Monday, June 20, 2011

Kenyataan Media : Himpunan Bersih 2 Dewan Muslimat PAS Negeri Perak

Seluruh ahli muslimat Pas negeri Perak digesa untuk menyahut seruan untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011.Himpunan yang dikenali sebagai Bersiadalah anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil kearah menuntut pihak SPR mengadakan satu pilihanraya yang lebih adil dan telus pada PilihanRaya Umum yang ke 13 . Bersih 2 dianjurkan bagi menuntut lapan tuntutan, iaitu membersihkan senarai daftar pengundi , mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, tempoh minimum 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.Pada himpunan Bersih yang pernah diadakan sebelumPRU 12 iaitu pada 10 November 2007 yang lalu, rakyat Malaysia telah sama-sama meledakkan kebangkitan bagi menuntut sebuah demokrasi yang bersih dalam satu himpunan yang berjaya menghimpunlan hampir 100,000 rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang. Jika selama in kerajaan Umno-BN melaungkan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, maka sewajarnyalah tidak menghalang himpunan aman “Bersih” ini,kerana himpunan ini adalah himpunan rakyat yang prihatin terhadap kepincangan pentadbiran negara khususnya dalam sistem PilihanRaya. Pihak pemerintah khusunya Kementerian Dalam Negeri sewajarnya mengarahkan anggota keselamatan menjaga keamanan serta mengawal lalulintas bagi memastikan himpunan ini diadakan dalam keadaan yang terkawal tanpa provokasi mana-mana pihak.Kuasa polis untuk mengawalselia sebarang himpunan,atau perjumpaan serta perarakan sangat jelas dinyatakan dalam perkara 27,akta Polis,maka sewajarnyalah rakyat atau orang ramai diberikan kebebasan untuk bersuara bagi menuntut sebuah Pilihan Raya yang lebih adil dan telus. PilihanRaya yang diadakan 4 atau 5 tahun sekali adalah penting bagi rakyat Malaysia kerana daripada keputusan pilihan raya umum atau negeri itulah yang bakal menyaksikan corak pemerintahan yang akan dirasai oleh rakyat Malaysia samada memberi kesejahteraan atau membebankan rakyat Malaysia. Dengan ini, Dewan Muslimat PAS Negeri Perak memandang perkara ini sangat penting dan perlu diperjuangkan untuk menyedarkan pihak-pihak berwajib tentang tanggungjawab dan amanah mereka serta untuk meneruskan kelangsungan perjuangan menegakkan negara berkebajikan di bumi Malaysia di bawah Pakatan Rakyat.


Dr Najihatussalehah bt Ahmad

Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Perak.

No comments:

Post a Comment