Friday, November 25, 2011

MAKAN MALAM DAN PENTAS WANITA


Dewan Muslimat PAS Negeri Perak telah berjaya menganjurkan Majlis Makan Malam Dan Pentas Wanita bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Kg Koh, Sitiawan pada 19 November yang lalu.

Majlis makan malam bermula pada jam 7.30 malam diikuti dengan Pentas Wanita yang menampilkan 4 penceramah wanita kepimpinan ketiga-tiga parti dari Pakatan Rakyat terdiri dari Dr Najihatussaleha Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Cik Kumutha Raman Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, YB Lim Pek Har ADUN Menglembu dari DAP dan Cik Siti Aishah Sheikh Ismail, ketua srikandi PKR Pusat.

Program yang mendapat sambutan dari masyarakat setempat terutama dari kaum Cina dan India turut dihadiri oleh muslimin dan muslimat dari seluruh negeri Perak.

Dewan Muslimat PAS Negeri Perak merakam ucapan setinggi-tinggi terimakasih kepada Dewan Muslimat PAS Kawasan Lumut, PAS Kawasan Lumut, Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut dan orang perseorangan yang telah berkerjasama menjayakan program tersebut.

Berikut adalah gambar-gambar yang diambil oleh otai manjung . Terimakasih diucapkan.

































Thursday, November 24, 2011

PAS Perak tubuh Bilik Gerakan Banjir

PAS Perak tubuh Bilik Gerakan Banjir | Print |

IPOH, 24 Nov: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mengambil perhatian serius mengenai ramalan kaji cuaca yang menjangkakan berlaku hujan lebat berterusan yang akan mengakibatkan banjir di sebelah Utara Perak pada pertengahan atau akhir bulan November ini.

Ketua penerangannya, Ahmad Nuri Al-Amin berkata, langkah pertama yang telah diputuskan oleh pimpinan parti ialah menubuhkan satu Bilik Gerakan Banjir di peringkat negeri dan PAS kawasan yang terbabit di bawah pemantauan dan seliaan, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Menurutnya, PAS Perak juga telah menyusun beberapa langkah persediaan awal bagi menghadapi suasana banjir di Utara Perak pada kali ini termasuk persediaan keselamatan.

Malah, ujarnya PAS negeri yang memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan juga akan menawarkan bantuan yang sesuai seperti membersihkan rumah selepas banjir surut kelak.

Bagi persediaan itu juga, katanya Jabatan Amal Negeri Perak yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri akan menyiapkan anggota mereka membentuk satu pasukan bantuan banjir bagi menghadapi sebarang kemungkinan musibah banjir kali ini.

“Kami juga mengalu-alukan bantu orang ramai dalam semua aspek keperluan bagi membantu mangsa banjir kelak dan berharap persediaan awal ini nanti akan melicinkan gerak kerja bantuan yang akan disalurkan kelak.

“Kami juga mendoakan agar Allah SWT dapat melindungi kita dari segala malapetaka dan memberi kita kekuatan untuk bersabar dalam menghadapi segala ujian-Nya,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Untuk sebarang pertanyaan, maklumat dan sumbangan, bolehlah menghubungi talian 05-3136377.

Thursday, November 10, 2011

Royalti: Harap PM terbuka hati lepas tunai haji


KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyerahkan 'Amanat Tun Abdul Razak' kepada Perdana Menteri berhubung hak negeri itu mendapat bayaran 5 peratus royalti petroleum.

Penyerahan itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa kepada wakil perdana menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen hari ini.

Turut serta dalam rombongan menyerahkan amanat itu, lebih 30 orang terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ahli-ahli parlimen Kelantan yang masing-masing membawa poster amanat tersebut termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

'Amanat' itu merupakan jawapan Tun Abdul Razak selaku perdana menteri terhadap pertanyaan Lim Kit Siang di dewan rakyat pada tanggal 12 November 1975 yang berbunyi;

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontarktornya,".

Menurut Husam yang juga exco negeri Kelantan, penyerahan itu dibuat sempena merayakan ulang tahun ke-36 ucapan bekas perdana menteri ke-2 itu.

