Thursday, December 30, 2010

ADA BERANI KE SIASAT ROSMAH??

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan segera terhadap penyelewengan wang negara RM 4.5 juta untuk Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang melibatkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP), Aiman Athirah Aljundi menegaskan SPRM perlu mengambil tindakan tegas kerana jumlah yang sebegitu besar digunakan untuk satu majlis yang tidak mendapat mandat rakyat memandangkan tiada satu pun konsensus umum mahupun khusus menyarakan Rosmah selayaknya menggelarkan diri sebagai Wanita Pertama Malaysia.

Beliau juga melahirkan rasa kesan kerana sewaktu rakyat dihimpit situasi ekonomi yang tidak menentu ditambah dengan 'kebejatan' kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjalankan pelbagai dasar yang mendera rakyat, perbelanjaan yang besar di gunakan untuk satu program yang terang-terangan membelakangi Perlembagaan Malaysia.

"Rakyat menghadapi pelbagai masalah seperti pemotongan subsidi pelbagai barangan asas yang membawa kepada kenaikan harga dan kos hidup serta pemberhentian beberapa bantuan kewangan sama ada kepada pelajar miskin dan juga warga emas.

"Jadi, di manakah kewajaran hati budi Rosmah Mansor untuk sewenangnya membazirkan wang ini hanya untuk suatu majlis seumpama ini? Lebih malang ia hanya dihadiri oleh 15 wanita pertama dari seluruh dunia yang kebanyakannya dari Negara-negara Afrika,"katanya.

Jelasnya lagi, program tersebut juga menafikan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu khususnya kedudukan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agung sebagai isteri kepada Yang DiPertuan Agong yang disifatkan dalam Perlembagaan sebagai Ketua Utama Negara Malaysia.

Program tersebut katanya melibatkan penggunaan wang negara untuk satu program yang menghina nilai-nilai baik rakyat dan kemuliaan yang termaktub di dalam Prinsip-Prinsip Rukun Negara khususnya Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

"Rakyat mahu tahu bila dan di manakah program yang seumpama ini dibincang dan diluluskan di peringkat Kerajaan dan siapakah yang terlibat? Peruntukan mana yang dipotong atau diambil untuk menyempurnakan impian Rosmah ini ?"

"RM4.5 juta itu mungkin dirasakan terlalu kecil oleh Rosmah yang senantiasa tampil dengan busana yang mewah dan segala keperluannya sebagai isteri Perdana Menteri yang ditanggung oleh duit rakyat, tetapi tidak kepada rakyat yang majoritinya kais pagi makan pagi,kais petang makan petang,"katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Khalil Idham Lim turut mendesak kerajaan menjelaskan tujuan penganjuran persidangan tersebut serta kewajaran Rosmah bertindak sebagai penganjur sedangkan dalam negara ini wanita pertama adalah Permaisuri Agong.

"Dalam masa yang sama sehingga sekarang, tiada resolusi yang bersifat merakyat muncul dari persidangan tersebut. Wang tersebut merupakan wang rakyat, isteri Perdana Menteri tidak berhak dan tidak sepatutnya membelanjakan dana tersebut sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kemampuan serta keperluan rakyat khususnya.

"Perbelanjaan wang rakyat tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat yang kini dihimpit dengan tekanan hidup berikutan kos sara hidup yang meningkat saban hari, harga barang yang meningkat rentetan harga keperluan asas yang dinaikkan oleh kerajaan,"katanya.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Dato' Seri Shahrizat Jalil mendedahkan perbelanjaan untuk program tiga hari yang berlangsung pada Oktober lalu sebanyak RM4,498,949.99.

PERLANTIKAN KHUSRIN KEARAH MALAYAN UNION?

Parti Islam SeMalaysia Pas berpendapat perlantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru satu lagi pencabulan terhadap hak negeri yang sepatutnya tidak berlaku dalam semangat federalisme.

