Wednesday, February 29, 2012

Star: Umno bagi lesen MCA hentam Islam





KUALA LUMPUR, 29 Feb: Akhbar milik MCA, The Star yang sudah berkali-kali terang-terang mengguris hati orang Islam tanpa dikenakan sebarang tindakan drastik menandakan Umno memberikan lesen kepada rakan seperjuangannya MCA untuk terus menghentam Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dua hari lepas, The Star menyiarkan gambar besar penyanyi Amerika Eryka Badu yang mempunyai tatoo nama Allah pada dadanya yang terdedah.

Ia disifatkan satu penghinaan kepada umat Islam di negara ini kerana nama Allah seolah-olah dipermain-mainkan. Ekoran pendedahan Harakahdaily mengenainya, The Star telah memohon maaf atas “terlepas pandang”.

Ekoran itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lee Chee Leong dalam kenyataannya sebagaimana yang disiarkan Bernama berkata, Managing Editor, Ketua Editor Berita dan Editor Kanan The Star telah dipanggil kementeriannya untuk memberikan penjelasan ekoran laporan itu.

Ini adalah kali ketiga akhbar MCA melakukan kesalahan yang disifatkan melampau dalam tidak menjaga kesensitifan umat Islam.

Bulan Februari lepas, editor The Star, P Gunasegaram mempersoalkan hukum Islam apabila 3 wanita dijatuhkan hukuman sebat kerana berzina.

Kemudian, pada bulan Ramadhan yang lalu, The Star menyiarkan resipi masakan daging babi kononnya sebagai juadah berbuka puasa. Apabila dibuat bantahan, The Star memohon maaf.

Ini tidak ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, yang umat Islam sudah muak dengan sifat ‘Islamphobia’nya yang tidak habis-habis menghina Islam khasnya hukum syariah.



Ia dapat dilihat dengan jelas dalam debat beliau dengan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP baru-baru ini.

“MCA dah menjadi lebih ganas di bawah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Nampaknya Umno ini memang memberikan lesen kepada MCA untuk menghentam Islam dalam dasar pecah dan perintahnya. Hukum minum arak, berjudi, hudud semua boleh dipertikai,” kata Mohamad.

Beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri perlu telus dan adil dalam memberikan hukuman terhadap akhbar The Star.

“Diharap bukan timbalan menteri MCA yang menyoalsiat editor The Star. Manalah mereka faham apa itu kesensitifan orang Islam dan rakyat akan nampak tidak telus. Sekiranya kali ini juga tidak ada hukuman yang setimpal, maka betullah apa yang saya katakan, menteri-menteri Umno sebenarnya inginkan MCA terus menghentam Islam,” katanya memberitahu Harakahdaily ketika dihubungi malam semalam.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi turut mempertikaikan penglibatan timbalan menteri KDN dari MCA dalam isu ini, kerana ramai yang akan ragu kalau-kalau tindakan yang berpatutan tidak diambil ke atas akhbar milik MCA, The Star ini.

"Bagaimana AJK Pusat MCA yang jadi timbalan menteri KDN ni nak siasat dan hukum akhbar MCA? Kelakarlah pentadbiran Umno ini," kata Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS ketika mengulas isu ini.

Sehubungan itu, beliau meminta KDN lebih serius dalam hal ini dan menjaga kepentingan umat Islam dan tidak takut kepada MCA yang sudah semakin galak menghina Islam.

Seperti Mohamad Sabu, Nasrudin juga berpendapat keadaan kini adalah lebih parah dan mengelirukan apabila kerajaan Umno dan BN memejam sebelah mata terhadap apa yang dilakukan oleh akhbar MCA itu.

“Apakah kerana mereka tidak berani berhadapan dengan MCA?” soalnya.

Menurutnya, harapan ada tindakan tegas justeru ia berkait dengan maruah ummat Islam.

“Kita tidak mahu lagi akhbar Star hina Islam kemudian mohon maaf, buat lagi dan mohon maaf lagi dan buat lagi lalu mohon maaf lagi.

“Soalnya sampai bila?” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment