KUALA LUMPUR: Penganjur sambutan ambang kemerdekaan 'Janji Demokrasi' optimis pihak polis akan membenarkan program tersebut diadakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pengarah Eksekutif Empower Selangor, Maria Chin Abdullah berkata, kira-kira setengah jam berdialog, polis tidak menyatakan akan membenarkan atau tidak sambutan itu diadakan sebaliknya menekankan aspek keselamatan peserta.
"Polis tidak cakap mereka benarkan atau tidak (sambutan) tapi kami sudah terangkan apa yang akan berlaku pada hari itu dan tidak melanggar akta perhimpunan aman 2012," kata beliau kepada pemberita selepas dipanggil memberikan maklumat mengenai sambutan yang akan diadakan pada 30 Ogos ini di Balai Polis Dang Wangi petang tadi.
Maria berkata, beliau turut memberitahu polis bahawa gabungan Janji Demokrasi hanya akan berada di sekitar Dataran Merdeka dengan memakai baju kuning dan hanya Sasterawan Negara, A. Samad Said yang akan membacakan puisi.
"Seperti yang kita cakap sebelum ini, sebarang ucapan, kain rentang dan sepanduk tidak dibenarkan. Kita akan berada di Dataran Medeka selama dua jam dan akan bersurai selepas jam 12 tengah malam," katanya.
Selain Maria, seorang lagi penganjur, Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Yong Yew Wei yang akan mengetuai sambutan di Jalan Sultan turut hadir dalam pertemuan tersebut.
"Dialog dengan polis hari ini berjalan baik dan kami mengharapkan polis memberikan kerjasama untuk memantau keadaan di Dataran Merdeka dan Jalan Sultan," katanya.
"Janji Demokrasi' turut mendapat sokongan PAS dan ahli-ahlinya diserukan memenuhkan Dataran Merdeka dengan memakai pakaian kuning.
Kerajaan bagaimanapun akan mengadakan sambutan ambang kemerdekaan tahun ini di Bukit Jalil.
No comments:
Post a Comment