Sebelumnya hal ehwal air yang sepatutnya hak negeri sudah dicabul, sekarang perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri pula, kerajaan pusat campur tangan dengan mengenepikan hak negeri

Pas hendak mengigatkan kerajaan pusat, Selangor ada tuannya. Ketuanya Tan Seri Khalid Ibrahim, perlantikan SUK bukan seperti perlantikan Jawatankuasa Kampung Persekutuan (JKKP) hanya dengan tunjuk sahaja, Bukankah kita diajar hendak masuk rumah orang ada adabnya. Kerajaan Selangor dibentuk dengan mandat rakyat yang sah melalui proses pilihanraya, bukannya dengan kudita.

Tindakan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara yang melantik tanpa berbincang dengan Menteri Besar seolah-olah negara hendak menuju kepada MalayanUnion di mana semua kuasa pusat membolot dan tidak menghormati hak-hak negeri. Kerajaan pusat mengajar kerajaan negeri supaya tidak mengikut semangat federalisme, nanti senjata makan tuan

Pas merasa bimbang dengan trend pencabulan hak negeri akan menjejaskan negara di pandangan mata dunia terutama pelabur luar kerana mereka akan memikirkan apa jaminan pelaburan mereka tidak dicabul. Pas hendak mengigatkan kepada BN, kalau pun hendak merampas Selangor berlawanlah secara anak jantan, bukan sebaliknya

Tuesday, December 28, 2010

KES PEMERKOSAAN SEORANG MENTERI.......

UALA LUMPUR, 28 Dis: Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.

Surat tanpa tarikh yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.

"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.

Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.

Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat
(Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.

Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.

Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.

Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.

"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.

Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka.

Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.

"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.

Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya.

"Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.

Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya.

Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama.

Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya.

Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.

Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh.

Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya.

Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.

Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya.

Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari 2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh isteri menteri ini.

Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007.

Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).

Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak asasi pekerja pada 26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan kes ini didedahkan oleh WikiLeaks.

Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menterinya.

Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika.

Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin Atan), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.

Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang.

Saturday, December 18, 2010

'SKANDAL BESAR' NEGARA BN BIMBANG

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Parti Islam SeMalaysia (PAS) merasa kesal dan sangat terkejut dengan tindakan penggantungan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat dan berkemungkinan kerana pemimpin BN takut akibat terlibat dengan 'skandal besar' negara?

Tindakan sedemikian telah menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada pada tahap paranoid dan takut kalah serta sudah hilang pertimbangan waras dalam tindakannya.

Demikian kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi mengulas pergantungan empat pemimpin utama Pakatan dari PKR dan DAP semalam dari DEwan Rakyat.

Mereka yang digantung selama enam bulan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Karpal Singh (Bukit Gelugor), Azmin Ali (Gombak) dan R Sivarasa (Subang).

PAS, katanya, menganggap kebimbangan berlebihan Umno dan BN ini menyebabkan mereka akan melakukan apa sahaja tindakan terdesak walaupun melanggar norma perundangan dan batas-batas demokrasi di Malaysia.

PAS yakin, BN tidak akan berhenti dengan 'tragedi demokrasi' di
parlimen sahaja, bahkan akan bertindak lebih daripada itu. Ini terbukti dengan tragedi 'rampasan kuasa' di Perak tidak lama dahulu.

Kini mereka bertindakmerampas suara rakyat di Parlimen Malaysia pula, tambahnya.

Mungkinkah kerana mereka gusar dengan konsep keadilan menyeluruh yang hendak dilaksanakan oleh PAS bersama dengan Pakatan Rakyat sehingga wujud kebimbangan di kalangan pemimpin-pemimpin BN yang berkemungkinan terlibat dengan 'skandal besar' negara?, tambah Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang.

"Saya menyeru kepada UMNO supaya kembali ke pangkal jalan dan beriman dengan Al Quran yang menyatakan bahawa tidak ada kuasa yang kekal di atas dunia ini termasuklah kekuasaan kerajaan nabi-nabi dan juga orang zalim," katanya.

Nabi Sulaiman AS yang dikurniakan kekuasaan yang meluas meliputi kerajaan manusia, haiwan dan jin itupun sudah tidak ada sekarang ini. Begitu juga dengan kerajaan zalim Firaun.

