Friday, April 30, 2010

Kartika ikuti kelas agama di Kedah cari ketenangan, kata bapa

KUALA LUMPUR, 30 April — Bekas model sambilan Kartika Shukarnor (gambar), yang selesai menjalani hukuman khidmat sosial di Kuantan minggu lalu, kini mengikuti pengajian agama untuk mencari ketenangan, kata bapanya.

Ibu kepada dua anak ini dikatakan sedang mengikuti program agama di Kedah.

Bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib ketika mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider berkata, anaknya masih berada di negeri itu dan belum pulang untuk menemui anaknya.

Difahamkan Kartika telah pergi ke Kedah sebaik sahaja pulang dari Kuantan.

“Kartika ada telefon saya, dia kata tak nak balik dulu, nak sambung belajar agama selepas apa yang telah menimpa dirinya.

“Ada seorang profesor universiti yang ajaknya pergi belajar agama bersama setelah melihat Kartika begitu tertekan dengan situasi yang dialami,” kata beliau ketika dihubungi.

“Saya tidak pasti Kartika belajar kat mana sekarang, tapi rasa-rasanya dekat Kedah.

“Dia tidak beritahu saya dengan terperinci, cuma menyatakan nak sambung belajar. Benda-benda lain diketepikan dulu”, katanya lagi.

Kartika selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan selama tiga minggu pada 22 April lalu.

Kartika, 33, sebelum ini terlepas daripada hukuman sebat selepas Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan meringankan hukuman itu.

Ibu tunggal yang mempunyai dua anak itu dijatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai 2009 selepas didapati bersalah meminum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang.

Thursday, April 29, 2010

KTMB : PAS ucap tahniah dengan wujudnya Gerabak Khas Wanita




Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
THURSDAY, 29 APRIL 2010 01:21

KENYATAAN MEDIA
KTMB: PAS UCAP TAHNIAH DENGAN WUJUDNYA GERABAK
KHAS WANITA


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter. Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam dinegara ini.

PAS amat menyokong langkah ini kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak. Malah langkah ini dapat mengurangkan masalah ganguan seksual kepada penumpang wanita.


Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakan wanita ditempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaiknya. Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai.


Perkara ini sudah lama diadakan diluar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah. PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.


PAS berharap inisiatif ini juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita ditempat awam dapat dikurangkan disamping meningkatkan imej perkhidmatan awam dimata masyarakat.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS cadang Suruhajaya Khas di bentuk untuk siasat kes Norizan dan Aminulrasyid



Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
WEDNESDAY, 28 APRIL 2010 07:38

KENYATAAN MEDIA
PAS CADANG SURUHANJAYA KHAS DI BENTUK UNTUK SIASATAN
KES NORIZAN DAN AMINULRASYID


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan agar satu Suruhanjaya Bebas secara tetap dibentuk bagi menyiasat kes Norizan Salleh dan kematian Aminulrasyid Amzah berikutan pihak ketiga dalam kedua-dua kes ini adalah pihak Polis. Suruhanjaya Bebas secara tetap ini juga perlu bagi menangani pelbagai pertikaian rakyat yang melibatkan perkhidmatan Polis dimasa-masa akan datang.

Selepas lebih 6 bulan trauma, Norizan, 30 yang pernah menjadi mangsa serang hendap Polis masih belum mendapat pembelaan yang dikehendakinya. Kini timbul pula kes remaja 15 tahun, Aminulrasyid yang mati ditembak Polis Isnin baru-baru ini. Kes Norizan belum berjawab, kini Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussien pening kepala pasal Aminulrasyid.


Kedua-dua kes ini menarik perhatian rakyat terutama kematian Aminulrasyid yang dijangka bakal mengambil peperiksaan PMR hujung tahun ini. Polis dan Menterinya tidak boleh memaksa rakyat untuk tutup mulut hanya kerana yang terlibat dalam kes ini adalah anggota mereka sendiri. Rakyat menuntut janji "Selamat, Aman dan Makmur" yang dilaung-laung BN semasa Pilihanraya Umum ke-12.


Kita boleh bersetuju supaya rakyat memberikan ruang kepada pihak berkuasa menyiasat kes ini, tapi adakah kita perlu menunggu enam bulan lagi seperti kes Norizan barulah Polis mahu menyiasat.


Adalah lebih telus dan adil jika pihak ketiga iaitu Suruhanjaya Bebas mengambil alih tugas siasatan ini bagi memastikan mangsa dan keluarganya mendapatkan pembelaan yang sewajarnya.


Kita tidak nafikan sumbangan Polis yang banyak membanteras jenayah serta membantu rakyat. PAS amat berterima kasih diatas apa yang telah dilakukan oleh anggota-anggota Polis yang begitu komited dan berdedikasi dalam tugas mereka.


Namun Polis juga umpama setandan kelapa, pasti ada juga yang busuk, maka mereka harus tegas bagi memastikan imej anggota lain dan pasukan Polis keseluruhannya tidak terjejas.


Malah dalam kes seperti Norizan dan Aminulrasyid ini juga Polis berhak untuk membela anggotanya, tapi biarlah pembelaan itu dibuat melalui Suruhanjaya Bebas bukan melalui siasatan pihak Polis sendiri yang dipertikaikan ketelusannya.


Pertikaian ini mempunyai asas, dimana dalam kes Norizan, selepas 6 bulan berlalu tidak ada apa-apa jawapan yang memuaskan dari pihak Polis dan mangsa terpaksa menanggung kos rawatan bernilai RM 20 ribu secara bersendirian.


PAS berharap agar kedua-dua kes ini dapat diselesaikan secara baik. Rakyat berhak untuk terus menilai prestasi Polis dari semasa ke semasa dan Polis bertanggungjawab untuk terus menjaga imej serta kredibiliti perkhidmatan mereka.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

MARI TENGOK MUSLIMAT PAS PERAK DI HULU SELANGOR

Petugas2 Musllimat Pas Perak bergambar diakhir waktu pengundian ,turut serta peguam Asmidar....istiqamah dan gigih hingga dihujung masa.Tahniah.
Tetap setia,menanti pengiraan undi diluar pagar sekolah.
Anak-anak didikan PAS yang berselawat...merekalah bakal pejuang.
Berdiri sambil memegang bendera adalah tugas muslimat sambil mulut sentiasa berzikir dan mengingati ALLAH...panas mentari adalah perkara biasa untuk seorang pejuang.
Kak Mizan mengiringi seorang pengundi India.
Ni bukan pengundi ye....dia syok nengok ramai beno orang kiri kanan jalan,tu yg dia ulang alik je...
Keluarga yang bahagia dan harmoni....tabik kat kak ni,satu family datang....anak2 pun bagus dan istiqamah sampe akhir waktu pengundian.
Tak lekang dengan senyuman petugas2 kita ,walau penat berdiri .
Ni muslimat Slim River,deme ni pun istiqamah,tak berginjak dari awal sampe akhir,tak ingat aku namenya.