Ianya juga sebagai penerusan tuntutan kerajaan negeri kepada pusat, agar membayar wang 5 peratus yang sekian lama dinafikan itu.

"Kami berharap dengan pulangnya haji Datuk Seri (Najib Razak) Perdana Menteri, hati beliau terbuka untuk bayar balik royalti, kerana ini adalah pesanan Tun Razak, ayahanda beliau," kata Husam pada sidang media bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi parlimen selepas itu.

Selain amanat Tun Razak itu, satu surat mengandungi bukti jawapan menteri di Dewan Negara juga turut diserahkan kepada perdana menteri.

Ianya termasuk jawapan menteri tidak berpotfolio, Tan Sri Chon Hon Nyan terhadap soalan Senator Raja Nong Chik Raja Ishak pada 7 Januari 1977.

Jawapan tersebut antara lain berbunyi;

"Dalam Gerakan mencarigali minyak ini di dalam kawasan Continental Shelf, hak itu sudahpun diberikan kepada PETRONAS dan PETRONAS sudahpun mengadakan perjanjian dengan negeri-negeri yang berdekatan dengan dasar laut itu, sebagaimana saya katakan tadi supaya royalti 10% itu dibahagi kepada dua pihak".

Satu lagi bukti adalah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Kasitah Gaddam pada 4 April 1989 terhadap soalan Senator Tuan Hassan Harun yang berbunyi;

"Sekiranya minyak diperolehi di kawasan berhadapan dengan negeri Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak".

Telaga Bumi dan Suria

Selain itu, Kelantan juga menuntut pengeluaran gas di Telaga Bumi dan Telaga Suria di kawasan bertindih dengan Terengganu yang beroperasi April lalu juga didaratkan di negeri itu.

Setakat kini katanya, Petronas pada 24 September lalu telah membuat pengumuman akan mendaratkan gas tersebut di Kerteh iaitu sepanjang 2000 kilometer pipeline di lautan.

"Kami sangat berharap gas ini dapat didaratkan di Kelantan.

"Kelantan telah menyediakan satu zon petroleum industri di Bachok seluas 2000 ekar dan saya telah menulis surat kepada presiden Petronas supaya isu pendaratan gas daripada Bumi dan Suria ini dilakukan di Kelantan," kata Husam.

Tuesday, November 1, 2011

PALESTIN DI HATIKU BERSAMA MUSLIMAT HAMAS DI PERAK

PALESTIN DI HATIKU BERSAMA MUSLIMAT HAMAS DI PERAK
Oleh: Yasmin Amran



Bagan Serai, 30 Okt: Kunjungan wakil Muslimat Hamas dari Palestin ke Majlis Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Perak di Masjid Tinggi membuka lembaran baru buat Dewan Muslimat PAS Perak. Pertemuan dalam menjalinkan usahasama antara dua parti politik dari negara yang berbeza membuahkan natijah yang positif ketika membincangkan pergerakan Parti Hamas yang telah berjaya meraih sokongan padu dari rakyat di negara Palestin.

Dalam program sambutan tersebut, wakil Muslimat Hamas iaitu Nura Abu Musa selaku Pengerusi Pertubuhan Pembelaan Wanita dan Kanak-kanak di bawah NGO Hamas yang ditemani oleh sahabatnya, Tahrir telah dijemput menjadi panel dalam slot “Palestin di Hatiku”. Hadir sama, Dr Najihahtussalehah Ahmad selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Perak turut dijemput menjadi panel pada hari itu.



Forum yang dianjurkan telah memberi gambaran betapa perit dan tertekannya rakyat Palestin yang ditindas oleh Rejim Zionis sehingga bekalan utama seperti elektrik dan air disekat. Jelas kelihatan di mata muslimat Hamas berkaca-kaca menakung air mata yang tertahan tapi masih mengukir senyuman. Mereka memohon kepada semua umat Islam mendoakan keselamatan negara Palestin di mana semua umat Islam wajib bangun dan membebaskan tanah Palestin walau dengan apa cara sekalipun dari Regim Zionis laknatullah. Harapan beliau itu menimbulkan rasa kesedaran terhadap tanggungjawab membebaskan Baitul Maqdis bukan tergalas di bahu rakyat Palestin sahaja malahan seluruh umat Islam.


