Monday, March 26, 2012

Himpunan muslimat PAS Perak berjaya!

doa wehdah beramai-ramai

Agihan Vest ERAT

Doa wehdah

Kutipan Dana PRU 13

Penyerahan Deklarasi

Nyanyian lagu PAS

Gimik Perasmian IMPAK 13

Antara AJK DMPN yang hadir

Para tetamu jemputan

Penyerahan Deklarasi Kepada YB Zailah


25 Mac 2012, Alhamdulillah Himpunan Muslimat PAS Negeri Perak (IMPAK 13) telah berjaya mencapai objektifnya untuk menubuhkan Skuad Kebajikan Muslimat PAS Perak skuad (ERAT) selain untuk mengumpul tabung dana untuk PRU KE 13, di Hotel Hillcity. Himpunan ini telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Yang Berhormat Puan Hajah Siti Zailah Bt Yusuf , manakala Yang Berhormat Puan Hajah Wan Ubaidah Bt Omar diundang khas sebagai pembentang kertas kerja, "Muslimat Penggerak Negara Berkebajikan". Kehadiran para peserta amat memberangsangkan dengan berpakaian hijau dan bertudung putih menunjukkan para muslimat telah bersedia untuk menghadapi Piliharaya Umum ke 13. Antara tetamu yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain, Pengarah Pilihan raya PAS Perak Tn. Hj. Asmuni Alwi, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hj. Zawawi Hassan, serta turut hadir suami AJK-AJK Dewan Muslimat PAS Perak.
Himpunan ini juga telah menyaksikan penyerahan Deklarasi Dewan Muslimat PAS Perak kepada Dewan Muslimat PAS Pusat, dan Pesuruhjaya PAS Perak yang menyatakan Dewan Muslimat PAS Perak berterusan memberi sokongan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Ir Mohd. Nizar Jamaluddin sebagai MENTERI BESAR Perak atas kepercayaan dan penghormatan berdasarkan prestasi beliau yang amat baik ketika menerajui Kerajaan PAKATAN RAKYAT Perak sebelum rampasan kuasa berlaku.
Skuad ERAT pula yang ditubuhkan bakal menyaingi skuad Sayang UMNO yang semakin giat menarik masyarakat untuk terus menerima mereka. Menurut Naib Ketua Muslimat PAS Perak merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Pn. Zuhairah Mohd Ghazali, skuad ERAT akan menjadi wadah dalam melakukan kerja-kerja kebajikan bagi mencapai hasrat Negara Berkebajikan. Selain itu ia menjadi penggerak utama bertemu masyarakat, meliputi golongan MOSWA iaitu : Orang Kurang Upaya, Warga Emas, Ibu Tunggal dan Golongan Miskin. ERAT juga akan menyebarluaskan program kemasyarakatan dan kebajikan kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan fahaman politik. Himpunan berakhir dengan bacaan doa wehdah dan doa rabithah yang begitu syahdu oleh Pn Hasna' Timbalan Ketua Lajnah Tarbiyyah Dan Perkadiran Dewan Muslimat PAS Perak.

1.

Friday, March 23, 2012

PAS PERAK UCAP TAHNIAH KEPADA SELURUH GRADUAN ILHAM




PAS Perak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh 146 graduan Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) yang telah berjaya menerima Diploma Tasawur Islam dalam majlis istiadat Konvokesyen Ilham kali ke-11, di Dewan Dato' Haji Fadhil Mohd Noor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) baru-baru ini.

PAS Perak mengucakan tahniah kepada seluruh graduan ILHAM dari Negeri Perak kerana menjadi negeri yang paling ramai melahirkan graduan Ilham iaitu seramai 77 orang.

PAS Perak juga mengucapkan tahniah kepada Ketua Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad kerana telah berjaya merangkul Anugerah Presiden di mana kriteria dilihat berdasarkan permarkahan akdemik, komitmen dengan parti, masyarakat dan keluarga beliau.

PAS Perak, melihat kecemerlangan di dalam pelajaran sebagai satu kemestian bagi mereka yang ingin membawa risalah dakwah Rasulullah SAW ini, selain itu tribulasi di Malaysia yang semakin mencabar memerlukan kepada persediaan yang mapan dan latihan yang mencukupi bagi graduan baik dalam bidang dakwah.