Thursday, April 22, 2010

MUSLIMAT PAS PERAK ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN

Alhamdullilah,selepas sahaja hari penamaan calon pada sabtu 17 mac,Dewan Muslimat Pas Perak telah mengatur dan menyiapkan segala jadual para petugas muslimat seluruh negeri Perak.

Komitmen yang ditunjukkan oleh para petugas muslimat Perak amatlah dialu-alukan,semua mereka penuh istiqamah dan beriltizam dalam menjalankan tugas.Setiap hari ada sahaja para petugas yang akan pergi ke markaz yang telah disediakan,petugas2 muslimat telah dibentuk menjadi 3 kumpulan ,meliputi semua dewan muslimat Pas Kawasan.

Pembahagian tugas dan kerja amat memudahkan apa saja yang diarahkan,pengorbanan muslimat meninggalkan suami,anak2 dan keluarga amat2lah dihargai,hanya Allah yang dapat membalas segalanya.

Menjelang hari pengundian dihujung minggu ini dijangka para petugas muslimat di seluruh negeri Perak akan turun dan berada di markaz dan bilik gerakan untuk membantu jentera2 muslimat yang ada.

Kepada mereka yang tidak dapat bersama untuk menyertai dan membantu para petugas2,diharap bantulah kami dengan cara yang lain,berdoalah untuk kemenangan calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim,insyaallah saya akan menyertai petugas yang lain pada hari sabtu ini.

Gambar2 dibawah saya ambil dari sahabat saya kak leha,yang telah berada disana,muslimat Perak sentiasa mendepani perjuangan dan komitmen mereka terhadap tugasan amat disanjung oleh DMP PERAK.Selamat menjalankan tugas anda semua dan sentiasa berhati2 atas segala tindakan,musuh hanya memerhati langkah kita.


































walau dibawah terik mentari kerja dakwah tetap dijalankan..
Pn Munirah memeriksa tekan darah pesakit sebelum urut refleksology dijalankan

Unit Amal yang setia menjaga keselamatan muslimat yang bertandang dari rumah ke rumah pengundi

bersama-sama wanita PKR masuk ladang

Wednesday, April 21, 2010

WAHAI MENTERI2,JANGAN CABAR SAYA

DATO' ZAID IBRAHIM tidak terkejut dengan serangan peribadi yang disasarkan kepadanya oleh Barisan Nasional. Walaupun beliau sedar usaha Umno-BN itu boleh membunuh karier politiknya, beliau bersikap profesional, tidak mahu membalas balik dengan menyebut nama-nama menteri Umno yang kaki botol serta tahi judi.

Baginya, beliau sudah sedar dan insaf dari kesalahannya. Kesedaran itu mungkin tidak timbul jika beliau masih bersama Umno. Ikuti pengakuan ikhlas beliau dalam wawancara eksklusif bersama Harakah, di kediamannya, di Tropicana, Damansara 19 April lepas.

HARAKAH: Nampaknya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor ini, Dato' diserang dengan begitu hebat. Umno-Barisan Nasional melalui media tali barutnya membuat serangan peribadi dengan mendakwa Dato' seorang 'kaki botol', apa komen Dato'?


DATO' ZAID IBRAHIM: Ingin saya perjelaskan bahawa pendirian saya dalam hal ini, saya suka berterus terang. Saya sebenarnya tidak suka mengungkit kisah yang lama. Semasa saya dalam Umno, ramai pemimpin Umno yang meminum minuman keras, tetapi semua ini, semasa dalam Umno tidak dipersoalkan.

Tetapi selepas saya keluar Umno, menyertai Pakatan Rakyat, peribadi dan karektor saya mula dipersoalkan.

Saya sudah berubah, perkara-perkara yang tidak baik semasa dalam Umno, sudah saya tinggalkan.

Saya sudah membentuk keperibadian yang baik dan saya mahu menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah.

Saya serahkan kepada rakyat, khususnya di Hulu Selangor, untuk menilai sikap saya dan sifat saya.

Dalam kehidupan ini bagi saya, yang pentingnya ialah, adakah kita sudah sedar dan insaf. Itulah beza saya dengan menteri Umno. Saya berterus terang dan saya bukan hipokrit.

Umno-BN juga menuduh saya sebagai kaki judi. Ini sesuatu yang tidak benar. Yang kuat berjudi di kasino adalah menteri-menteri Umno. Sehingga ada yang berhutang berjuta-juta ringgit tidak bayar. Mereka terlepas kerana mereka ini Umno. Tolong jangan cabar saya dedahkan nama-nama mereka ini.

Saya tidak mahu menyebut nama-nama bekas kawan-kawan saya ini. Saya tidak mahu mengaibkan mereka kerana saya tidak mahu mengikut jejak langkah Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan rakan-rakannya, yang giat menyerang peribadi saya.

Itulah jawapan saya terhadap perkara-perkara yang ditimbulkan oleh media BN.

Apakah yang mendorong mereka membuat serangan peribadi terhadap Dato'? Apakah ianya manifestasi dari kebimbangan mereka (BN)?


Mereka bimbang sebenarnya (ketawa). Jika mereka tidak bimbang, tak akanlah mereka menyerang peribadi saya sedemikian rupa. Mereka juga menyerang peribadi Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menaikkan poster Anwar, poster saya, dengan pelbagai cacian. Seolah-olahnya Zaid melawan Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak). Bukan Zaid lawan MIC.

Jelas, jentera BN yang diketuai sendiri oleh Muhyiddin, mahu mematikan karier politik saya. Cuma saya berharap rakyat di Hulu Selangor dapat memahami dan menolak usaha-usaha jahat yang dilakukan oleh BN.

Dato', sewaktu Dato' bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 di Kota Bharu. Pada ketika itu PAS dan KeADILan, dilihat tidak langsung menyerang peribadi Dato', walaupun dikatakan masyarakat di sana agak konservatif. Apa komen Dato'?


Ya. Saya amat menghargai sikap gentleman PAS dan KeADILan. Walaupun, saya tahu, PAS pun mengenali dan tahu latar belakang saya. Tiada pucuk pimpinan PAS yang menyerang saya, walaupun mungkin di akar umbi isu ini mungkin timbul.

PAS tidak menggunakan taktik menghina peribadi calon lawan. Ini amat berbeza dengan budaya politik Umno, terutama yang mereka lakukan sekarang.