Tenang melihat kelibat muslimat Hamas yang tidak pernah letih melaksanakan tugas dan ternyata mereka amat rindukan syahid memberikan semangat buat pengunjung yang hadir mendengar perkongsian dari mereka.

Walaupun tidak banyak dihuraikan, namun masa yang diberi memberi kepuasan buat kami di Perak dalam mendapatkan input dari segi pergerakan pertubuhan mereka. Di akhir perbualan, beliau mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga atas jemputan yang diberi. Di samping itu, kami juga telah memberikan sumbangan duit buat rakyat Palestin hasil dari kutipan pengunjung yang hadir. Sebelum beredar, kami memberikan cenderahati buat mereka sebagai kenang- kenangan.

Friday, October 28, 2011

Masyitah Wanita Penghulu Syurga


Wanita ini harum namanya seharum makamnya yang dicium Nabi Muhammad s.a.w sewaktu Israk Mikraj. Beliau ialah Masyitah, wanita penghulu syurga.Semasa hayatnya, Masyitah menjadi pengasuh puteri Firaun. Suatu hari, ketika menyikat rambut puteri Firaun, sikatnya jatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama ALLAH.

Puteri Firaun berasa hairan lalu bertanya, siapakah ALLAH itu? Masyitah engan menjawap tetapi terus didesak bertubi-tubi. Akhirnya, beliau menerangkan bahawa ALLAH adalah TUHAN Yang Maha Esa, TUHAN sekalian alam.

Puteri itu mengadu kepada Firaun dan menyebabkan Firaun menggila marah. Ini kerana Masyitah menyembah Tuhan yang lain selain dirinya. Firaun memaksa Masyitah mengakui bahawa dirinya (Firaun) sebagai Tuhan tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah ALLAH."

Firaun semakin marah. Lalu dia memerintahkan agar patung lembu tembaga berisi minyak direbus hingga menggelegak. Kemudian, Masyitah dan ahli keluarganya dicampak ke dalamnya seorang demi seorang. Sewaktu giliran anaknya, Masyitah hempir mengalah kepada Firaun kerana sayangkan anaknya.

Tetapi dengan kehendak ALLAH s.w.t kejadian luar biasa berlaku. Bayi Masyitah boleh bercakap secara tiba-tiba. Katanya,

"Wahai ibu, teruskanlah dan usah menyerah kalah. Sesungguhnya engkau di jalan kebenaran."

Lalu Masyitah yakin semula. Beliau mempertahankan keimanannya dengan mengatakan bahawa ALLAH Tuhan Yang Maha Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa. Beliau dan ahli keluarga kemudiannya mati syahid di tangan Firaun yang durjana.

Melalui pengorbanan sehebat Masyitah inilah Islam semakin mekar dan tersebar. Melalui pengorbanan wanita inilah Islam dipandang tinggi oleh insan yang sedang mencari-cari cahaya hidup. Ketika ada yang merasakan agama nenek moyang mereka sebagai karut dan tiada kuasa, mereka mencari-cari agama yang sebenar, yang boleh disandarkan seluruh kehidupan. Akhirnya mereka mendapati, Islam itu agama yang benar lalu mereka memilih untuk menganut agama yang benar ini dan bersandar dengan sepenuh jiwa raga meskipun diseksa atau terkorban nyawa. Apabila iman telah kukuh dalam diri, percayalah bahawa semua ugutan atau hinaan tidak lagi gentar untuk dihadapi dengan penuh ketakwaan.

