan khususnya.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN

Wednesday, September 19, 2012

'Saya boleh agak samseng dari cawangan mana'

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, walaupun tidak kenal pihak yang memijak gambarnya dalam insiden di Shah Alam dua tahun lepas, beliau dapat mengagak individu terlibat daripada kumpulan mana.

Shah Alam toll protest Shah Alam MP Khalid Samad"Apabila ditanya sama ada saya kenal atau tidak samseng tersebut, saya katakan tidak, tetapi boleh mengagak dari 'cawangan' mana. 

"Saya memberitahunya sekiranya diperlukan, saya boleh cuba dapatkan maklumat berhubung siapakah mereka ini," kata Khalid mendedahkan pertemuannya dengan pegawai polis yang menyiasat insiden itu baru-baru ini.

Menulis dalam blognya, Khalid berkata, setelah memuatkan gambar berkaitan di blog pada 3 September lalu, beliau dikunjungi polis sepuluh hari kemudiaannya.

Katanya, ia ekoran laporan polis seorang individu di Gombak.

"Semasa pertemuan tersebut, pegawai berkenaan meminta maklumat berhubung peristiwa yang melibatkan gambar saya dipijak di perkarangan Masjid Negeri Shah Alam. 

"Saya memaklumkan bahawa ia berlaku pada awal 2010 dan bukan sekadar gambar, video pun ada," coret timbalan pesuruhjaya III PAS Selangor itu hari ini.

Kain rentang Nik Aziz dikencing mungkin di Sek 7
Sementara itu, Khalid berkata, polis Terengganu juga mengunjunginya pada 14 September berhubung insiden yang menyaksikan gambarnya bersama pemimpin tertinggi PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikencing sekumpulan lelaki.

Justeru, kata Khalid, beliau menjelaskan, ia berlaku semasa tempoh berkempen dalam pilihan raya umum pada Mac 2008.

shah alam nik aziz hadi awang 060912 urinating peeingMenurutnya lagi, PAS Shah Alam memasang 5 sepanduk besar ukuran 10' x 20' di beberapa lokasi strategik. 

"Banner (kain rentang) yang dikencing adalah salah satu darinya dan mungkin iabanner yang dipasang di Seksyen 7," katanya yang berpendapat pihak terlibat bukan warga Shah Alam.

"Itu sahaja maklumat yang ada pada saya. 

"Gambar itu jelas menunjukkan kumpulan berkenaan berpakaian baju BN dan mungkin juga merupakan para petugas yang pemasang bendera yang diupah untuk berkerja pada waktu malam."

Tuesday, September 18, 2012

Filem hina Nabi: Youtube tak akan buang video



WASHINGTON: Google menolak permintaan White House untuk membuang video klip yang menghina Nabi Muhammad di Youtube, tetapi akan menyekat akses kepada video itu di negara-negara tertentu.


Rumah Putih Jumaat lalu berkata bahawa mereka telah meminta Youtube untuk mengkaji sama ada video tersebut melanggar terma penggunaannya. Youtube, laman perkongsian video dalam talian adalah hak milik Google.

Youtube dalam satu kenyataannya Jumaat lalu berkata bahawa video itu boleh didapati dengan meluas di Web dan "secara jelas mengikut garis panduan kami dan akan kekal di Youtube."

Filem pendek "Innocence of Muslims" memburuk-burukkan Islam dan Nabi Muhammad. Filem ini berperanan dalam mencetuskan keganasan terhadap kedutaan AS di Timur Tengah. Filem ini turut dipersalahkan kerana memainkan peranan dalam serangan di Libya, di mana Duta AS dan tiga yang lain telah dibunuh walaupun punca sebenar serangan masih di bawah siasatan.

Pegawai Amerika Syarikat dan Libya sedang menyiasat sama ada protes di Libya adalah strategi pihak militan, kemungkinan pesimpati al-Qaeda, yang menjalankan serangan terselaras ke atas Konsulat AS di Benghazi dan membunuh warga Amerika. Washington telah menggunakan penyiasat FBI untuk mengesan campur tangan militan di sebalik serangan itu.

Sedang protes ke atas video tersebut semakin hangat, Youtube menyekat akses kepada video tersebut di Libya dan Mesir. Youtube memberi alasan "situasi yang sangat sensitif" di kedua-dua negara tersebut.  YouTube kemudiannya juga menyekat akses kepada video tersebut di India dan Indonesia selepas kedua-dua kerajaan ini memberitahu Youtube video tersebut melanggar undang-undang mereka.