Mereka menyerang peribadi saya kerana mereka takut kalah, takut kuasa mereka hilang.

Inilah petanda bahawa mereka berada dalam keadaan yang takut dan cemas dengan kuasa rakyat. Mereka tahu bahawa rakyat menolak mereka.

Pada hari penamaan calon, calon BN P Kamalanathan berkata beliau tidak mahu membuat serangan peribadi, namun TPM sendiri yang mengatakan ianya penting untuk kempen BN, komen Dato'?


Sebab itu saya katakan, saya bukan melawan MIC. Saya lawan PM dan TPM. Sebab itu juga MIC tidak berminat untuk mencungkil isu-isu peribadi. Malah saya tidak langsung mendengar sebarang cemuhan dari MIC sendiri.

Malah yang bersungguh-sungguh mencemuh saya ialah Umno. Disebabkan ketakutan mereka, mereka sanggup berceramah memaki hamun saya, mengupah media talibarut membuat beritadan rencana, mengupah bloggers Umno, seolah-olah mereka tahu benar tentang peribadi saya.

Kebanyakan serangan mereka adalah fitnah. Sehingga ada blog Umno yang mendakwa di firma guaman saya ada bar. Lebih 22 tahun saya di pejabat, tiada langsung bar seperti yang didakwa. Dituduh pula di rumah saya ada wine dan macam-macam lagi.

Isteri saya yang menguruskan rumah tangga, tak kanlah dia benarkan keadaan ini berlaku dalam rumah saya. Dia tahu peribadi saya.

Tetapi saya tidak boleh menghalang kejahatan mereka (BN). Mereka pamerkan poster, billboard yang saya memegang botol arak. Memang ini kerja jahat mereka yang takut kepada kekalahan.

Dalam PRK Hulu Selangor, ada dua calon Bebas. Satu daripada Umno, satu lagi daripada MIC. Bermakna, mereka (Umno-MIC-BN) yang berpecah sebenarnya. Apa pendapat Dato'?

MIC sendiri berpecah belah. Mereka ada banyak kem. Sekarang ini kita dengar calon bebas MIC ini menarik diri. Calon Bebas yang seorang lagi daripada Umno. Ini menunjukkan bahawa Umno sendiri memang tidak puashati apabila BN meletakkan calon dari MIC.

Tetapi mereka cuba menutup kelemahan ini. Orang-orang atasan BN tidak mengetahui masalah orang bawahan yang tidak mahu menerima calon MIC.

Apa pandangan Dato' tentang dakwaan tiada kerjasama dari kalangan KeADILan dan juga keluarnya Dr Halili Rahmat hari ini?


Saya sedar tidak semua yang bersetuju dengan saya. Namun, setahu saya tidak ada yang menyerang saya. Orang yang tidak puashati macam Dr Halili kerana mungkin namanya termasuk dalam short-listed, tetapi tidak terpilih.

Mungkin ada yang mempunyai pandangan berbeza dalam KeADILan tentang pencalonan saya. Tetapi saya lihat mereka bekerja membantu saya (berkempen) sebagai sebuah pasukan.

Di sebalik serangan peribadi oleh media tali barut BN, apakah sambutan yang Dato' terima sewaktu berkempen?


Saya cukup terharu dengan sambutan rakyat. Sama ada mereka orang di bandar atau luar bandar, orang Melayu di kampung dan Felda. Juga orang Cina dan India, mereka keluar beramai-ramai menyambut kempen saya.

Saya yakin, jika tidak ada penipuan, tiada yang termakan fitnah-fitnah yang melampau, pengundi akan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Setakat ini tidakkah serangan-serangan peribadi ini mengganggu Dato'?


Tidak ada. Tidak sama sekali. Saya pun sudah jangka apabila Muhyiddin kata mereka akan bongkar hal Zaid. Mereka ada beberapa hari lagi untuk membongkar hal-hal peribadi saya.

Seperti yang saya katakan, jika saya melakukan kesalahan. Saya tidak takut untuk meminta maaf dan memperbetulkan kesalahan saya.

Yang lebih penting, saya harap rakyat tidak terkeliru dengan tipu helah BN. Buatlah penghakiman yang sewajarnya menjelang 25 April ini.

Sama ada ia menjejaskan saya, saya dan isteri serta keluarga sudah sedia menghadapinya.

Pada saya jika kita hendak ungkit kelemahan pemimpin Umno, terlalu banyak, tetapi saya fikir, tidak usahlah berbuat demikian.

Apa pun serangan mereka. Saya berpuashati dengan sambutan dan sokongan rakyat sepanjang kempen.

Dalam kempen PRK ini, bagaimana Dato' melihat kerjasama daripada PAS dan DAP?

Saya amat berterima kasih kepada PAS kerana begitu kuat menyokong saya. Terutamanya Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Saya juga sering berbincang dengan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.

Saya bertemu petugas-petugas PAS yang begitu gigih berkempen di pasar-pasar. Mereka datang dari seluruh negara, bekerjasama dengan PAS Kawasan Hulu Selangor.

Apa pun serangan ke atas saya, petugas-petugas PAS ini begitu gigih menangkisnya Begitu juga dengan DAP, mereka bekerja keras di kawasan bandar dan perumahan kaum Cina. Mereka bekerja siang malam membantu saya.

Malah dalam KeADILan pun, walaupun ada dakwaan pihak tertentu yang tidak membantu saya, tetapi atas arahan dan kesungguhan Ketua Umum (Anwar), saya fikir semuanya akan berjalan lancar.

Serangan-serangan peribadi yang dilancarkan ke atas Dato' kelihatannya bertujuan untuk menggugat undi orang Melayu. Apakah barangkali undi orang Melayu terhadap Dato' akan terjejas?


Saya rasa tidak. Memang ada yang tebal menyokong Umno. Saya rasa orang seperti ini sudah tentu akan percaya semua dakyah Umno.

Tetapi saya percaya, sebahagian besar orang Melayu, orang Islam, akan membuat penilaian seadil-adilnya. Saya tidak katakan permainan isu peribadi ini tidak langsung menjejaskan saya. Tetapi saya yakin ia tidak mempengaruhi kecenderungan majoriti pengundi Melayu.

Umno menjadikan Felda sebagai stronghold mereka, bagaimana Pakaran Rakyat boleh menarik sokongan orang Melayu di kawasan tersebut?


Saya berkesempatan untuk mengunjungi beberapa kawasan Felda. Saya bertemu dengan peneroka, orang-orang tua dan anak-anak muda, mereka memberikan sambutan yang baik.

Jika hendak dibandingkan dengan keadaan dahulu, amat jauh berbeza. Sekurang-kurangnya ketika saya berucap, mereka mahu mendengar.

Saya sempat beberapa kali berceramah sepentas dengan Dato' Seri Hadi dan Dato' Seri Mohammad Nizar Jalamuddin.

Alhamdulillah, pada saya, saya amat berpuashati kerana mereka menyambut saya dengan begitu baik, mereka mendengar apa yang hendak saya sampaikan.

Bagaimana dengan sokongan pengundi Cina?


Saya mendapati orang Cina begitu bersemangat memberi sokongan kepada saya. Mungkin kerana mereka mengingati jasa-jasa saya sewaktu dalam parlimen dahulu. Saya membela beberapa orang Cina yang dikenakan tahanan di bawah ISA.

Saya juga mempertahankan kepentingan kaum mereka, sekolah mereka. Malah ada kalangan pemimpin MCA yang takut untuk bercakap di Parlimen, meminta saya berucap dalam hal-hal berkaitan kaum Cina.

Saya percaya orang Cina tidak akan lupa perkara ini.

Pengundi India pula bagaimana?


Orang India di Hulu Selangor, secara keseluruhannya kemiskinan mereka amat meluas. MIC telah gagal membantu memperjuangkan nasib kaum mereka sendiri. MIC gagal menjadi pembela kaum India.

Bukan sekadar kerana skandal Maika Holdings, MIED dan sebagainya semata-mata. Kerana MIC sendiri berpecah kepada banyak kumpulan besar. Ada kumpulan Samy Vellu, ada kumpulan G Panivel, ada juga kumpulan Subramaniam.

Apabila kumpulan-kumpulan ini dalam satu parti berpecah, maka sukar untuk kaum India menyuarakan permasalahan mereka.

Sebab itu saya menyeru kepada orang-orang India di Hulu Selangor, supaya kali ini beri peluang kepada orang Melayu pula untuk membela nasib mereka. Sudah berbelas-belas tahun wakil rakyat berketurunan India gagal membantu, maka beri peluang orang Melayu pula yang jadi wakil rakyat.

Dalam lawatan saya ke ladang dan perkampungan kaum India. Sambutan mereka terutamanya dari kalangan kaum wanita cukup baik. Malah mereka bercerita tentang permasalahan mereka, persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Selama ini MIC pun tidak pernah mengambil berat tentang mereka.

Kempen PRK begitu singkat, apa fokus Dato' pada hari-hari terakhir ini?


Fokus saya ialah untuk cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi Hulu Selangor, kerana itulah sahaja cara saya untuk memperbaiki imej buruk yang dijaja BN terhadap saya.

Saya perlu mengatasi semua fitnah ini walaupun berjumpa seketika dengan pengundi. Dalam setiap pertemuan, saya jelaskan mengapa saya sanggup membela nasib mereka dan apa sejarah perjuangan saya.

Saya amat mengharapkan Zaid yang dikenali orang Hulu Selangor berbeza dengan Zaid yang orang Umno kenal. Mudah-mudahan 25 April ini mereka memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat dari KeADILan.

Tuesday, April 20, 2010

Srikandi tekad turunkan billboard pagi esok

HULU SELANGOR, 20 April: Briged Srikandi PKR Malaysia memberi kata dua kepada pihak berkuasa supaya menurunkan billboard provokasi Umno di sekitar Parlimen Hulu Selangor.

Menurut ketuanya, Siti Aishah Sheikh Ismail, 25, sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak, pasukan Srikandi dengan bantuan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan menurunkan semua billboard provokasi tersebut.

"Semalam lagi, saya sudah memberi kata dua, sehingga 10 pagi esok, kita (Srikandi) dan kawan-kawan Chegu Bard akan turunkan sendiri kesemua billboard," kata beliau pagi tadi selepas membuat laporan susulan di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah, Kuala Kubu Baru.

Menurut beliau, sepatutnya pihak berkuasa telahpun menurunkan kesemua 16 billboard tersebut pada hari ini kerana Srikandi telah membuat laporan kelmarin lagi.

Seketika kemudian, Cif Inspektor Jagjeet Singh bersama seorang pegawai penyiasat menyertai Siti Aishah untuk meninjau di kawasan-kawasan terbabit. (Gambar)

Turut menyertai Siti Aishah, empat pemimpin Srikandi yang lain, iaitu Nurul Hafizah Ghazali, Nurul Hashimah Ghazali dan Nurul Hidayah Ghazali.

Siti Aishah bersama pasukan CheguBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin meminta polis campur tangan dalam kempen berunsur provokasi menggunakan billboard yang dilakukan oleh jentera Umno.

Selepas mendapati SPR mengambil tindakan sambil lewa, Siti Aishah dan Chegu Bard mengambil keputusan membuat laporan polis.


PAS tambah bilangan petugas di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR, 20 April: PAS menambah bilangan petugas ke Hulu Selangor bagi membantu gerak kerja kempen memenangkan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil parlimen itu Ahad ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut siang tadi.

"PAS malam tadi membuat keputusan akan all out hantar tenaga kita sebanyak mana yang diperlukan untuk membantu PKR," katanya.

Keputusan menghantar pasukan tambahan itu dibuat pada mesyuarat Jabatan Pilihan Raya yang dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Dengan kerahan tenaga baru itu menurutnya, bilangan petugas PAS di Hulu Selangor akan meningkat dari 20 peratus kepada 60 paratus.

"Kita ada unlimited resources, walaupun Zaid calon PKR, tapi Zaid adalah calon PKR, DAP dan PAS," katanya lagi.

Mengulas isu serangan peribadi terhadap Zaid berhubung isu arak pula beliau berkata, tindakan Umno itu tidak ada kelas dan bakal memakan diri sendiri.

Umno/BN, katanya akan menggunakan apa sahaja cara untuk memastikan Zaid tidak berada di parlimen.

"Seluruh perdana menteri yang perintah Malaysia terlibat dengan arak kecuali Abdullah Badawi.

"Yang lain terlibat, ada saya tengok dengan mata kepala saya sendiri pun ada, tapi saya tak mahu cakaplah," katanya lagi.

Lebih memalukan dedahnya, pemimpin Umno tidak terlepas daripada gejala rasuah, arak, judi dan perempuan.

"Ini budaya dalam Umno, saya pernah dalam kerajaan dulu, saya tahu. Tidak ada seorang pun pemimpin Umno terlepas dari salah satu benda ini," katanya.

Thursday, April 15, 2010

MARI KITA BENAMKAN BN DI HULU SELANGOR


http://buletinonline.net/images/stories/berita24/prkhs5.jpg- Presiden Lancar Jentera PAS Terengganu 17 April

HULU SELANGOR – PAS Trengganu berazam akan ‘membenamkan’ Umno dan Barisan Nasional (BN) di Ulu Bernam, kawasan yang menjadi fokus jenteranya dalam pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor (PRK Hulu Selangor).

”Harapan (untuk menang) cerah kerana Pakatan Rakyat akan meletakkan seorang tokoh nasional yang dikenali ramai,
”kebajikan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR telah dirasai oleh seluruh rakyat dan pimpinan negeri yang sentiasa turun padang,”kata Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat.

Katanya, perpecahan Umno menghadapi PRK Hulu Selangor tidak dapat disembunyikan lagi, yang akan menjadi satu faktr kekalan Umno/ BN.

(Gambar - Haji Hanafiah bersama Setiausaha PAS Terengganu Haji yahaya Ali, berbincang dengan jentera PAS setempat)

”Perebutan calon diantara Umno dan MIC begitu ketara, petang kelmarin, saya mendapat maklumat, Umno Hulu Selangor mengadakan mesyuarat tergempar,

”mereka bercadang untuk menghantar memorandum kepada Presiden Umno Dato’ Seri Najib Razak, menuntut supaya kerusi tersebut diletakkan calon dari Umno,”tegas Hanafiah ketika menghubungi Buletinonline

Dalam perkembangan yang sama, Pengarah Jabatan Piliharaya, Ariffin Deraman berkata, PAS Terengganu secara rasminya akan menghantar seramai 150 petugas sepanjang kempen pilihanraya kecil berkenaan.

Katanya. PAS Terengganu telah pun menempatkan 50 petugas mahir bermula 12 April lalu.

”Kita telah pun menghantar 50 petugas bagi gelombang pertama, 50 petugas mahir ke Felda Sungai Tengi, Ulu Bernam,

”kawasan yang menjadi fokus jentera PAS Terengganu, sepanjang kempen pilihanyara kecil ini,”jelas Ariffin.

Katanya, petugas Terengganu akan dihantar dalam tiga fasa, Gelombang 1, 2 dan 3, sehingga hari pengundian 25 April depan.

“Gelombang 1 bertugas dari 12 hingga 17 April, gelombang 2 dari 17 hingga 21 April dan gelombang 3 dari tarikh tersebut hingga hari pengundian,

”kita telah pun selesai melengkapkan semua logistik, membuka bilik gerakan dan merangka pergerakan kempen sepanjang 9 hari,”jelasnya ketika dihubungi.


Menurutnya, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hdi Awang akan melancarkan gerak kerja jentera pilihanraya PAS Terengganu pada jam 4.30 petang, 17 April, Sabtu.

”Sebelah malamnya, Presiden akan berceramah bersama Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution, bagi melengkap kempen hari pertama,”tambahnya.

Wednesday, April 14, 2010

BN WAJIB DITUMBANGKAN.

Baguslah para pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor nampaknya sudah insaf tentang kelemahan diri mereka sendiri. Sama ada keinsafan dan penyesalan itu terbuak dari keikhlasan mereka memuhasabah diri, atau sekadar memenuhi agenda peribadi sebilangan pihak menyalahkan pihak lain di kalangan sesama pemimpin BN, adalah suatu hal yang tertakluk kepada andaian dan pengamatan berbeza.


Apa yang pasti, BN sendiri secara gentlemen tidak mengaitkan kesemua penyebab kekalahannya di negeri itu dengan sebarang konspirasi atau manipulasi politik parti lawan. Tiada disebutkan bahawa ia kalah kerana rakyat tertipu dengan putar belit atau terpedaya dengan janji manis pembangkang. BN mengakui ia adalah semata-mata faktor kelemahan dalaman parti itu sendiri

Konvensyen BN Selangor pada 7 April mengenalpasti enam punca utama ia gagal mengekalkan kemenangan di negeri itu, Mac 2008. Disedari atau tidak, tiga daripada kelemahan itu berhubungkait dengan konflik atau ketidak serasian antara para pemimpin dan pendokong BN sendiri. Manakala tiga lagi merujuk kegagalan kaedah atau pendekatan digunapakai parti itu dalam berhadapan rakyat.

“Punca pertama ialah prinsip muafakat yang diamalkan (dalam BN) selama ini mula bertukar menjadi konflik yang membawa mudarat, terutama di kalangan parti komponen BN itu sendiri,” akui Pengerusi konvensyen, Dato’ Seri Mohd Zin Mohamed.

Katanya, punca kedua pula ialah apabila usaha yang sepatutnya dilakukan untuk menjuarai isu rakyat beralih haluan kepada tindakan memperjuangkan kaum kerabat sendiri.

Ada pihak menafsirkan istilah “kaum kerabat” itu sebagai merujuk kepada kaum-kaum yang diperjuangkan oleh setiap parti komponen BN. Oleh kerana sebahagian besar parti-parti itu wujud atas sentimen dan perjuangan kaum masing-masing, maka natijah buruk terhadap BN tidak sukar ditelah. Keghairahan setiap parti mencapai matlamat kewujudan masing-masing akhirnya membawa padah.

Jika itulah yang sebenarnya dimaksudkan pengakuan BN Selangor itu, maka ia mengesahkan bahawa BN sememangnya sebuah parti yang didokongi puak-puak yang “tidur setilam tapi mimpi berlainan”.

Istilah “kaum kerabat sendiri” itu juga boleh difahami bermaksud kroni atau suku-sakat. Tafsiran ini juga boleh diterima, memandangkan amalan kronisme diakui suatu penyakit yang membarah di kalangan para pemimpin BN di semua peringkat. Ia juga salah satu punca rakyat naik jelak dan jijik terhadap parti itu.

“Punca lain ialah pergolakan dalaman BN lebih dijadikan tumpuan berbanding usaha membina kekuatan parti,” sambung Mohd Zin lagi.

Bekas Menteri Kerja Raya yang tidak disambung perkhidmatannya oleh Perdana Menteri itu turut mengakui khidmat dan pendekatan BN yang lebih bercorak eksklusif dan tidak inklusif juga menjadi punca ia ditolak rakyat. Apakah itu bermaksud BN masih belum boleh mengaku ia benar-benar “mesra rakyat”?

Manakala punca lain ialah apabila BN ketinggalan dalam memanfaatkan teknologi maklumat yang ditaja dan diperkenalkannya sendiri.

Sebetulnya itulah apa yang didakwa banyak pihak sebelum ini. Bahawa BN tidak begitu menampakkan kesungguhan menjayakan apa yang dilancar atau diwujudkannya sendiri. Bahkan, dalam banyak keadaan ia sering ketinggalan berbanding parti lawan dalam usaha menjayakannya.