Pada hari ini, kita tidak perlu berkorban nyawa seperti Masyitah untuk menegakkan Islam kerana Islam itu sudah tertegak dengan jerih payah pejuang-pejuang sebelum kita. Kita tidak perlu menempuh jalan sesukar itu kerana jalan Islam sudah terbentang di hadapan mata malah di lahirkan sudah Islam sejak azalinya. Islam ada di sekeliling kita malah menjadi cara hidup kita semua. Kita boleh mengamalkan agama kita ini sebebas-bebasnya. Tiada sesiapa pun yang akan marah jika sehari demi sehari kita berazam untuk meningkatkan iman dalam diri namun terlalu mengecewakan di zaman sekarang ada di antara kita yang lupa akan nikmatnya Islam yang selama ini bermati-matian di perjuangkan dan terlalu mudah agama kita diperjudikan.

Tuesday, October 25, 2011

PERSIDANGAN ICT dan MEDIA BARU 2011

Wakil DMPN bergambar bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Antara wakil DMPN yang hadir


Kenangan bersama Tuan Guru

Friday, October 21, 2011

‘Bangunan hijau’ jimat tenaga, mesra alam

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa mencadangkan kerajaan menggunakan konsep ‘bangunan hijau’ bagi semua bangunannya sebagai langkah penjimatan tenaga dan lebih mesra alam.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, konsep bangunan hijau lebih memberikan langkah penjimatan untuk jangka masa panjang berbanding menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah celsius.

"Adakah kementerian mempunyai hasrat ataupun bersunguh-sungguh bukan sahaja penjimatan penggunaan tenaga tanpa kos yang hanya melibatkan kawalan penghawa dingin tapi bersedia membawa konsep bangunan itu secara menyeluruh yang dinamakan bangunan hijau.

"Kalau kita tak fikir secara serius konsep bangunan hijau ini, kita akan terus menanggung kos jangka panjang.

"Bangunan hijau ini meliputi reka bentuk yang mesra cahaya semula jadi, dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Kemudian sistem pengudaraan yang mengurangkan penyerapan haba seperti penggunaan sistem penebat suhu yang lebih tinggi selain sistem kitar semula yang cekap penggunaan air hujan untuk penyiraman dan lanskap pembngunan itu sendiri dengan pokok-pokok yang boleh kuranglan kepanasan dan menyedut karbon dioksida," katanya.

Beliau mencadangkan demikian setelah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Noriah Kasnon memberitahu pihak kementerian belum mengeluarkan surat pekeliling dan garis panduan mengenai arahan megawal susu pendingin udara di pejabat-pejabat.

Mujahid dalam soalan asalanya meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan adakah surat pekeliling sudah dikeluarkan bagi memastikan semua bangunan kerajaan menggunakan suhu penghawa dingin di bawah 24 celcius bagi menjimatkan tenaga.

"Perkara ini kita dah mesyuarat dan sekarang sudah masuk Oktober. Saya rasa ini perlu disegerakan kerana lagi lama kita tangguh dan hanya buat keputusan sahaja saya rasa kita terpaksa tanggung kos tenaga yang semakin meningkat," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengarahkan Semua bangunan kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan masing-masing tidak kurang daripada 24 darjah celsius sebagai langkah penjimatan tenaga.

Wednesday, October 19, 2011

Himpun: PAS tidak terlibat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Okt: PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22 Oktober 2011 ini.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tuesday, October 18, 2011

Himpun: Pakatan tunggu keputusan PAS



Nazri Abdullah
Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pakatan Rakyat akan menunggu keputusan mesyuarat PAS malam ini sebelum membuat pendirian berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan 22 Oktober ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar berkata, mereka juga sedang mengumpul maklumat dari beberapa pihak berkenaan apa sebenarnya tujuan himpunan tersebut.

"Kita serah kepada kebijaksanaan PAS yang akan bermesyuarat malam ini.

"Kita sedang kumpul maklumat...adakah penglibatan pihak-pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno atau tidak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan pendirian Pakatan Rakyat berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertujuan menentang sebarang gerakan Kristianisasi terhadap orang Islam, yang dijadualkan Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

"Kita juga tanya pandangan Abim (Angkatan Belia Islam), Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Islam) dan rakan-rakan yang lain..kita akan beri keputusan selepas PAS buat keputusan malam ini," kata Ketua Pembangkang itu.

