Tuesday, February 9, 2010

PAKATAN RAKYAT TIDAK MELATAH HADAPI KONFLIK

Pelbagai isu membabitkan Pakatan Rakyat (PR) sejak belakangan ini dilihat sebagai salah satu cubaan UMNO menggoyahkan dan menghuru-harakan keakraban hubungan dalam PR. Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Salleh berkata, ia berdasarkan isu yang ditimbulkan sejak belakangan ini dilihat agak sama seperti apabila Pas berjaya menguasai Kelantan dahulu.

Menurutnya, tindakan UMNO itu menunjukkan mereka tidak dapat menerima kenyataan kekalahan parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

“Kita melihat isu membabitkan Pas dan komponen parti lain seperti DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai asam garam serta ujian yang perlu kita hadapi dengan tenang dan tanganinya secara berhemah. Kita tidak mudah melatah.

“Kita sentiasa meminta dan memohon pertolongan daripada Allah SWT agar ujian yang dihadapi ini dapat kita harunginya dengan baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Konvensyen Muslimat Pas negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Rusila, di sini, semalam.

Turut hadir, Penasihat Konvensyen Muslimat Pas Terengganu, Toh Puan Fatimah Ibrahim; Ketua Dewan Muslimat Pas negeri Terengganu, Safinah Jusoh dan Ketua Dewan Muslimat Pas Kawasan Marang, Zarani Othman yang juga pengarah konvensyen.

Menurutnya, bagi menyelesaikan pelbagai isu dan konflik, PR mempunyai majlis permuafakatan yang diharap mampu menyelesaikan semua isu berbangkit.

“Kita memang tidak boleh menafikan isu yang timbul kadangkala menyebabkan suasana tegang dalam PR.

”Bagaimanapun, kita sentiasa berbincang bagi menyelesaikan masalah berkenaan tanpa meletakkan emosi di tempat utama,” katanya.

Ketika ditanya persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, Nuridah berkata, persiapan ke arah itu telah bermula dan konvensyen yang diadakan di setiap negeri adalah salah satu persediaan ke arah itu.

“Apa yang penting, kita sentiasa berusaha supaya ahli tidak patah semangat dengan apa yang berlaku ketika ini.

“Walaupun pelbagai isu melanda PR, kita percaya ia tidak akan sesekali menggugat kesetiaan ahli terhadap Pas dan juga PR, seterusnya yakin dengan perjuangan dibawa selama ini,” katanya lagi. S/H

No comments:

Post a Comment