Selain teknologi maklumat, contoh lain ialah apabila BN memperkenalkan perbankan Islam. Di awal kewujudannya, hanya Bank Islam yang ada. Ketika itu amat payah untuk melihat mana-mana peringkat organisasi Umno membuka akaun di Bank Islam. Mereka lebih berminat menyimpan di bank-bank konvensional.

Parti politik paling terkedepan memanfaatkan kewujudan Bank Islam ialah PAS. Sikap hipokrit Umno itu terdedah apabila PAS merampas Kelantan pada 1990 dan mengalihkan deposit tetap kerajaan negeri ke Bank Islam. Rupa-rupanya BN, khususnya Umno, hanya tahu berbangga memperkenalkan itu dan ini, tetapi ia sendiri tidak bersungguh menjayakannya.

Keadaan serupa berlaku di awal penubuhan Universiti Islam dulu. Para pemimpin PAS dikatakan jauh lebih bersungguh menghantar anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke institusi Islam itu berbanding para pemimpin BN, khususnya Umno sendiri.

Namun pantang bagi BN mengakui kelemahan atau kesilapannya itu. Setiap kali fakta-fakta itu disuarakan mana-mana pihak, ia akan menganggapnya sebagai mainan politik pembangkang untuk memburukkan BN.

Sebab itu apabila pembangkang membangkitkan amalan kronisme di kalangan penguasa pemerintahan, BN tidak pernah bersedia menerima atau sekurang-kurangnya memperhalusi dakwaan parti lawan itu.

Begitu juga apabila pembangkang membangkitkan soal perpecahan dalaman BN yang semakin parah, BN lebih selesa memulangkan paku buah keras terhadap parti lawannya.

Samalah juga apabila pembangkang mendakwa sokongan golongan muda telah beralih arah kepada mereka, BN memperlekehkannya dan menganggapnya sekadar gimik politik pembangkang.

Kini Konvensyen BN Selangor mengakui kebenaran segala dakwaan itu. Punca keenam kegagalannya mempertahankan kemenangan ialah kerana BN tidak memahami aspirasi pengundi muda.

Nampaknya BN menunggu menjadi parti kalah, baru ia bersedia menilik ke dalam dirinya dan mengakui kelemahan sendiri. Jika begitu, elok rakyat kalahkan BN di negeri-negeri lain juga.

“Untuk berjuang, kita kena ada persiapan”


Turun ke medan perang tanpa sebarang persiapan pastinya bukan menjadi pilihan mana-mana tentera. Menghadapi peperiksaan tanpa ulangkaji pelajaran semestinya bukan pilihan pelajar sekalian. Maka janganlah kita bergerak menentang logik akal. Tunjuk pandai perlu kena pada tempatnya.

Maka seruan untuk diri dan semua, ingat kembali rukun dakwah yang kita pelajari. 4 kesemuanya. Daei’, mad’u, maudhu, dan uslub. Antara 4 sekawan itu, 3 milik kita. 1 di luar kawalan kita. Maka perkasakanlah diri kita.


“To give more, you have to earn more. To earn more you have to learn more”



Friday, April 9, 2010

Wala’ dan Thiqah, pengajaran dari Rasulullah s.a.w.
http://www.khalidsamad.com

Kebelakangan ini ada yang menimbulkan persoalan Wala’ dan Thiqah sambil memberikan penekanan terhadap pengamalannya. Ia bagaikan menjadi bagaikan satu ‘trend’ sehingga yang tidak tahu hujang pangkal turut ingin membicarakan persoalan ini. Tumpuan yang diberikan kepada persoalan ini memberikan gambaran seolah-olah PAS sedang dilanda musibah berhubung dengan dua ‘doktrin’ (sepertimana istilah yang digunakan) ini dan ianya perlu ditangani sebelum bencana melanda PAS.

Saya melihat keadaan yang wujud adalah hasil dari ketidak-fahaman ahli PAS sendiri terhadap penggunaan istilah ini. Apabila ianya tidak difahami maka ianya telah menimbulkan keluh-kesah kerana mereka ingin melihat dan mencapai sesuatu yang pada dasarnya tidak dituntut dengan cara yang sepertimana digambarkan. Bagi sebahagian ahli pula, khususnya yang masih ‘baru’, istilah wala’ dan thiqah ini membawa erti kepatuhan yang tidak berbelah bagi sehingga pemimpin serta apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pemimpin, tidak boleh dipersoalkan. Sekiranya ianya disoal, atas apa alasan sekalipun, maka bererti tiadanya wala’ serta thiqah bagi yang menyoal. Mereka ini kemudiannya terus dilabel ‘kurang tarbiyyah’, pemikiran sekular dan sebagainya.

Oleh kerana salah faham sebegini wujud di kalangan kelompok yang tertentu dan disuburkan pula oleh yang golongan yang lain, maka timbul kekuathiran kononnya ada yang ingin “merobohkan doktrin wala’ dan thiqah”. Tetapi, pada hakikatnya, wala’ dan thiqah tidak menuntut ahli jemaah menjadi bagaikan lembu yang dicucuk hidungnya untuk diheret ke mana sahaja yang diinginkan oleh pemimpin.

Untuk menjelaskan konsep ini, marilah kita renung bersama kepada peristiwa pembahagian harta rampasan perang (‘ghanimah’ – yang hanya relevan pada ketika peperangan) selepas selesai perang Hunain. Dalam peristiwa ini, Rasulullah telah memberi ghanimah pada orang Quraisy yang baru memeluk Islam dan tidak pula kepada yang lain. Tindakan ini menyebabkan kaum Ansar berasa kurang senang sehingga ada yang mengatakan, “Semoga Allah mengampuni RasulNya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita pada hal pedang-pedang kita masih basah dengan darah mereka (kaum Quraisy)”.

Rasulullah (SAW) telah mendengar akan berita tersebut dan Baginda mengumpul kaum Ansar dan seterusnya bersabda, “Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan ku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan ku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita dan Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Bagi setiap soalan yang ditanya Rasulullah, kaum Ansar menjawab, “Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Rasulullah (SAW) meneruskan, “Hai kaum Ansar, apakah kamu marah kerana tidak menerima ‘sampah dunia’ yang tiada nilainya? Dengan ‘sampah’ itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa”.