Turut serta pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Agenda politik murahan

Tuan Guru Abdul Hadi pula menegaskan, mesyuarat PAS malam ini akan mengambil kira sejauh mana 'agenda politik murahan' pihak tertentu berselindung di sebalik himpunan ini sebelum parti itu membuat ketetapan.

"Isu ini dibangkitkan bila nak pilihan raya. Kita akan melihat sejauh mana agenda politik murahan ada dalam himpunan ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS tidak mahu program yang diatur itu lari dari landasan sebenar dan hanya mahu digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita tak mahu program yang diatur lari dari landasan sebenar iaitu mempertahan akidah.

"Sepatutnya yang bertanggungjawab mempertahan akidah umat Islam ini adalah Umno, kerana mereka sudah memerintah lebih 50 tahun," katanya.

Sementara itu, Lajnah Politik PAS Pusat akan bermesyuarat malam ini bagi memutuskan pendirian PAS sama ada mahu menyertai atau tidak dalam himpunan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.

Ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, keputusan itu nanti dipatuhi semua organisasi PAS.

Friday, October 14, 2011

Cukai 6% kepada pelanggan Unifi dan Streamyx mulai 2012







BERIKUTAN bantahan hebat dari seluruh rakyat Malaysia berhubung isu cukai 6% terhadap prabayar telco baru-baru ini, kenaikan tersebut telah ditangguhkan.



Namun begitu, seperti yang anda sedia maklum, terhadap kerajaan BN yang begitu sinonim dengan "Barang Naik", cukai 6% kepada pengguna Unifi dan Streamyx pula akan dikenakan mulai 1 Jan 2012.



Hal ini disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka.


Wednesday, October 12, 2011

Unit cari jodoh dicadang guna Facebook


KOTA BHARU, 11 Okt : Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan unit cari jodoh atau `Mahligai Sakinah’ menggunakan laman sosial facebook sebagai cara baru untuk menggalakkan penyertaan kaum lelaki yang sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, kaedah mengisi borang cara konvensional kurang mendapat sambutan menyebabkan berlaku masaalah kekurangan calon lelaki.

“Mungkin kaedah lama itu membuatkan golongan lelaki begitu malas sebab kena pergi ambil borang, isi borang kemudian hantar.

“Akibatnya hanya calon wanita sahaja mengisi borang, sedangkan calon lelaki kurang mengambil perhatian,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) kali ke-6 di Balai Islam, di sini.

Katanya, memandangkan zaman kini segalanya telah berubah kepada internet, ada baiknya ‘mencari jodoh’ juga digunakan dengan kaedah berkenaan.

Namun, tambahnya pihak penganjur perlu memantau dan setiap para ahli yang telah bertemu pasangan mereka perlu dilaporkan pada pihak penganjur terlebih dahulu.

Maklumat calon dirahsia

Tegasnya, ia tidak bermakna penganjur akan mengambil mudah mengenai hak rahsia peribadi calon dan akan membuat tapisan ketat bagi memastikan hanya yang layak dan serius sahaja diberi perhatian.

Sambungnya, apa yang dilakukan itu bertujuan untuk mengelak sesuatu perkara yang tidak diingin berlaku memandangkan laman social ini mudah terdedah pada keburukan selain kebaikkan.

“Semoga usaha murni ini tidak disalah ertikan serta mendapat hasil yang baik,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa ahli telah bertemu jodoh masing-masing sejak ianya ditubuhkan 2007 lalu dan ianya akan diaktifkan semula untuk mencapai hasrat tersebut.

Mahligai Sakinah yang diwujudkan kerajaan negeri sejak 2007, mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita bujang tetapi bilangan calon lelaki yang sedikit menyukarkan pihaknya membuat padanan.

Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012 : Tiada jaminan kesejahteraan wanita muda

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Isu-isu utama berkaitan golongan wanita muda seperti isu keselamatan dan perkahwinan tidak dibincangkan secara serius dalam Bajet 2012.

Pengerusi Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Fareedah Samad berkata, kelangsungan generasi amat penting.

