Wanita ini harum namanya seharum makamnya yang dicium Nabi Muhammad s.a.w sewaktu Israk Mikraj. Beliau ialah Masyitah, wanita penghulu syurga.Semasa hayatnya, Masyitah menjadi pengasuh puteri Firaun. Suatu hari, ketika menyikat rambut puteri Firaun, sikatnya jatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama ALLAH.
Puteri Firaun berasa hairan lalu bertanya, siapakah ALLAH itu? Masyitah engan menjawap tetapi terus didesak bertubi-tubi. Akhirnya, beliau menerangkan bahawa ALLAH adalah TUHAN Yang Maha Esa, TUHAN sekalian alam.
Puteri itu mengadu kepada Firaun dan menyebabkan Firaun menggila marah. Ini kerana Masyitah menyembah Tuhan yang lain selain dirinya. Firaun memaksa Masyitah mengakui bahawa dirinya (Firaun) sebagai Tuhan tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah ALLAH."
Firaun semakin marah. Lalu dia memerintahkan agar patung lembu tembaga berisi minyak direbus hingga menggelegak. Kemudian, Masyitah dan ahli keluarganya dicampak ke dalamnya seorang demi seorang. Sewaktu giliran anaknya, Masyitah hempir mengalah kepada Firaun kerana sayangkan anaknya.
Tetapi dengan kehendak ALLAH s.w.t kejadian luar biasa berlaku. Bayi Masyitah boleh bercakap secara tiba-tiba. Katanya,
"Wahai ibu, teruskanlah dan usah menyerah kalah. Sesungguhnya engkau di jalan kebenaran."
Lalu Masyitah yakin semula. Beliau mempertahankan keimanannya dengan mengatakan bahawa ALLAH Tuhan Yang Maha Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa. Beliau dan ahli keluarga kemudiannya mati syahid di tangan Firaun yang durjana.
Melalui pengorbanan sehebat Masyitah inilah Islam semakin mekar dan tersebar. Melalui pengorbanan wanita inilah Islam dipandang tinggi oleh insan yang sedang mencari-cari cahaya hidup. Ketika ada yang merasakan agama nenek moyang mereka sebagai karut dan tiada kuasa, mereka mencari-cari agama yang sebenar, yang boleh disandarkan seluruh kehidupan. Akhirnya mereka mendapati, Islam itu agama yang benar lalu mereka memilih untuk menganut agama yang benar ini dan bersandar dengan sepenuh jiwa raga meskipun diseksa atau terkorban nyawa. Apabila iman telah kukuh dalam diri, percayalah bahawa semua ugutan atau hinaan tidak lagi gentar untuk dihadapi dengan penuh ketakwaan.
Pada hari ini, kita tidak perlu berkorban nyawa seperti Masyitah untuk menegakkan Islam kerana Islam itu sudah tertegak dengan jerih payah pejuang-pejuang sebelum kita. Kita tidak perlu menempuh jalan sesukar itu kerana jalan Islam sudah terbentang di hadapan mata malah di lahirkan sudah Islam sejak azalinya. Islam ada di sekeliling kita malah menjadi cara hidup kita semua. Kita boleh mengamalkan agama kita ini sebebas-bebasnya. Tiada sesiapa pun yang akan marah jika sehari demi sehari kita berazam untuk meningkatkan iman dalam diri namun terlalu mengecewakan di zaman sekarang ada di antara kita yang lupa akan nikmatnya Islam yang selama ini bermati-matian di perjuangkan dan terlalu mudah agama kita diperjudikan.
No comments:
Post a Comment