Bahkan kuasa besar dunia juga tumbang. Apatah lagi kekuasaan UMNO-BN yang ada pada hari ini, tambah beliau.

"Oleh itu, saya menyeru pemimpin UMNO-BN supaya segera insaf dan bersedia untuk menyerahkan kuasa secara terhormat sebelum kekuasaan itu ditarik oleh Allah SWT dengan jalan yang tidak disangka-sangka," katanya.

Friday, December 3, 2010

BAS UNTUK WANITA..MEMANG DITUNGGU-TUNGGU.

Kalau cam ni bas tentu best ye...


Ustazah Nuridah mohd Salleh

Dewan Muslimat PAS Pusat sangat mengalu-alukan langkah baik Rapid KL mengadakan perkhidmatan bas khas bagi golongan wanita saja. Langkah ini tepat pada masanya dan amat sesuai dengan senario semasa di mana ramai penjawat awam dan swasta dari kalangan wanita menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi balik ke pejabat dan rumah mereka terutamanya di waktu sesak di bandar-bandar besar seluruh negara.

Sedikit masa dulu kita berasa amat selesa apabila KTM memulakan perkhidmatan koc khas untuk wanita pada waktu sesak. Tindakan tersebut mendapat respons yang sangat menggalakkan. DMPP turut turun padang dan membuat kajian rambang serta mendapati perkhidmatan tersebut disokong oleh para pengguna baik dari kalangan wanita mahupun lelaki.

Langkah ini juga sudah lama dinanti-nantikan serta telah beberapa kali disuarakan oleh badan-badan NGO wanita yang prihatin terhadap keselesaan dan keselamatan golongan wanita di dalam menggunakan pengangkutan awam. Malah di negara-negara maju di Eropah seperti Sweden, langkah-langkah ini telah terlebih dulu dilaksanakan serta terbukti ianya membantu mengurangkan kadar jenayah dan gangguan seksual terhadap wanita.

Jika kita menoleh ke belakang sejenak terhadap manifesto PAS pada PRU 12, Mac 2008, di antara tawaran yang hendak PAS laksanakan adalah menjaga keselesaan dan keselamatan wanita dengan menyediakan pusat rekreasi dan sukan khas untuk wanita. Termasuk juga perkhidmatan pengangkutan awam khusus bagi golongan wanita.

Sehubungan itu tindakan ini dilihat sesuai dari sudut tuntutan Islam di mana Islam telah meletakkan martabat yang tinggi terhadap wanita serta menuntut dipelihara maruah mereka dengan sebaik-baiknya. Tindakan menyediakan perkhidmatan bas khas bagi wanita ini dapat dirasakan kesesuaiannya dengan iktibar dari hadis Rasulullah sa.w. yang diriwayatkan oleh at-Tarmizi; yang mafhumnya; “ Sebaik-baik di kalangan kamu, adalah orang yang paling baik dengan isterinya, dan akulah dari kalangan kamu yang paling baik dengan isteriku”.

PERAK BAKAL MUFLIS...HUTANG NAIK BERGANDA-GANDA

Negeri Perak bakal muflis sekiranya hutang yang menggunung sejak 10 tahun lalu tidak dilangsaikan segera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Nga Kor Ming.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa membentangkan Bajet 2011 memberitahu ledakan hutang kerajaan negeri semakin hari semakin menggunung di mana pada 1999 sebanyak RM182 juta tetapi 2010 kini mencecah paras RM903 juta.

Tambahnya, hutang tersebut telah meningkat lebih kurang 500 peratus.

“Fakta di depan mata yang tidak dapat dinafikan adalah, kini hutang negeri Perak telah melebihi segala simpanan kerajaan negeri dalam kumpulan wang bersatu kerajaan,” ujarnya ketika membahaskan bajet negeri 2011 pada persidangan Dun, semalam.

Dengan kata lain, beliau yang juga Setiausaha DAP negeri berkata, sekiranya tidak dijelaskan segera hutang tersebut negeri Perak akan muflis.

“Jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah...tepuk dada, tanya iman, jika bersalah, sila bertaubat,” ujarnya sinis.