Justeru, katanya usaha dan langkah-langkah yang dapat membantu generasi muda membina rumahtangga adalah langkah bijak memandangkan masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing.

“Bahkan penekanan kepada kehidupan berkeluarga akan mengembalikan dan memartabatkan institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tunjang utama kepada masa depan negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana institusi kekeluargaan merupakan agen sosialisasi yang paling efektif.

Selain itu juga, katanya kehidupan berkeluarga merupakan gaya hidup yang sihat melalui keseimbangan spiritual, emosi dan fizikal.

Menurutnya, statistik perceraian yang menunjukkan peningkatan saban tahun, di mana kajian menunjukkan setiap 15 minit terdapat satu pasangan bercerai di mana jumlah keseluruhan kadar perceraian pada akhir 2010 adalah melebihi 22,000 pasangan.

Hal ini, jelasnya sangat-sangat membimbangkan memandangkan faktor utama kebejatan sosial di negara kita disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Kami mencadangkan peruntukan diberikan agar yuran percuma untuk kursus perkahwinan dan silibus kursus perkahwinan perlu disemak semula dengan memasukkan elemen kemahiran keibubapaan dan perancangan kewangan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, kata beliau Bajet 2012 dilihat hanya melayan kehendak golongan tertentu tanpa mempertimbangkan masalah yang lebih besar dan lebih utama.

Menurutnya, banyak lagi persoalan anak muda yang tidak dijawab seperti masalah pengangguran dan pinjaman PTPTN yang tidak berkesudahan.

Tambahnya, usaha serius kerajaan untuk mengekang defisit juga tidak diperinci dengan jelas.

Justeru, katanya Ameerah yang tentunya fokus kepada kebajikan dan keselamatan golongan wanita muda di negara ini, menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam merangka perbelanjaan negara.

Menurutnya lagi, sehingga 19 Mei 2011, kejadian rogol di Malaysia boleh dikatakan 1 kes setiap 2.5 jam di mana purata 10 wanita menjadi mangsa rogol setiap hari.

Katanya, peningkatan kes rogol diperlihat saban tahun sehingga akhir 2010 sebanyak 3,595 kes dicatatkan.

“Hal yang lebih membimbangkan, 70% daripada mangsa adalah gadis di bawah umur 18 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, menurut Nationmaster yang mengkaji kes rogol di seluruh dunia, Malaysia masih lemah dalam menangani kes-kes rogol yang berlaku dalam negara kita.

Ujar belau, mungkin sebagai sebuah negara Islam yang kita bangga, berada pada tangga 38 bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. 0.0505156 per 1,000 rakyat bermakna dalam 1 juta rakyat malaysia 50 – 51 orang yang dirogol dicatatkan.

“Perangkaan ini diikut rapat dengan statistik kes ragut dan bunuh di mana lebih 52% melibatkan golongan wanita,” katanya lagi.

Stesen bas Gopeng macam zaman 60-an


Stesen bas utama di Medan Gopeng, Bandaraya Ipoh, Perak bukan sahaja nampak usang tetapi persekitarannya yang agak kotor dan tidak begitu terurus dengan baiknya sedangkan orang awam bersesak-sesak dengan bunyi bising hingar bingar masih tertumpu untuk mendapatkan pengangkutan awam di sana dari seawal pagi hingga ke malam. Begitu juga medan selera yang berdekatan di mana diperhatikan bukan sahaja persekitaranya juga daif tetapi kebersihan juga seolah-olah tidak layak lagi ditempatkan di sebuah bandaraya yang besar saperti Ipoh,ibu negeri Perak ini. Gerai-gerai di sini pun diperhatikan tidak mempamerkan harga setiap menu makanan yang dijualkan.

Sudah sampai masanya Bandaraya Ipoh perlukan perubahan terutama sekali tempat-tempat tumpuan awam saperti stesen bas utama yang ketinggalan zaman itu dibinakan terminal bas yang moden dan canggih saperti canggihnya stesen bas Puduraya Kuala Lumpur.Ini termasuklah juga membina medan selera yang bersih dan moden.

Begitu juga perkhidmatan bas untuk laluan disekitar kawasan perbandarannya juga banyak yang sudah ketinggalan zaman dengan kepulan asap yang pekat dan hitam itu bolih mencemarkan suasana sekelilingnya.

Perubahan bandaraya Ipoh begitu ketara dengan warga kotanya semakin bertambah dan padat serta juga Ipoh adalah sebuah destinasi tumpuan pelancungan luar dan tempatan dimana hotel-hotelnya sentiasa penuh setiap masa. Oleh yang demikian Bandaraya Ipoh perlukan suntikan perubahan ketara secara fizikalnya dan infratrukturnya juga perlu diubahsuaikan untuk mengindahkan lagi ibu Negeri Perak Darul Ridzuan ini.

Suasana distesen bas Gopeng seperti kita berada di zaman tahun 60-an ini perlu diubahkan segera dan jika boleh kita mahu melihat terminal stesen bas jika dapat dibina dan menjadi kenyataan kelak seolah-olah kita sedang berada di Bandaraya Ipoh pada tahun 2050.

Hiruk pikuk bunyi bising memengitkan telinga kerana dipusat Bandaraya Ipoh masih lagi terletaknya kem askar,sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi yang mana sepatutnya dipindahkan ke kawasan jauh daripada bandar untuk mengelakkan kesesakan yang melampau. Aliran trafik yang agak kelam kabut juga menjadikan punca kesesakan diwaktu puncak.

Dalam pada itu pula Masjid Negeri di tengah-tengah Bandaraya Ipoh juga perlukan pembesarannya kerana tidak lagi mampu jemaah yang semakin meningkat dan Masjid itu sendiri nampaknya kekurangan tempat letak kereta bagi jemaah untuk menunaikan solat.

Friday, October 7, 2011

Raja Perempuan Perak, Raja Muzwin, mangkat

Saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kerabat Diraja Perak di atas kemangkatan Raja Perempuan Perak Raja Muzwin Raja Ariff Shah, balu kepada Almarhum Sultan Idris Shah II, di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam.

Jurucakap Istana Iskandariah berkata bonda kepada isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah itu mangkat pada pukul 4.20 petang.

Jenazah Almarhumah dibawa ke Istana Riswin di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak malam semalam dan akan disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak selepas solat Jumaat hari ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Friday, September 30, 2011

Sambutan 6O Tahun PAS mengenang sejarah perjuangan Para Ulama




(Kanan: Padang Bandaran Butterworth.)

Ahli PAS terutamanya generasi muda harus tahu sejarah perjuangan ulamak terdahulu yang keluar dari Umno lalu menubuhkan sebuah parti berteraskan Islam bukan main-main sebagaimana yang menjadi amalan kepimpinan Umno dari dulu sehinggalah sekarang.

Mereka menjadikan medan Padang Bandaran Butterworth yang kini lebih dikenali Padang Putra Merdeka sebagai tapak pelancaran parti Islam yang senantiasa utuh dari segi kepimpinan, perjuangan dan pendekatan walaupun terpaksa mengalami jatuh bangun akibat kepimpinanya yang terjun ke laut sebelum sampai ke daratan.

Namun begitu, PAS yang kian meningkat sokongan tahun demi tahun sudah matang dan memerlukan daya tahan yang lebih bagi memenangi hati rakyat pada pilihanraya umum. Natijah pembaharuan yang dibuat membuatkan pimpinan Barisan Nasional (BN) bagaikan cacing kepanasan bimbangkan terkuburnya sebuah pemerintahan yang sudah bertapak 50 tahun lebih.

(Kiri: Rumah almarhum Ustaz Fuad di Bukit Mertajam.)

Apabila datang ke sini nanti para tetamu usah membuang masa mundar mandir mencari barangan untuk dibawa balik sebagai cenderahati sahaja bahkan mesti mengambil langkah lebih kehadapan pergi meninjau sendiri tempat yang dikatakan tempat lahir PAS, rumah Yang Dipertua PAS pertama di Bukit Mertajam begitu juga Madrasah Al Masriyah yang pernah menjadi medan PAS membina kepimpinan dan lebih penting lokasi inilah juga merupakan catatan sejarah bertukarnya kepimpinan Datuk Asri Muda kepada Ustaz Yusof Rawa yang membawa kepada lakaran sejarah kepimpinan ulamak.

