Friday, September 30, 2011

Sambutan 6O Tahun PAS mengenang sejarah perjuangan Para Ulama




(Kanan: Padang Bandaran Butterworth.)

Ahli PAS terutamanya generasi muda harus tahu sejarah perjuangan ulamak terdahulu yang keluar dari Umno lalu menubuhkan sebuah parti berteraskan Islam bukan main-main sebagaimana yang menjadi amalan kepimpinan Umno dari dulu sehinggalah sekarang.

Mereka menjadikan medan Padang Bandaran Butterworth yang kini lebih dikenali Padang Putra Merdeka sebagai tapak pelancaran parti Islam yang senantiasa utuh dari segi kepimpinan, perjuangan dan pendekatan walaupun terpaksa mengalami jatuh bangun akibat kepimpinanya yang terjun ke laut sebelum sampai ke daratan.

Namun begitu, PAS yang kian meningkat sokongan tahun demi tahun sudah matang dan memerlukan daya tahan yang lebih bagi memenangi hati rakyat pada pilihanraya umum. Natijah pembaharuan yang dibuat membuatkan pimpinan Barisan Nasional (BN) bagaikan cacing kepanasan bimbangkan terkuburnya sebuah pemerintahan yang sudah bertapak 50 tahun lebih.

(Kiri: Rumah almarhum Ustaz Fuad di Bukit Mertajam.)

Apabila datang ke sini nanti para tetamu usah membuang masa mundar mandir mencari barangan untuk dibawa balik sebagai cenderahati sahaja bahkan mesti mengambil langkah lebih kehadapan pergi meninjau sendiri tempat yang dikatakan tempat lahir PAS, rumah Yang Dipertua PAS pertama di Bukit Mertajam begitu juga Madrasah Al Masriyah yang pernah menjadi medan PAS membina kepimpinan dan lebih penting lokasi inilah juga merupakan catatan sejarah bertukarnya kepimpinan Datuk Asri Muda kepada Ustaz Yusof Rawa yang membawa kepada lakaran sejarah kepimpinan ulamak.

Waktu itu terciptalah satu gelombang yang melonjak nama PAS ke arena politik yang lebih mencabar. Ramai anak muda berkupiah putih, berserban, berjubah dan berjanggut berbanding dulunya nampak lebih 'simple'.

Jika ke Pokok Sena yang tidak jauh dari Dewan Millenium tempat berlangsungnya sambutan 50 tahun PAS itu para hadirin boleh singgah ke Madrasah Khariah Islamiah yang diterajui oleh Tuan Guru Ahmad Tuan Husein iaitu Ahli Parlimen PAS yang pertama.

Begitu juga anda boleh meninjau sendiri ke Masjid Al Jamiul Badawi yang mana anda boleh melihat sendiri sebuah bangunan yang ada dua beranda (serambi) yang mana suatu ketika dahulu merupakan tempat tarbiyah yang pertama di waktu Allahyarham Ahmad Badawi sebagai Ketua Pemuda manakala ayahandanya Tuan Guru Abdullah Fahim bertindak sebagai penasihat penubuhan.

Selepas itu pusat berkenaan berpindah pula ke Masriyah di Bukit Mertajam apabila Ustaz Ahmad Fuad dilantik sebagai Yang Dipertua PAS pertama.

Itulah antara lokasi yang menjadi kewajipan kepada para peserta sambutan ke 60 tahun PAS mesti lihat dengan mata kepala sendiri kerana tempat itu adalah koleksi perjuangan yang mesti terpahat di dada ahli PAS yang mahu melihat Islam didaulatkan di bumi Malaysia.

Sempena sambutan 60 tahun PAS itu pada 30 September akan berlangsungnya solat Maghrib dan hajat di Dewan Millenium bersama dua tokoh besar PAS iaitu Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

(Kiri: Sekolah agama bersebelahan Masjid Al Jamiul Badawi merupakan pusat tarbiyah pertama PAS.)

Manakala pada malam yang sama juga forum perdana diadakan dengan tajuk 'PAS: Pembangkang dan Pemerintah Penyelamat Umat'. Antara ahli panelnya ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Salahudin Ayub, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pada keesokan harinya, 1 Oktober jam 9.00 pagi, perasmian kongres Sambutan 60 Tahun PAS akan berlangsung dan diikuti pada sebelah petang berbagai program Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak termasuk pertandingan motorsikal klasik yang menggunakan plat 'PAS'.

Sementara itu sebelah malamnya akan diadakan 'Rapat Umum Perdana' yang akan disampaikan oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Gurtu Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengeruasi dan Setiausaha Agung DAP, Karpal Singh dan Lim Guan Eng yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

No comments:

Post a Comment