Friday, October 28, 2011

Masyitah Wanita Penghulu Syurga


Wanita ini harum namanya seharum makamnya yang dicium Nabi Muhammad s.a.w sewaktu Israk Mikraj. Beliau ialah Masyitah, wanita penghulu syurga.Semasa hayatnya, Masyitah menjadi pengasuh puteri Firaun. Suatu hari, ketika menyikat rambut puteri Firaun, sikatnya jatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama ALLAH.

Puteri Firaun berasa hairan lalu bertanya, siapakah ALLAH itu? Masyitah engan menjawap tetapi terus didesak bertubi-tubi. Akhirnya, beliau menerangkan bahawa ALLAH adalah TUHAN Yang Maha Esa, TUHAN sekalian alam.

Puteri itu mengadu kepada Firaun dan menyebabkan Firaun menggila marah. Ini kerana Masyitah menyembah Tuhan yang lain selain dirinya. Firaun memaksa Masyitah mengakui bahawa dirinya (Firaun) sebagai Tuhan tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah ALLAH."

Firaun semakin marah. Lalu dia memerintahkan agar patung lembu tembaga berisi minyak direbus hingga menggelegak. Kemudian, Masyitah dan ahli keluarganya dicampak ke dalamnya seorang demi seorang. Sewaktu giliran anaknya, Masyitah hempir mengalah kepada Firaun kerana sayangkan anaknya.

Tetapi dengan kehendak ALLAH s.w.t kejadian luar biasa berlaku. Bayi Masyitah boleh bercakap secara tiba-tiba. Katanya,

"Wahai ibu, teruskanlah dan usah menyerah kalah. Sesungguhnya engkau di jalan kebenaran."

Lalu Masyitah yakin semula. Beliau mempertahankan keimanannya dengan mengatakan bahawa ALLAH Tuhan Yang Maha Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa. Beliau dan ahli keluarga kemudiannya mati syahid di tangan Firaun yang durjana.

Melalui pengorbanan sehebat Masyitah inilah Islam semakin mekar dan tersebar. Melalui pengorbanan wanita inilah Islam dipandang tinggi oleh insan yang sedang mencari-cari cahaya hidup. Ketika ada yang merasakan agama nenek moyang mereka sebagai karut dan tiada kuasa, mereka mencari-cari agama yang sebenar, yang boleh disandarkan seluruh kehidupan. Akhirnya mereka mendapati, Islam itu agama yang benar lalu mereka memilih untuk menganut agama yang benar ini dan bersandar dengan sepenuh jiwa raga meskipun diseksa atau terkorban nyawa. Apabila iman telah kukuh dalam diri, percayalah bahawa semua ugutan atau hinaan tidak lagi gentar untuk dihadapi dengan penuh ketakwaan.

Pada hari ini, kita tidak perlu berkorban nyawa seperti Masyitah untuk menegakkan Islam kerana Islam itu sudah tertegak dengan jerih payah pejuang-pejuang sebelum kita. Kita tidak perlu menempuh jalan sesukar itu kerana jalan Islam sudah terbentang di hadapan mata malah di lahirkan sudah Islam sejak azalinya. Islam ada di sekeliling kita malah menjadi cara hidup kita semua. Kita boleh mengamalkan agama kita ini sebebas-bebasnya. Tiada sesiapa pun yang akan marah jika sehari demi sehari kita berazam untuk meningkatkan iman dalam diri namun terlalu mengecewakan di zaman sekarang ada di antara kita yang lupa akan nikmatnya Islam yang selama ini bermati-matian di perjuangkan dan terlalu mudah agama kita diperjudikan.

Tuesday, October 25, 2011

PERSIDANGAN ICT dan MEDIA BARU 2011

Wakil DMPN bergambar bersama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Antara wakil DMPN yang hadir


Kenangan bersama Tuan Guru

Friday, October 21, 2011

‘Bangunan hijau’ jimat tenaga, mesra alam

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa mencadangkan kerajaan menggunakan konsep ‘bangunan hijau’ bagi semua bangunannya sebagai langkah penjimatan tenaga dan lebih mesra alam.

Mujahid sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, konsep bangunan hijau lebih memberikan langkah penjimatan untuk jangka masa panjang berbanding menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah celsius.

"Adakah kementerian mempunyai hasrat ataupun bersunguh-sungguh bukan sahaja penjimatan penggunaan tenaga tanpa kos yang hanya melibatkan kawalan penghawa dingin tapi bersedia membawa konsep bangunan itu secara menyeluruh yang dinamakan bangunan hijau.

"Kalau kita tak fikir secara serius konsep bangunan hijau ini, kita akan terus menanggung kos jangka panjang.

