Tuesday, June 18, 2013

Sidang Parlimen ke-13 dijangka paling panas

SHAH ALAM – Parlimen yang akan memulakan persidangan pertama penggal ini pada 26 Jun depan dilihat akan lebih hangat dengan kehadiran ramai Ahli Parlimen baru. Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berpendapat, Ahli Parlimen yang majoritinya adalah orang muda akan memberi impak besar terhadap Parlimen kali ini. Menurutnya, hakikat tersebut harus diakui namun berharap tidak akan wujud kisah ‘istana pasir’ di dalam Dewan Rakyat nanti. “Jangan ada lagi perkara seumpama itu berlaku.

 Satu pihak bina istana, satu lagi mengkritik dan merobohkannya. “Apa yang paling utama adalah mencari kesepakatan dalam menyelesaikan isu rakyat dan ditangani bersama-sama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, Dewan Rakyat adalah medan bagi memajukan negara ini dan bukan mencari kepentingan untuk diri sendiri dan juga parti. “Sebagai wakil rakyat yang dipilih, seharusnya semua Ahli Parlimen dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

 “Elakkan daripada isu boikot yang mana sebelum ini ramai Ahli Parlimen yang berpakat keluar Dewan Rakyat jika tidak setuju dengan usul atau jawapan daripada pihak lain,” katanya. Prof Datuk Dr Raduan yang juga merupakan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berpendapat, tindakan keluar dewan harus dihentikan serta-merta. “Perkara ini harus diberi peringatan sebelum sidang Parlimen bermula. Ia hanya akan mengundang lebih banyak masalah. “Saya tidak lihat apakah positifnya tindakan sedemikian dilakukan. Saya juga berharap semua Ahli Parlimen akan dapat mewakili rakyat menjadi seorang yang lebih matang dalam mengutarakan setiap isu tanpa prejudis,” katanya. 

 Sementara itu, Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan berpendapat, kehadiran ramai Ahli Parlimen baru diharap akan dapat mengurangkan ‘debat jenaka’ seperti yang berlaku pada sesi lalu. “Saya melihat, kebanyakan Ahli Parlimen kali ini lebih berkaliber, boleh berdebat dengan baik dan berkeyakinan dalam sesuatu isu. 

“Tidak seperti penggal lalu, yang mana ada di antara mereka hanyalah tangkap muat dan gemar berdebat secara berjenaka di dalam Dewan Rakyat tanpa mempunyai fakta yang kukuh,” katanya. Katanya, dengan keseimbangan Ahli Parlimen BN dan PR kali ini, ia akan memberikan satu senario baru dalam pembentangan dan hujah isu-isu berkaitan. “Rakyat mahukan kerajaan yang bagus dan pada masa sama memerlukan pembangkang yang konstruktif. “Inilah yang akan berlaku.

 Cuma, setiap Ahli Parlimen perlu membuat kerja rumah terlebih dahulu memandangkan mereka akan mendapat isu dua atau tiga hari sebelum bersidang,” katanya. Katanya, itu perlu demi memberikan yang terbaik di dalam dewan seterusnya dapat membantu menyelesaikan segala isu berasaskan bukti dan fakta.