Monday, September 12, 2011

Najib bentang cukai kerajaan 6% pra bayar

KUALA LUMPUR, 12 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa berpura-pura lupa atau sememangnya tidak tahu apa-apa dengan cukai enam peratus cukai pra bayar kerana ia telah dimasukkan dalam Bajet 2011 lalu oleh beliau.

"Pihak Telco hanya melaksanakan Bajet yang telah dibentangkan oleh Najib menjelang tahun 2011 lalu dan telah diluluskan oleh kerajaan.

"Kini apabila mereka hanya ingin melaksanakannya, Najib menyalahkan Telco pula, seolah-olah beliau pemimpin yang prihatin menjelang pilihan raya ini," kata Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) , Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP).

Baru-baru ini, syarikat telekomunikai di Malaysia telah mengumumkan akan mengenakan cukai kerajaan sebanyak enam peratus dalam semua jualan kad pra bayarnya mulai 15 September ini.

Ini bermakna, setiap RM10 nilai kad pra bayar, harganya akan menjadi RM10.60 di mana 60 sen adalah cukai yang dikenakan kerajaan melalui Telco kepada penggunanya.

Jumlah 60 sen setiap RM10 ini akan dibayar oleh Telco kepada kerajaan.

Kerajaan dijangka akan memperolehi pendapatan sebanyak RM750 juta hasil melalui cukai ini untuk tahun ini sahaja.

Namun begitu, jumlah ini tidak sebanyak mana jika dibandingkan dengan pendapatan yang akan diperolehi kerajaan jika menarik balik subsidi kepada enam Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) iaitu sebanyak RM17 bilion setahun.

"Persoalan ini membuat kita tertanya-tanya, siapa sebenarnya yang ditakuti dan disayangi oleh Najib?" soal Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat dan anggota Parlimen Kuala Selangor.

Kesan teruk

Langkah mengenakan cukai ini memberikan tekanan teruk kepada golongan berpendapatan rendah terutama remaja, pelajar dan pekerja kilang kerana mereka golongan paling banyak menggunakan perkhidmatan pra bayar ini.

Golongan yang mempunyai pekerjaan tetap dan berada biasanya menggunakan khidmat post paid atau menggunakan bil penggunaan.

Harakahdaily difahamkan, terdapat 26 juta nombor prepaid yang dikeluarkan oleh Telco di negara ini.

Ekoran pengumuman Telco untuk melaksanakan cukai ini, pelbagai pihak khasnya golongan remaja membuat bantahan terhadapnya melalui laman sosial dan media baru yang kebanyakannya dikuasai mereka.

Ekoran itu, Perdana Menteri Najib menyalahkan Telco kerana mengenakan cukai ini padahal ia telah dikemukakan beliau melalui Bajet 2011 dan pihak Telco hanya melaksanakan keputusan itu sahaja.

Harakahdaily difahamkan, selama ini cukai hanya diserap oleh Telco melalui keuntungan jualan pre paid mereka namun ia tidak mampu lagi berbuat demikian sedangkan duit itu dibayarkan kepada kerajaan dan bukannya diperolehi mereka.

Ekoran itu, semua Telco, terutama tiga yang utama iaitu Celcom, Digi dan Mexis akan mula mengenakannya kepada pengguna pra bayar.

Difahamkan, pengguna terbesar pra bayar adalah pengguna Digi.

Najib baru-baru ini mengarahkan syarikat-syarikat telekomunikasi mengkaji semula langkah mengenakan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas kad prabayar sambil menegaskan ia sukar untuk diterima dalam situasi kenaikan kos sara hidup sekarang.

Perdana Menteri menegaskan cukai itu dikuatkuasakan ketika kerajaan pula sedang berusaha untuk mengurangkan beban di sebalik kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan yang lalu.

“Reaksi dan maklum balas daripada orang awam ialah langkah Telco, tidak popular dan sukar untuk diterima,” kata beliau.

“Jadi, saya berharap Telco akan mengkaji semula langkah ini memandangkan kita sedang cuba mengurangkan beban ke atas orang ramai yang perlu menanggung kenaikan kos harga barang,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Najib juga menafikan Telco telah menerima kelulusan Kementerian Kewangan, sebaliknya menjelaskan keputusan itu dibuat oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sendiri.

Pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan sejak semalam berkata pihaknya kesal dengan keputusan syarikat telekomunikasi yang mengumumkan pengenalan cukai perkhidmatan enam peratus ke atas pembelian tambah nilai prabayar dan pek atau kad SIM berkuat kuasa pada 15 September ini.

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment