Monday, September 26, 2011

YB Siti Zailah Ke PERAK : Tingkatkan Taqwa, Menangkan Islam









Ipoh (22.09.11): Kehadiran Ketua Muslimat PAS Pusat, YB Hajjah Siti Zailah Mohd Yusuff yang juga merupakan ahli parlimen Rantau Panjang telah memberi semangat buat semua ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Perak untuk memperkasakan jentera dalam persiapan menuju pilihanraya umum ke 13 yang akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi. YB Hajjah Siti Zailah turut ditemani oleh tiga pimpinan dari Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) iaitu Al Ukht. Che Azlina Che Harun , Hjh. Aida Yusof Rawa dan Pn Norhayati Bachok bagi memantau gerakkerja dan perkongsian dua hala dalam memastikan Negeri Perak dapat dikembalikan semula ke Pakatan Rakyat (PR). Seramai lebih dari 60 orang ahli jawatankuasa hadir yang terdiri daripada AJK harian DMPN, AJK HalWa JPN, Pengarah Pilihanraya DMPK dan ketua HalWa MTD yang telah diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Ipoh pada jam 3.00 petang.

Dalam Ucapan YB Hajjah Siti Zailah, beliau menegaskan bahawa hanya kekuatan Taqwa kepada ALLAH, memperbanyakkan ibadah dan berusaha dengan bersungguh-sungguh adalah tugas utama dalam memastikan Islam dapat ditegakkan. Cabaran yang dihadapi oleh para Anbiya’ sebelum ini dan Ulama’ terdahulu dalam mempertahankan Islam patut dijadikan teladan oleh muslimat dalam menghadapi ujian yang boleh melemahkan semangat dalam perjuangan. Matlamat yang sebenar adalah mendapatkan keredhaan ALLAH sebagai bekalan sebelum menuju alam akhirat. Beliau juga mengingatkan agar muslimat dapat menjalankan tugas dengan amanah dan ikhlas serta memperbanyakkan aktiviti bersama masyarakat baik bersama Cina, India atau kaum lain.

“Jangan meletakkan halangan jawatan, masa, keluarga dan anak-anak untuk tidak terlibat dengan PAS. Ianya terletak atas keikhlasan diri kita”.

Buat kerja dengan penuh kasih sayang. Jika buat kerja dengan terpaksa, hasilnya berbeza. Jika buat kerja dengan ikhlas, hasilnya sangat luar biasa”, tambahnya lagi.

Pertemuan dua mata antara DMPP dan DMPN telah memberi impak yang baik kepada kedua belah pihak dan ianya berakhir pada pukul 5.30 petang. Setelah itu DMPP dan wakil dari DMPN telah membuat lawatan ke bilik gerakan DUN Manjoi yang diketuai oleh Dr Najihatussalehah Ahmad selaku ketua DMPN.




No comments:

Post a Comment