Maka jika kita perhalusi akan peristiwa ini, apa yang terjadi adalah kerana sebahagian dari kaum Ansar mempertikaikan keputusan Rasulullah (SAW) berhubung agihan ghanimah perang Hunain. Tahap pertikaian itu begitu hebat sehingga ada yang menganggap Rasulullah tersilap dan memohon maaf kepada Allah bagi pihak Rasulullah! Apabila Rasulullah mendengar berita tersebut, Baginda memanggil mereka dan menjelaskan mengapa dan kenapa ianya dilakukan sebegitu rupa. Penerangan dan penjelasan yang diberi begitu tepat dan kukuh sehingga semua yang mendengar menerimanya dengan baik, malahan ada yang merasa cukup bersalah kerana mempertikaikan keputusan Rasulullah.

Pengajaran yang utama yang boleh diperolehi dari peristiwa ini ialah kaedah kepimpinan Rasulullah (SAW) itu sendiri. Rasulullah tidak menangani persoalan ini dengan hanya menyebut “wala’ dan thiqah” dan kalau kamu pertikaikan keputusan aku maka kamu tak wala’ dan tak thiqah! Baginda juga tidak mengherdik mereka yang bertanya dan melabelkan mereka sebagai kurang tarbiyyah, berpemikiran jahilliyah dan sebagainya. Sebaliknya, Rasulullah memanfaat situasi yang wujud melalui pertikaian tersebut yang mempertegaskan lagi kemuliaan perjuangan Islam serta diperteguhkan lagi niat untuk menuntut keredhaan Allah yang mesti mengatasi segala niat dan tujuan yang lain.

Melalui kaedah kepimpinan sebegini, Rasulullah tidak menghalang perbincangan dan perbahasan berhubung sesuatu keputusan yang diambil oleh Baginda. Sebaliknya, mengiktiraf hak bertanya oleh kaum Ansar dalam soal sesuatu tindakan yang merupakan pendapat dan bukan wahyu dari Allah. Dengan memberikan penerangan dan penjelasan, wala’ dan thiqah terhadap Baginda (SAW) telah pada masa yang sama turut diperkukuhkan.

Dalam keadaan di mana keputusan Rasulullah sendiri disoal dan Baginda tidak pun melihatnya sebagai satu kesalahan, maka amatlah hairan jikalau pada ketika ini ada yang marah apabila keputusan pemimpin yang bukan seorang Rasul dipertikaikan. Sehinggakan mereka menganggap ianya budaya selain dari Islam kerana Islam tertegak dengan ‘doktrin wala’ dan thiqah’, yang mungkin bagi mereka membawa erti kepatuhan yang mebuta tuli.

Kalaulah Rasulullah sendiri pun tidak marah dan turut mengambil masa untuk menjelaskan kepada para sahabat dari kaum Ansar, maka persoalannya sekarang apakah hak pemimpin lain yang tarafnya jauh lebih rendah untuk marah dan memberi jawapan sekadar “wala’ dan thiqah”?

Perang Hunain adalah peperangan selepas peristiwa Fathul Mekah. Ianya diperingkat penghujung Sirah Nabi di mana golongan Ansar terlebih dahulu telah sempat melalui tarbiyyah dan latihan yang jauh lebih kemas dari kita di dalam PAS. Mereka lebih memahami dan mengetahui Islam dari apa yang ada ketika ini. Namun mereka tidak melihat reaksi mereka terhadap tindakan Rasulullah sebagai ‘tidak wala’ dan tidak thiqah’. Mereka hanya mempersoalkan sebab mengapa ianya dilakukan sedemikian rupa. Dan mereka faham dan tahu bahawa Rasulullah (SAW) selama ini pun mengajar mereka bahawa mereka berhak untuk bertanya.

Hakikatnya, kebijaksanaan dan ketepatan tindakan Rasulullah tidak dapat difahami mereka sehingga ianya dijelaskan oleh Rasulullah (SAW). Tetapi, melalui penerangan yang diberi, menjadi jelas kebijaksanaan dan ketepatan tindakan Rasulullah (SAW) dan mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.

Dalam kedudukan mereka yang begitu tinggi kefahaman mereka terhadap Islam sekalipun, golongan ini memerlukan penjelasan apabila berlakunya tindakan yang dilihat agak kontroversi. Apatah lagi kita! Atau adakah dianggap memadai dengan menjawab “wala’ dan thiqah” kerana ahli PAS kini lebih hebat?

PAS sebagai jemaah Islam mestilah mempunyai keterbukaan, mendengar teguran dan kritikan, dari dalam dan dari luar dan memanfaatkannya untuk kebaikan kita. Lebih-lebih lagi kritikan dan teguran yang datangnya dari ahli. Oleh kerana yang menegur adalah ahli, maka PAS harus yakin bahawa teguran yang dibuat adalah bertujuan untuk kebaikan. Tidak wajar jika mahu ditutup saluran dan ruang teguran dan kritikan dengan memutar belitkan kefahaman terhadap wala’ dan thiqah untuk membawa pengertian kepatuhan tidak bertempat. Jika PAS bertindak sebegitu, maka ini akan dengan sendirinya mematikan apa yang Rasulullah sendiri ingin suburkan dan galakkan.

“Pemimpin tidak maksum dan pengikut tidak bodoh”. Kalau kita memahami ini dan mengamalkannya, sudah pasti corak kepimpinan kita akan mendampingi cara Rasulullah (SAW). Rasulullah sendiri bersedia mendengar teguran dan pandangan sahabat walaupun Baginda maksum. Baginda menghargai pandangan sahabat kerana mereka tidak dilihat bodoh oleh baginda malahan dalam banyak hal baginda mencari para sahabat untuk mendengar pandangan mereka.

PAS perlu menyedari bahawa wala’ dan thiqah perlu diperkukuhkan melalui tindakan yang telus dengan memberikan penjelasan berhubung sebab-sebab mengapa sesuatu tindakan itu diambil. Sekiranya tindakan itu mencurigakan, maka ahli berhak bertanya dan sekiranya tidak dijawab, ahli berhak mempertikaikannya. Wala’ dan thiqah tidak merupakan ‘alat pemimpin’ untuk menundukkan dan menafikan hak pengikut untuk bertanya dan mengambil tahu.

Dalam suasana masyarakat yang mengamalkan demokrasi, kemampuan PAS menjelaskan dan membuktikan keadilan dan ketepatan setiap tindakannya kepada ahli dan masyarakat umum amat penting. Ahli dan masyarakat umum menilai setiap tindakan PAS. Ketelusan tindakan serta wujudnya sebab dan alasan yang munasabah bagi setiap tindakan akan mengukuhkan keyakinan ahli dan anggota masyarakat terhadap kemampuan PAS untuk mentadbir Negara.