Waktu itu terciptalah satu gelombang yang melonjak nama PAS ke arena politik yang lebih mencabar. Ramai anak muda berkupiah putih, berserban, berjubah dan berjanggut berbanding dulunya nampak lebih 'simple'.

Jika ke Pokok Sena yang tidak jauh dari Dewan Millenium tempat berlangsungnya sambutan 50 tahun PAS itu para hadirin boleh singgah ke Madrasah Khariah Islamiah yang diterajui oleh Tuan Guru Ahmad Tuan Husein iaitu Ahli Parlimen PAS yang pertama.

Begitu juga anda boleh meninjau sendiri ke Masjid Al Jamiul Badawi yang mana anda boleh melihat sendiri sebuah bangunan yang ada dua beranda (serambi) yang mana suatu ketika dahulu merupakan tempat tarbiyah yang pertama di waktu Allahyarham Ahmad Badawi sebagai Ketua Pemuda manakala ayahandanya Tuan Guru Abdullah Fahim bertindak sebagai penasihat penubuhan.

Selepas itu pusat berkenaan berpindah pula ke Masriyah di Bukit Mertajam apabila Ustaz Ahmad Fuad dilantik sebagai Yang Dipertua PAS pertama.

Itulah antara lokasi yang menjadi kewajipan kepada para peserta sambutan ke 60 tahun PAS mesti lihat dengan mata kepala sendiri kerana tempat itu adalah koleksi perjuangan yang mesti terpahat di dada ahli PAS yang mahu melihat Islam didaulatkan di bumi Malaysia.

Sempena sambutan 60 tahun PAS itu pada 30 September akan berlangsungnya solat Maghrib dan hajat di Dewan Millenium bersama dua tokoh besar PAS iaitu Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

(Kiri: Sekolah agama bersebelahan Masjid Al Jamiul Badawi merupakan pusat tarbiyah pertama PAS.)

Manakala pada malam yang sama juga forum perdana diadakan dengan tajuk 'PAS: Pembangkang dan Pemerintah Penyelamat Umat'. Antara ahli panelnya ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Salahudin Ayub, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Pada keesokan harinya, 1 Oktober jam 9.00 pagi, perasmian kongres Sambutan 60 Tahun PAS akan berlangsung dan diikuti pada sebelah petang berbagai program Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak termasuk pertandingan motorsikal klasik yang menggunakan plat 'PAS'.

Sementara itu sebelah malamnya akan diadakan 'Rapat Umum Perdana' yang akan disampaikan oleh Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Gurtu Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengeruasi dan Setiausaha Agung DAP, Karpal Singh dan Lim Guan Eng yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tuesday, September 27, 2011

KURSUS CERAMAH KELOMPOK ZON 2






Alhamdulilah...penjelajahan Lajnah Penerangan & Dakwah DMPN seterusnya untuk Kursus Ceramah Kelompok di Zon 2 yang melibatkan DMPK Parit, Lumut, Beruas & Pasir Salak.Kursus telah diadakan pada 24 september 2011 bertempat di Bota.
Tahniah & terima kasih kepada semua AJK LPD & peserta yang hadir.....moga kita bersedia menghadapi PRU-13.

KURSUS CERAMAH KELOMPOK ZON 1





Alhamdulilah..16 september yang lalu, Lajnah Penerangan & Dakwah DMPN telah berjaya mengadakan Kursus Ceramah Kelompok yang melibatkan Zon 1 ( DMPK Gopeng, Kampar, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah & Tambun)
Modul yang telah disampaikan oleh Cikgu Khairul dari JPN Perak amatlah membantu para muslimat dalam menghadapi PRU ke-13 akan datang. Tahniah & terima kasih kepada semua AJK & peserta yang hadir....