Wednesday, March 9, 2011

TEKAD MP MUSLIMAT PAS MEMBELA KAUM WANITA

Ahli Parlimen muslimat PAS bertekad mahu membela nasib kaum wanita yang tertindas kerana mereka merupakan aset penting negara.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, gologan wanita yang berkualiti sangat diperlukan untuk membentuk keluarga, masyarakat dan negara.

"Kita kena lihat ramai lagi wanita yang ditindas. Jadi kita kena bela nasib mereka kerana mereka aset penting kepada negara," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini sempena Hari Wanita Sedunia ke-100 hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat juga berkata, Islam sendiri meletakkan pengiktirafan yang tinggi kepada kaum wanita.

"Seperti kata pepatah, wanita adalah tiang negara. Kalau wanita rosak, rosaklah negara. Kalau lihat dari sudut agama, Islam meletakkan kedudukan yang tinggi kepada kaum wanita malah Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk memartabatkan wanita. Islam meletakkan pengiktirafan yang tinggi kepada wanita," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, golongan wanita harus menyedari peranan mereka dalam meberikan kesedaran politik kepada anak-anak dan keluarga.

"Wanita sudah lama memainkan peranan dalam politik. Kalau tengok revolusi Iran dulu didepani wanita.

"Wanita memainkan peranan dalam membentuk pemikiran politik anak-anak ,suami dan juga rakan sekerja," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Tambahnya, golongan wanita tidak harus dipinggirkan dalam menentukan dasar negara dan hanya menjadi pemerhati politik sahaja.

"Kita tidak mahu lagi wanita terpinggir dari segi politik, hanya menjadi pemerhati dan penerima sahaja tetapi wanita juga penentu hala tuju politik negara kerana wanitalah yang menanamkan nilai-nilai keluhuran dan kesamatarataan kepada anak-anak.

"Guru-guru yang sebahagian besarnya wanita juga memainkan peranan penting untuk menanamkan bahawa politik ialah satu perkara yang perlu dititikberatkan oleh semua orang, bukan hanya lelaki sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali pula mahu kaum wanita sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersedia untuk menambah ilmu pengetahuan mereka dalam semua bidang.

"Saya harap kaum wanita bersikap positif, berani dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan ilmu supaya lebih maju dalam pemikiran untuk memajukan negara," katanya yang juga ahli jawatankuasa Muslimat PAS Pusat.

Terdahulu mereka memberikan liitan bunga melur kepada pemberita-pemberita wanita sebagai simbol kebangkitan wanita.

No comments:

Post a Comment