PAS Perak, berharap agar graduan ILHAM mampu menjadi individu yang kompeten dan mempunyai daya saing yang tinggi sebagai modal insan untuk negara yang kita cintai.

Kepada mereka yang masih belum mengecapi kejayaan tersebut, PAS Perak mendoakan kejayaan mereka serta mengharapkan mereka dapat melipat-gandakan usaha pada tahun hadapan.


Monday, March 19, 2012

Kenyataan Media Mursyidul Am PAS- Akidah Yahudi Lebih Bahaya

Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut. Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu. Jutseru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT. Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis. Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin. Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Mejadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel. Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel. Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, YB Dr. Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia. Agar mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka. Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan. Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting. Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah). Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin 'selamat', tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT. Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam? Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam? Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT. Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?

Salam hormat.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 26 Rabiul Akhir bersamaan 19 Mac 2012

Wednesday, February 29, 2012

Star: Umno bagi lesen MCA hentam Islam





KUALA LUMPUR, 29 Feb: Akhbar milik MCA, The Star yang sudah berkali-kali terang-terang mengguris hati orang Islam tanpa dikenakan sebarang tindakan drastik menandakan Umno memberikan lesen kepada rakan seperjuangannya MCA untuk terus menghentam Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dua hari lepas, The Star menyiarkan gambar besar penyanyi Amerika Eryka Badu yang mempunyai tatoo nama Allah pada dadanya yang terdedah.

Ia disifatkan satu penghinaan kepada umat Islam di negara ini kerana nama Allah seolah-olah dipermain-mainkan. Ekoran pendedahan Harakahdaily mengenainya, The Star telah memohon maaf atas “terlepas pandang”.

Ekoran itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lee Chee Leong dalam kenyataannya sebagaimana yang disiarkan Bernama berkata, Managing Editor, Ketua Editor Berita dan Editor Kanan The Star telah dipanggil kementeriannya untuk memberikan penjelasan ekoran laporan itu.

Ini adalah kali ketiga akhbar MCA melakukan kesalahan yang disifatkan melampau dalam tidak menjaga kesensitifan umat Islam.

Bulan Februari lepas, editor The Star, P Gunasegaram mempersoalkan hukum Islam apabila 3 wanita dijatuhkan hukuman sebat kerana berzina.

Kemudian, pada bulan Ramadhan yang lalu, The Star menyiarkan resipi masakan daging babi kononnya sebagai juadah berbuka puasa. Apabila dibuat bantahan, The Star memohon maaf.

Ini tidak ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, yang umat Islam sudah muak dengan sifat ‘Islamphobia’nya yang tidak habis-habis menghina Islam khasnya hukum syariah.



Ia dapat dilihat dengan jelas dalam debat beliau dengan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP baru-baru ini.

“MCA dah menjadi lebih ganas di bawah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Nampaknya Umno ini memang memberikan lesen kepada MCA untuk menghentam Islam dalam dasar pecah dan perintahnya. Hukum minum arak, berjudi, hudud semua boleh dipertikai,” kata Mohamad.

Beliau juga berkata Kementerian Dalam Negeri perlu telus dan adil dalam memberikan hukuman terhadap akhbar The Star.

“Diharap bukan timbalan menteri MCA yang menyoalsiat editor The Star. Manalah mereka faham apa itu kesensitifan orang Islam dan rakyat akan nampak tidak telus. Sekiranya kali ini juga tidak ada hukuman yang setimpal, maka betullah apa yang saya katakan, menteri-menteri Umno sebenarnya inginkan MCA terus menghentam Islam,” katanya memberitahu Harakahdaily ketika dihubungi malam semalam.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi turut mempertikaikan penglibatan timbalan menteri KDN dari MCA dalam isu ini, kerana ramai yang akan ragu kalau-kalau tindakan yang berpatutan tidak diambil ke atas akhbar milik MCA, The Star ini.

"Bagaimana AJK Pusat MCA yang jadi timbalan menteri KDN ni nak siasat dan hukum akhbar MCA? Kelakarlah pentadbiran Umno ini," kata Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS ketika mengulas isu ini.