Oleh yang demikian, tidak cukup dengan hanya menjawab, “wala’ dan thiqah”. Dalam keadaan dan suasana gerakan siir, bawah tanah dan rahsia, jawapan sebegitu mungkin memadai dan hanya itu sahajalah jawapan yang mungkin boleh diberi. Namun pada ketika ini, suasana tidak seperti keadaan seperti Ikhwan pada tahun 60an. Negara kita ini berada dalam suasana yang jauh berbeza.

Lebih cepat di kalangan ahli PAS mampu memahami perbezaan ini dan impaknya kepada kaedah gerakan Islam, maka saya fikir itulah yang lebih baik.

WaLlahu 'Alam


Friday, April 2, 2010

OK! KAMI JANJI TAK BUAT LAGI.

Setelah berpuluh tahun PAS khasnya membantah upcara atau majlis seumpama perayaan Hari Pahlawan diadakan di hadapan Tugu Negara, akhirnya kerajaan Persekutuan mengumumkan tidak lagi akan mengadakan majlis seumpama itu kerana menghormati pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Majlis Fatwa ada memutuskan amalan seperti tiupan ‘Last Post’, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan ‘Rouse’ yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.


Semoga segala amalan syirik dan haram lain dapat ditiadakan dan masyarakat dapat dibersihkan dari unsur-unsur yang mengundang murka Allah swt.

Walaubagaimanapun pengumuman Menteri Pertahanan bahawa sebuah dataran akan dibina di Putrajaya bagi diadakan majlis berkenaan (tanpa tugu) bagi saya adalah satu pembaziran. Bukannya kita tidak menghargai majlis memperingati jasa pahlawan-pahlawan kita, tetapi bijakkah dibelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah dataran sedangkan kita telah sedia ada banyak dataran, stadium dan seumpamanya.

Di Putrajaya pun telah sedia ada dataran yang digunakan untuk perayaan Hari Kemerdekaan. Gunakanlah sahaja apa yang ada. Islam bukan sekadar mengajar kita menjauhi amalan syirik tetapi juga mengesyorkan kita agar mengelakkan pembaziran tambah-tambah yang melibatkan wang rakyat

MEMANG KAMI GUNA SEKOLAH UNTUK POLITIK:MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR- Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui terdapat pihak tertentu yang menggunakan sekolah untuk tujuan politik.Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan yang dikemukakan Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali (PAS- Tittiwangsa) sewaktu sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang diPertuan Agung di Dewan Rakyat.

Dr Lo'Lo' sewaktu mencelah ucapan Muhyiddin menyatakan beliau berasa sukacita apabila Muhyiddin menyatakan pimpinan masyarakat boleh masuk ke sekolah-sekolah untuk bersama-sama membantu menjayakan program-program anjuran sekolah

Bagaimanapun Lo'Lo' melahirkan kekecewaan kerana terdapat sekolah-sekolah yang mengambil peluang bagi tujuan politik di sekolah terbabit.

"Kita bercakap sebagai ahli parlimen yang matang dan bukan mengeluarkan kenyataan sembrono. Saya mendapat maklumat Umno dan Puteri Umno masuk ke sebuah sekolah menengah di Segambut. Ini jelas menunjukkan ia bertujuan untuk aktiviti politik.

"Begitu juga saya difahamkan bekas wakil rakyat Titiwangsa merasmikan sukan di salah sebuah sekolah di kawasan saya, sedangkan saya ahli parlimen kawasan tersebut di larang masuk. Jadi saya minta perkara seperti ini dapat difikirkan kembali," katanya.

Kenyataan beliau itu disokong Ahmad Kassim (PAS-Kuala Kedah) yang menyatakan sekiranya kerajaan membenarkan ahli politik masuk ke sekolah-sekolah, ia tidak harus membezakan parti-parti politik tertentu.

"Kalau kerajaan benarkan, benarkan semua. Kalau tidak benarkan, jangan benarkan semua,"katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timabalan Perdana Menteri memberi jaminan akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang berlaku.

"Jika benar Puteri Umno masuk ke sekolah-sekolah untuk pendaftaran ahlinya, saya rasa ia memang tidak patut berlaku. Dan saya berharap kelemahan ini dapat diperbaiki,"katanya.

Thursday, April 1, 2010

POLIS JADI PENYIBUK DAN PENGACAU DUN PERAK

Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan kehadiran anggota polis yang mengganggu keharmonian dan kelancaran mesyuarat pertama penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di Bangunan Darul Ridzuan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau termasuk 27 ADUN PR yang lain memprotes tindakan segelintir anggota polis yang menghalang mereka memasuki pintu berhampiran DUN.

Menurutnya, mereka menerima arahan daripada Speaker DUN, Datuk R Ganesan untuk memasuki pintu berasingan dengan ADUN Barisan Nasional (BN).

“Kami bukan sahaja dihalang selama 15 minit sebelum masuk ke dewan oleh anggota polis malahan diarahkan untuk masuk ke pintu lain,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini, semalam.

Mohammad Nizar berkata, petugas media turut menjadi mangsa apabila dihalang pihak berkuasa daripada membuat liputan perjalanan Sidang DUN itu.

Beliau mendakwa terdapat puluhan anggota polis memenuhi galeri awam berlegar-legar di kawasan berkenaan.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kebebasan media adalah salah satu asas demokrasi. Apa yang berlaku di dalam dewan harus diberitahu kepada rakyat tidak kira sama ada mereka (media) menyokong PR ataupun BN,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham mencabar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Polis Perak dan Datuk Zulkifli Abdullah berjanji supaya anggota polis tidak menghadiri Sidang DUN, hari ini.

Menurutnya, pihak PR tidak teragak-agak bertindak membuat laporan kerana menghalang perjalanan demokrasi dan melanggar undang-undang di negeri ini.

“Tidak mustahil jika sewaktu perbahasaan ada anggota polis yang tidak suka kepada kami cuba bertindak di luar batasan.

“Justeru, kita meminta supaya jaminan diberikan kepada ADUN PR supaya keselamatan kami terjamin sepanjang Sidang DUN berlangsung,” katanya.

Di samping itu, Koo Ham meminta supaya masa untuk perbahasan cukup untuk mengemukakan isu berkaitan rakyat namun mereka difahamkan hari ini agenda itu tidak akan dijalankan.

“Sepatutnya kita ikut sistem yang dilaksanakan di Parlimen di mana kedua-dua pihak berdebat sebelum satu keputusan muktamad dicapai.

“Sehubungan itu, kami meminta supaya Setiausaha Dewan melakukan sesuatu terhadap kehadiran polis kerana negara kita mengamalkan Doktrin Pengasingan Kuasa dan mereka yang tidak berkaitan tidak boleh mengganggu Sidang DUN,” katanya. S/H