"Bangunan hijau ini meliputi reka bentuk yang mesra cahaya semula jadi, dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.

"Kemudian sistem pengudaraan yang mengurangkan penyerapan haba seperti penggunaan sistem penebat suhu yang lebih tinggi selain sistem kitar semula yang cekap penggunaan air hujan untuk penyiraman dan lanskap pembngunan itu sendiri dengan pokok-pokok yang boleh kuranglan kepanasan dan menyedut karbon dioksida," katanya.

Beliau mencadangkan demikian setelah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Noriah Kasnon memberitahu pihak kementerian belum mengeluarkan surat pekeliling dan garis panduan mengenai arahan megawal susu pendingin udara di pejabat-pejabat.

Mujahid dalam soalan asalanya meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan adakah surat pekeliling sudah dikeluarkan bagi memastikan semua bangunan kerajaan menggunakan suhu penghawa dingin di bawah 24 celcius bagi menjimatkan tenaga.

"Perkara ini kita dah mesyuarat dan sekarang sudah masuk Oktober. Saya rasa ini perlu disegerakan kerana lagi lama kita tangguh dan hanya buat keputusan sahaja saya rasa kita terpaksa tanggung kos tenaga yang semakin meningkat," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengarahkan Semua bangunan kerajaan menetapkan suhu pendingin hawa dalam bangunan masing-masing tidak kurang daripada 24 darjah celsius sebagai langkah penjimatan tenaga.

Wednesday, October 19, 2011

Himpun: PAS tidak terlibat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Okt: PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22 Oktober 2011 ini.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu, sebentar tadi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

PAS yang mengadakan mesyuarat lajnah politik pada malam ini telah membincangkan isu Himpunan Sejuta Umat (Himpun) Mempertahankan Aqidah yang dijadualkan pada 22hb Oktober 2011 ini. PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

PAS memperingatkan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran himpunan ini agar bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang negara, dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama. Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. PAS memandang berat sebarang usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

Agenda menyelamatkan aqidah merupakan agenda murni tetapi ianya mesti diurus dengan cara berhemah. PAS menyokong segala usaha memantapkan aqidah oleh badan-badan NGO dan pelbagai pihak bagi memperkasakan aqidah umat Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa pengukuhan aqidah umat Islam hendaklah dilaksanakan menerusi jalan dakwah secara damai sebagaimana Islam telah diterima oleh masyarakat rantau ini secara damai.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tuesday, October 18, 2011

Himpun: Pakatan tunggu keputusan PAS



Nazri Abdullah
Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pakatan Rakyat akan menunggu keputusan mesyuarat PAS malam ini sebelum membuat pendirian berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan 22 Oktober ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar berkata, mereka juga sedang mengumpul maklumat dari beberapa pihak berkenaan apa sebenarnya tujuan himpunan tersebut.

"Kita serah kepada kebijaksanaan PAS yang akan bermesyuarat malam ini.

"Kita sedang kumpul maklumat...adakah penglibatan pihak-pihak tertentu sama ada terlibat dengan Umno atau tidak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan pendirian Pakatan Rakyat berhubung Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang bertujuan menentang sebarang gerakan Kristianisasi terhadap orang Islam, yang dijadualkan Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

"Kita juga tanya pandangan Abim (Angkatan Belia Islam), Wadah (Wadah Pencerdasan Umat Islam) dan rakan-rakan yang lain..kita akan beri keputusan selepas PAS buat keputusan malam ini," kata Ketua Pembangkang itu.

Turut serta pada sidang media itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Agenda politik murahan

Tuan Guru Abdul Hadi pula menegaskan, mesyuarat PAS malam ini akan mengambil kira sejauh mana 'agenda politik murahan' pihak tertentu berselindung di sebalik himpunan ini sebelum parti itu membuat ketetapan.

"Isu ini dibangkitkan bila nak pilihan raya. Kita akan melihat sejauh mana agenda politik murahan ada dalam himpunan ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS tidak mahu program yang diatur itu lari dari landasan sebenar dan hanya mahu digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita tak mahu program yang diatur lari dari landasan sebenar iaitu mempertahan akidah.

"Sepatutnya yang bertanggungjawab mempertahan akidah umat Islam ini adalah Umno, kerana mereka sudah memerintah lebih 50 tahun," katanya.

Sementara itu, Lajnah Politik PAS Pusat akan bermesyuarat malam ini bagi memutuskan pendirian PAS sama ada mahu menyertai atau tidak dalam himpunan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin dapat diketahui sekitar jam 11.00 malam ini.

Ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, keputusan itu nanti dipatuhi semua organisasi PAS.

Friday, October 14, 2011

Cukai 6% kepada pelanggan Unifi dan Streamyx mulai 2012







BERIKUTAN bantahan hebat dari seluruh rakyat Malaysia berhubung isu cukai 6% terhadap prabayar telco baru-baru ini, kenaikan tersebut telah ditangguhkan.



Namun begitu, seperti yang anda sedia maklum, terhadap kerajaan BN yang begitu sinonim dengan "Barang Naik", cukai 6% kepada pengguna Unifi dan Streamyx pula akan dikenakan mulai 1 Jan 2012.



Hal ini disahkan sendiri oleh operator TM net yang ditugaskan untuk melayan pertanyaan pelanggan-pelanggan mereka.


Wednesday, October 12, 2011

Unit cari jodoh dicadang guna Facebook


KOTA BHARU, 11 Okt : Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan unit cari jodoh atau `Mahligai Sakinah’ menggunakan laman sosial facebook sebagai cara baru untuk menggalakkan penyertaan kaum lelaki yang sebelum ini kurang mendapat sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, kaedah mengisi borang cara konvensional kurang mendapat sambutan menyebabkan berlaku masaalah kekurangan calon lelaki.

“Mungkin kaedah lama itu membuatkan golongan lelaki begitu malas sebab kena pergi ambil borang, isi borang kemudian hantar.

“Akibatnya hanya calon wanita sahaja mengisi borang, sedangkan calon lelaki kurang mengambil perhatian,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) kali ke-6 di Balai Islam, di sini.

Katanya, memandangkan zaman kini segalanya telah berubah kepada internet, ada baiknya ‘mencari jodoh’ juga digunakan dengan kaedah berkenaan.

Namun, tambahnya pihak penganjur perlu memantau dan setiap para ahli yang telah bertemu pasangan mereka perlu dilaporkan pada pihak penganjur terlebih dahulu.

Maklumat calon dirahsia

Tegasnya, ia tidak bermakna penganjur akan mengambil mudah mengenai hak rahsia peribadi calon dan akan membuat tapisan ketat bagi memastikan hanya yang layak dan serius sahaja diberi perhatian.

Sambungnya, apa yang dilakukan itu bertujuan untuk mengelak sesuatu perkara yang tidak diingin berlaku memandangkan laman social ini mudah terdedah pada keburukan selain kebaikkan.

“Semoga usaha murni ini tidak disalah ertikan serta mendapat hasil yang baik,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa ahli telah bertemu jodoh masing-masing sejak ianya ditubuhkan 2007 lalu dan ianya akan diaktifkan semula untuk mencapai hasrat tersebut.

Mahligai Sakinah yang diwujudkan kerajaan negeri sejak 2007, mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita bujang tetapi bilangan calon lelaki yang sedikit menyukarkan pihaknya membuat padanan.

Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012 : Tiada jaminan kesejahteraan wanita muda

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Isu-isu utama berkaitan golongan wanita muda seperti isu keselamatan dan perkahwinan tidak dibincangkan secara serius dalam Bajet 2012.

Pengerusi Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Fareedah Samad berkata, kelangsungan generasi amat penting.

Justeru, katanya usaha dan langkah-langkah yang dapat membantu generasi muda membina rumahtangga adalah langkah bijak memandangkan masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing.

“Bahkan penekanan kepada kehidupan berkeluarga akan mengembalikan dan memartabatkan institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tunjang utama kepada masa depan negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana institusi kekeluargaan merupakan agen sosialisasi yang paling efektif.

Selain itu juga, katanya kehidupan berkeluarga merupakan gaya hidup yang sihat melalui keseimbangan spiritual, emosi dan fizikal.

Menurutnya, statistik perceraian yang menunjukkan peningkatan saban tahun, di mana kajian menunjukkan setiap 15 minit terdapat satu pasangan bercerai di mana jumlah keseluruhan kadar perceraian pada akhir 2010 adalah melebihi 22,000 pasangan.

Hal ini, jelasnya sangat-sangat membimbangkan memandangkan faktor utama kebejatan sosial di negara kita disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Kami mencadangkan peruntukan diberikan agar yuran percuma untuk kursus perkahwinan dan silibus kursus perkahwinan perlu disemak semula dengan memasukkan elemen kemahiran keibubapaan dan perancangan kewangan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, kata beliau Bajet 2012 dilihat hanya melayan kehendak golongan tertentu tanpa mempertimbangkan masalah yang lebih besar dan lebih utama.

Menurutnya, banyak lagi persoalan anak muda yang tidak dijawab seperti masalah pengangguran dan pinjaman PTPTN yang tidak berkesudahan.

Tambahnya, usaha serius kerajaan untuk mengekang defisit juga tidak diperinci dengan jelas.

Justeru, katanya Ameerah yang tentunya fokus kepada kebajikan dan keselamatan golongan wanita muda di negara ini, menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam merangka perbelanjaan negara.