Sehubungan itu, beliau meminta KDN lebih serius dalam hal ini dan menjaga kepentingan umat Islam dan tidak takut kepada MCA yang sudah semakin galak menghina Islam.

Seperti Mohamad Sabu, Nasrudin juga berpendapat keadaan kini adalah lebih parah dan mengelirukan apabila kerajaan Umno dan BN memejam sebelah mata terhadap apa yang dilakukan oleh akhbar MCA itu.

“Apakah kerana mereka tidak berani berhadapan dengan MCA?” soalnya.

Menurutnya, harapan ada tindakan tegas justeru ia berkait dengan maruah ummat Islam.

“Kita tidak mahu lagi akhbar Star hina Islam kemudian mohon maaf, buat lagi dan mohon maaf lagi dan buat lagi lalu mohon maaf lagi.

“Soalnya sampai bila?” katanya lagi.

Wednesday, February 22, 2012

KENYATAAN MURSYIDUL AM PAS : DATUK SERI ANWAR, PALESTIN DAN ISRAEL

Pagi semalam, sekitar jam 9.30, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk
Seri Anwar Ibrahim telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk
menjelaskan maksud kenyataannya berhubung ‘keselamatan Israel’ yang
disiarkan oleh Wall Street Journal pada Januari lalu.

Mungkin juga beliau datang setelah mengetahui keputusan Majlis Syura Ulama’
PAS minggu lepas yang menggesa beliau menarik balik kenyataan dalam Wall
Street Journal itu yang difahami sebagai menyokong Israel.

Majlis Syura Ulama’ juga menggesa, sekiranya kenyataan itu dilaporkan
secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dinasihatkan
agar mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal
bagi membersihkan nama.

Pada pertemuan itu saya ditemani oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’
Tuan Ibrahim Tuan Man. Ia berlangsung dalam suasana harmoni. Datuk Seri
Anwar telah menjelaskan kesemua isu yang telah berbangkit.

Memahami penjelasan Datuk Seri Anwar, di sini saya mengulangi pendirian PAS
sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’ , iaitu PAS sekali-kali
tidak mengiktiraf negara haram Israel. Maka PAS tetap istiqamah menyokong
perjuangan rakyat Palestine yang dihina di bumi sendiri. Terserahlah kepada
Datuk Seri Anwar untuk menerima pendirian PAS ini.

Bagi saya, pendirian PAS adalah wajar kerana kewujudan negara haram Israel
merupakan suatu kezaliman, tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak umat
Islam, malah merampas hak seluruh rakyat Palestine. Tambahan pula, tindakan
penguasa Israel yang tidak habis-habis menzalimi dan membunuh rakyat
Palestine, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, adalah
haram menerima kewujudan negara Israel yang haram.

Pada saya, Datuk Seri Anwar memahami pendirian PAS yang tidak mengiktiraf
negara Israel dan menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestine. Oleh
kerana itu tidak berbangkit PAS telah menggadai prinsip perjuangan tatkala
bersama Pakatan Rakyat. Apa pun saya yakin, pihak Pakatan Rakyat tetap
sepakat dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah
airnya daripada cengkaman Israel yang zalim itu.

Justeru pada saya, adalah haram bersekongkol dengan pihak Israel dalam apa
bentuk hubungan sekalipun.


*
Nik Abdul Aziz Nik Mat.*
PNB Darby Park, Kuala Lumpur.
29 Rabi'ul Awal 1433 H | 22 Februari 2012.

Wednesday, February 1, 2012

SALAM TAKZIAH KEPADA MANGSA PANAHAN PETIR

Dewan Muslimat PAS Negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada waris keluarga mangsa panahan petir yang berlaku di Kuala Kangsar pada hari selasa yang lalu.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.30 mangsa, murid tahun 5 Muhammad Syafiq Tajul Ariffin terbunuh apabila dipanah petir semasa latihan memanah di padang Sekolah Kebangsaan Mazuin, Kuala Kangsar. 3 orang rakan Allahyarham turut tercedera.

Dewan Muslimat mendoakan semoga keluarga Allahyarham dilimpahi kesabaran dan roh Allahyarham ditempatkan dikalangan hambaNya yang dirahmati. Amin.

Al Fatihah.

Law Kaana Bainana (Seandainya Dia Masih Bersama Kita)