Wednesday, August 24, 2011

Salam Aidil Fitri

AllahuAkbar, AllahuAkbar, AllahuAkbar,AllahuAkbar, AllahuAkbar.

Bismillahirahmanirahim..............

Assalamualaikum wrm wbt,


Segala puji-pujian bagi Allah SWT. Tuhan yang menciptakan seluruh alam semesta, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga, para sahabat baginda dan para pejuang agama Allah di sepanjang zaman.


Ramadhan Al Mubarak akan pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang bakal berlalu dapat mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmah puasa itu sendiri.


Tanda orang bertaqwa, ialah menjadikan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ianya merangkumi pelbagai cabaran kehidupan kita, bukan setakat makan, minum, pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat.


Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal yang bakal tiba, marilah sama-sama kita buktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawadhuk dan berpandukan kepada akhlak islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan "Eid Mubarak" kepada seluruh ahli, dan penyokong serta saf kepimpinan parti islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama islam tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita.

AllahuAkbar, AllahuAkbar, AllahuAkbar

Sekian , Wassalamualaikum wrm wbt

Dr Hjh Najihatussalehah bt Ahmad.
Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Perak
sessi 2011/2013


No comments:

Post a Comment