Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP), Aiman Athirah Aljundi menegaskan SPRM perlu mengambil tindakan tegas kerana jumlah yang sebegitu besar digunakan untuk satu majlis yang tidak mendapat mandat rakyat memandangkan tiada satu pun konsensus umum mahupun khusus menyarakan Rosmah selayaknya menggelarkan diri sebagai Wanita Pertama Malaysia.
Beliau juga melahirkan rasa kesan kerana sewaktu rakyat dihimpit situasi ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan 'kebejatan' kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjalankan pelbagai dasar yang mendera rakyat, perbelanjaan yang besar di gunakan untuk satu program yang terang-terangan membelakangi Perlembagaan Malaysia."Rakyat menghadapi pelbagai masalah seperti pemotongan subsidi pelbagai barangan asas yang membawa kepada kenaikan harga dan kos hidup serta pemberhentian beberapa bantuan kewangan sama ada kepada pelajar miskin dan juga warga emas.
"Jadi, di manakah kewajaran hati budi Rosmah Mansor untuk sewenangnya membazirkan wang ini hanya untuk suatu majlis seumpama ini? Lebih malang ia hanya dihadiri oleh 15 wanita pertama dari seluruh dunia yang kebanyakannya dari Negara-negara Afrika,"katanya.
Jelasnya lagi, program tersebut juga menafikan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu khususnya kedudukan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agung sebagai isteri kepada Yang DiPertuan Agong yang disifatkan dalam Perlembagaan sebagai Ketua Utama Negara Malaysia.
Program tersebut katanya melibatkan penggunaan wang negara untuk satu program yang menghina nilai-nilai baik rakyat dan kemuliaan yang termaktub di dalam Prinsip-Prinsip Rukun Negara khususnya Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.
"Rakyat mahu tahu bila dan di manakah program yang seumpama ini dibincang dan diluluskan di peringkat Kerajaan dan siapakah yang terlibat? Peruntukan mana yang dipotong atau diambil untuk menyempurnakan impian Rosmah ini ?"
"RM4.5 juta itu mungkin dirasakan terlalu kecil oleh Rosmah yang senantiasa tampil dengan busana yang mewah dan segala keperluannya sebagai isteri Perdana Menteri yang ditanggung oleh duit rakyat, tetapi tidak kepada rakyat yang majoritinya kais pagi makan pagi,kais petang makan petang,"katanya.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Khalil Idham Lim turut mendesak kerajaan menjelaskan tujuan penganjuran persidangan tersebut serta kewajaran Rosmah bertindak sebagai penganjur sedangkan dalam negara ini wanita pertama adalah Permaisuri Agong.
"Dalam masa yang sama sehingga sekarang, tiada resolusi yang bersifat merakyat muncul dari persidangan tersebut. Wang tersebut merupakan wang rakyat, isteri Perdana Menteri tidak berhak dan tidak sepatutnya membelanjakan dana tersebut sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kemampuan serta keperluan rakyat khususnya.
"Perbelanjaan wang rakyat tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat yang kini dihimpit dengan tekanan hidup berikutan kos sara hidup yang meningkat saban hari, harga barang yang meningkat rentetan harga keperluan asas yang dinaikkan oleh kerajaan,"katanya.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Dato' Seri Shahrizat Jalil mendedahkan perbelanjaan untuk program tiga hari yang berlangsung pada Oktober lalu sebanyak RM4,498,949.99.
No comments:
Post a Comment