Dalam kenyataannya Jumaat lalu, Youtube berkata video tersebut akan kekal di laman webnya di negara selain Libya, Mesir, India dan Indonesia.

"Kami bekerja keras untuk mewujudkan satu komuniti yang boleh berseronok dan juga yang membolehkan orang ramai meluahkan pendapat yang berbeza," jelas kenyataan Youtube. "Ini adalah satu cabaran kerana apa yang okey di satu negara boleh jadi menyinggung di tempat-tempat lain. Video ini - boleh didapati secara meluas di Web – dan secara jelasnya dalam garis panduan kami maka ia akan kekal di Youtube.

“Walau bagaimanapun, kami telah mengehadkan akses kepada video ini di negara-negara di mana ia telah diharamkan seperti India dan Indonesia, juga di Libya dan Mesir, memandangkan situasi yang sangat sensitif dalam kedua-dua negara ini. Pendekatan ini adalah sepenuhnya  selari dengan prinsip-prinsip yang kami bentangkan pada 2007. "

Garis panduan komuniti Youtube mengatakan syarikat itu menggalakkan kebebasan bersuara dan membela hak semua orang untuk meluahkan pandangan yang tidak popular. Tetapi  Youtube turut mengatakan ia tidak membenarkan ‘ucapan berunsur kebencian’.

“Ucapan berunsur kebencian' merujuk kepada kandungan yang mempromosikan kebencian terhadap ahli-ahli kumpulan yang dilindungi," jelas garis panduan itu. "Kadang-kadang ada garis pemisah yang sangat halus antara apa yang dianggap sebagai ucapan berunsur kebencian dan apa yang tidak. Sebagai contoh, secara umumnya adalah okey untuk mengkritik sesebuah negara, tetapi ia tidak okey untuk membuat generalisasi yang menghina orang dari negara tertentu."

Thursday, September 13, 2012

PAS kecam filem terbaru hina Nabi

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang pengarah filem berketurunan Israel Amerika, yang menghina Nabi Muhammad SAW melalui filem terbarunya.

Filem berjudul Innocence of Muslims, ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dan trailer filem tersebut juga telah dimuat naik di dalam laman youtube pada 2 Julai 2012 yang lalu.

Menurut Bacile dia mendapat suntikan dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi.

Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata isi kandungan yang dipaparkan di dalam video yang berdurasi 14 minit ini hanya mendatangkan kemarahan di dalam diri umat Islam.

Video tersebut ujarnya  telah menghina Baginda Nabi SAW dengan mewatakkan baginda sebagai seorang lelaki yang ‘gila perempuan’.

Bukan itu sahaja, bahkan individu yang terlibat dalam menghasilkan video ini turut menghina al-Quran dan para sahabat.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah paparan video seperti ini yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Bagi Pemuda PAS Malaysia, sebagai umat Islam kita wajib cakna dan rasa marah dengan isu yang dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu ini," katanya pada sidang media di KUIZM, Taman Melewar petang semalam. (Gambar)

“Times of Israel” melaporkan filem ini merupakan kempen daripada pelampau anti-Muslim Egyptian Christian di United States.

Filem yang melabel Nabi Muhammad SAW ‘fraud, a womanizer and a madman’ ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara timur tengah seperti Mesir dan Libya.

Menurut mereka, seorang rakyat Amerika telah ditembak mati sebagai tanda tidak puas hati mereka. Penunjuk perasaan juga bertindak membakar Konsulat AS di Beghazi dan Cairo.

Bukan itu sahaja, penunjuk perasaan turut memanjat dinding-dinding kedutaan US dan menggantikan bendera AS dan bendera-bendera Islam.

Filem ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dengan paparan Islam sebagai agama kebencian.

Semalam, rakyat Mesir dilaporkan telah mengadakan perarakan beramai-ramai ke kedutaan US di Kaherah dengan laungan “Say it don’t fear. Their ambassador must leave”.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia juga mendesak kerajaan Malaysia yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk segera mengambil tindakan agar pihak kerajaan Amerika Syarikat dapat menyelesaikan isu filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam sedunia.

"Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta Pemuda PAS di peringkat negeri-negeri untuk mengadakan satu himpunan aman di peringkat negeri masing-masing untuk menyatakan secara terang-terang bahawa umat Islam di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan video seperti ini. Pemuda PAS setiap negeri diminta untuk mengadakan himpunan aman tersebut pada Jumaat ini," katanya.

Menurut Faizi lagi, pemuda PAS juga akan menganjurkan bantahan besar-besaran di hadapan Kedutaan AS pada 21 Sept ini jika tiada sebarang respon positif dari kerajaan AS untuk bertindak terhadap pembuat filem tersebut.

Tuesday, September 11, 2012

Harga saham FGV terus merudum

Semakan pagi ini menunjukkan harga saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) terus merudum.

Pada jam 11.30 pagi ini, harga saham itu berada pada tahap RM4.58 – turun 10 sen berbanding harga ketika kaunter ditutup semalam.

Setakat ini, saham itu mencatat harga paling rendah di tahap RM4.57, menghampiri harga tawaran pemulaannya pada RM4.55.

Trend ini berterusan walaupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terus meningkatkan pegangannya daripada lima peratus kepada 6.8 peratus.

Jun lalu, FGV mengeluarkan IPO kedua paling besar di dunia.

Harga saham itu turun melampaui tahap psikologi RM5 minggu lalu dan trend itu berterusan sejak Julai lalu.

Dagangan saham di Bursa Malaysia jatuh 15 mata daripada 1,618 mata ketika berita ini ditulis.

Monday, September 10, 2012

sumbangan untuk Pn Amizan


Ketua Muslimat Bukit Gantang Pn. Amizan Baharudin
Pengarah Pilihanraya DMP
suri rumah separuh masa
sepenuh masa kerja jamaah
sentiasa istiqamah dalam perjuangan
Prihatin ada padanya
Wajahnya sentiasa ceria dan bertenaga
Suara lantang pabila ada pembentangan
Jiwanya kental mengharungi mehnah perjuangan.

Kini,
Beliau diuji oleh Illahi dengan cancer
Kos perbelanjaan pembedahan tersebut
mencecah RM20k

Sahabat2,
DMPK Bukit Gantang ingin merayu
sumbangan derma bagi membantu
meringankan Tn. Hj Abd Rahim b Abd manap
suami Pn. Amizan dan berkongsi kepayahan
yang dihadapi oleh mereka.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Hj Abd Rahim
b. Abd Manap CIMB 08030000258106

Semoga bantuan kita akan diterima oleh Allah SWT
dengan penuh keikhlasan.

Thursday, September 6, 2012

Hina gambar: Kerajaan perlu nilai kenapa berlaku

KUALA LUMPUR: Insiden mempermainkan gambar pemimpin negara pada malam ambang Merdeka tempoh hari perlu dinilai oleh kerajaan mengapa ianya berlaku.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Ahmad Syukri Abd Razab berkata, apa yang dilakukan oleh anak muda pada malam itu ada signifikannya yang perlu difikirkan.


"Kerajaan perlu fikirkan mengapa mereka bertindak diluar batas seperti itu. Apakah tidak cukup dengan sekadar laungan dan protes sehingga mereka memijak gambar pimpinan. Ini yang perlu dinilai oleh kerajaan," katanya.


Katanya, tindakan memijak gambar itu menggambarkan ekspresi kemarahan anak muda yang merasakan tuntutan mereka yang tidak dipenuhi oleh kerajaan. 


Namun beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah diluar batasan dan ia tidak sepatutnya berlaku.


"Kita tidak perlu tunjuk perbuatan seperti itu untuk menyatakan protes kita terhadap mana-mana pihak. Kita tidak boleh menerima budaya ini sebagai demokrasi tulen," katanya. 


Bagaimanapun tegasnya, pihak kerajaan perlu bersikap adil dan mengenakan tindakan undang-undang kepada sesiapa sahaja yang melakukannya.


"Maknanya sesiapa yang melakukan perbuatan seperti itu harus dikenakan tindakan tidak kira individu yang menghina pimpinan kerajaan ataupun pimpinan pembangkang. Kerajaan perlu adil," katanya. 


Tambahnya, jika dibiarkan perbuatan seperti itu terus berleluasa seolah-olah kerajaan membiarkan demokrasi ini diamalkan secara liar. 


Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng meminta pihak berkuasa turut menyiasat individu memijak gambarnya. 


Terdahulu, di Dalam Himpunan Janji Demokrasi pada malam 30 Ogos lalu segelintir peserta himpunan dipanggil polis kerana telah bertindak memijak dan menghina gambar pimpinan negara.


Tindakan mereka itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan menyifatkan ia tindakan melampau bagi menyemai bibit kebencian terhadap pemimpin negara.