Menurutnya lagi, sehingga 19 Mei 2011, kejadian rogol di Malaysia boleh dikatakan 1 kes setiap 2.5 jam di mana purata 10 wanita menjadi mangsa rogol setiap hari.

Katanya, peningkatan kes rogol diperlihat saban tahun sehingga akhir 2010 sebanyak 3,595 kes dicatatkan.

“Hal yang lebih membimbangkan, 70% daripada mangsa adalah gadis di bawah umur 18 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, menurut Nationmaster yang mengkaji kes rogol di seluruh dunia, Malaysia masih lemah dalam menangani kes-kes rogol yang berlaku dalam negara kita.

Ujar belau, mungkin sebagai sebuah negara Islam yang kita bangga, berada pada tangga 38 bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. 0.0505156 per 1,000 rakyat bermakna dalam 1 juta rakyat malaysia 50 – 51 orang yang dirogol dicatatkan.

“Perangkaan ini diikut rapat dengan statistik kes ragut dan bunuh di mana lebih 52% melibatkan golongan wanita,” katanya lagi.

Stesen bas Gopeng macam zaman 60-an


Stesen bas utama di Medan Gopeng, Bandaraya Ipoh, Perak bukan sahaja nampak usang tetapi persekitarannya yang agak kotor dan tidak begitu terurus dengan baiknya sedangkan orang awam bersesak-sesak dengan bunyi bising hingar bingar masih tertumpu untuk mendapatkan pengangkutan awam di sana dari seawal pagi hingga ke malam. Begitu juga medan selera yang berdekatan di mana diperhatikan bukan sahaja persekitaranya juga daif tetapi kebersihan juga seolah-olah tidak layak lagi ditempatkan di sebuah bandaraya yang besar saperti Ipoh,ibu negeri Perak ini. Gerai-gerai di sini pun diperhatikan tidak mempamerkan harga setiap menu makanan yang dijualkan.

Sudah sampai masanya Bandaraya Ipoh perlukan perubahan terutama sekali tempat-tempat tumpuan awam saperti stesen bas utama yang ketinggalan zaman itu dibinakan terminal bas yang moden dan canggih saperti canggihnya stesen bas Puduraya Kuala Lumpur.Ini termasuklah juga membina medan selera yang bersih dan moden.

Begitu juga perkhidmatan bas untuk laluan disekitar kawasan perbandarannya juga banyak yang sudah ketinggalan zaman dengan kepulan asap yang pekat dan hitam itu bolih mencemarkan suasana sekelilingnya.

Perubahan bandaraya Ipoh begitu ketara dengan warga kotanya semakin bertambah dan padat serta juga Ipoh adalah sebuah destinasi tumpuan pelancungan luar dan tempatan dimana hotel-hotelnya sentiasa penuh setiap masa. Oleh yang demikian Bandaraya Ipoh perlukan suntikan perubahan ketara secara fizikalnya dan infratrukturnya juga perlu diubahsuaikan untuk mengindahkan lagi ibu Negeri Perak Darul Ridzuan ini.

Suasana distesen bas Gopeng seperti kita berada di zaman tahun 60-an ini perlu diubahkan segera dan jika boleh kita mahu melihat terminal stesen bas jika dapat dibina dan menjadi kenyataan kelak seolah-olah kita sedang berada di Bandaraya Ipoh pada tahun 2050.

Hiruk pikuk bunyi bising memengitkan telinga kerana dipusat Bandaraya Ipoh masih lagi terletaknya kem askar,sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi yang mana sepatutnya dipindahkan ke kawasan jauh daripada bandar untuk mengelakkan kesesakan yang melampau. Aliran trafik yang agak kelam kabut juga menjadikan punca kesesakan diwaktu puncak.

Dalam pada itu pula Masjid Negeri di tengah-tengah Bandaraya Ipoh juga perlukan pembesarannya kerana tidak lagi mampu jemaah yang semakin meningkat dan Masjid itu sendiri nampaknya kekurangan tempat letak kereta bagi jemaah untuk menunaikan solat.

Friday, October 7, 2011

Raja Perempuan Perak, Raja Muzwin, mangkat

Saff kepimpinan Dewan Muslimat PAS Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kerabat Diraja Perak di atas kemangkatan Raja Perempuan Perak Raja Muzwin Raja Ariff Shah, balu kepada Almarhum Sultan Idris Shah II, di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam.

Jurucakap Istana Iskandariah berkata bonda kepada isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah itu mangkat pada pukul 4.20 petang.

Jenazah Almarhumah dibawa ke Istana Riswin di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak malam semalam dan akan disemadikan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak selepas solat Jumaat hari ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.