Monday, March 29, 2010

JOM IKTIRAF DEMONSTRASI RAKYAT

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad petang ini seakan mengajak Dewan Rakyat supaya bersetuju dengan tindakan rakyat menyuarakan pandangan melalui demonstrasi di jalan raya.

Beliau dilihat demikian ketika mengulas tindakan kerajaan menangguhkan bacaan rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk kali yang kedua pada 16 Mac lalu disebabkan rakyat nekad berdemonstrasi di pekarangan bangunan Parlimen.

"Saya yakin bukan saja perbahasan (di Dewan Rakyat) ditangguhkan kerana rakyat mengadakan perhimpunan (di Parlimen), kalau rakyat meneruskan niat berhimpun, perlaksanaan GST pun tidak mustahil boleh terus dibatalkan," jelas beliau di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, apabila rakyat bertekad mahu berdemonstrasi membantah GST, kerajaan nampaknya menilai cuba mengambil langkah berundur dengan kembali mendapatkan pandangan daripada rakyat.

Tindakan kerajaan itu, menurut beliau, membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengambil kira pandangan umum rakyat dalam sebarang polisi pentadbiran yang mahu dilaksanakan di tanah air.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa hairan dengan tindakan kerajaan menghalang rakyat daripada terus mempertikai dakwaan kes liwat yang membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kaedah demonstrasi di jalan raya.

Katanya lagi, kerajaan tidak perlu menghalang aksi-aksi rakyat yang berhimpun secara aman menyokong Anwar.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan mempunyai keupayaan yang lebih baik dengan menggunakan media-media arus perdana untuk mengenakan Anwar.

Pun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa punca kerajaan berbuat demikian mungkin disebabkan mereka sendiri yakin bahawa rakyat tidak percaya dengan perencanaan yang dikenakan ke atas Anwar.

Sunday, March 28, 2010

PAS YAKIN PR PERTAHAN PARLIMEN HULU SELANGOR

TEMERLOH, 27 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan akan dapat memenangi semula kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat di samping terlalu banyak isu yang semakin membebankan Umno/BN.

Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor dijangka akan diadakan dalam masa terdekat berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, malam semalam.

Tuan Ibrahim (gambar) yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengulas perkembangan semasa dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang selepas mempengerusikan mesyuarat PAS negeri, sebentar tadi berkata banyak isu yang berlaku menyulitkan Umno untuk menjawabnya.

“Banyak isu yang sedang berlaku sekarang membelenggu Umno. Kita ada tiga isu besar yang membabitkan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu 1Malaysia 1Israel dan isu lompat parti. Isu ini akhirnya menjadi beban kepada mereka. Kesemua isu ini akan kita dedahkan dan Umno begitu sulit untuk menjawabnya.

“PAS yakin apa yang diusahakan kerajaan Selangor selama dua tahun selepas pemerintahannya akan berjaya mempengaruhi pengundi,” katanya.

Ketika ditanya kesan daripada beberapa wakil rakyat melompat parti akan digunakan oleh Umno untuk berkempen, Tuan Ibrahim berkata PR tidak bimbang memandangkan wakil rakyat melompat tidak mempunyai pengaruh.

“Masa mereka keluar pun tak ada orang yang nak ikut. Mereka tak ada pengaruh sebaliknya isu itu akan membebankan Umno,” katanya.

Friday, March 26, 2010

JANGAN SALAHKAN RAKYAT,UMNO LAGI LE TERUK....

KUALA LUMPUR, 26 Mac: Umno tidak perlu menyalahkan rakyat sekiranya mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak sebelum ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Muhammad Nizar Jamaluddin berkata, Umno sendiri pun seolah-olah mengajak rakyat mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam isu kalimah 'Allah'.

"Saya sendiri berasa pelik, apabila Hakim Lau Bee Lan yang memutuskan bahawa suatu akhbar (mingguan The Herald) boleh menggunakan kalimah Allah, tak lama selepas itu seolah-olah wujud suatu usaha untuk tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah," jelas beliau malam tadi di Dewan Rakyat.

"Ia menggambarkan seolah-olah Umno juga membantah keputusan mahkamah seperti di Mahkamah Persekutuan."

Disebabkan itu, beliau yang juga Menteri Besar Perak pada era Pakatan Rakyat merumuskan bahawa Umno juga seolah-olah mengajak rakyat supaya tidak sebulat-bulatnya bersetuju dengan keputusan yang di buat di mahkamah.

Tambah beliau lagi, Umno juga sama ada sedar atau tidak sebenarnya sedang mendidik rakyat supaya menentang keputusan mahkamah yang dianggap tidak memberi kepentingan politik kepada mereka.

Disebabkan keputusan mahkamah yang acapkali dipertikai kerana oleh rakyat, Pakatan Rakyat dan Umno sendiri, beliau berkata, negara juga akhirnya turut mendapat impak berantai yang negatif.

Maka, beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, sindrom pelabur meninggalkan negara berlaku dalam skala yang membimbangkan.

Ujarnya lagi, mereka tidak mahu melabur di Malaysia, khususnya di Perak mungkin disebabkan mereka tidak percaya dengan tahap integriti dan kebebasan mahkamah di Malaysia.

Dari maklum balas oleh beberapa pelabur asing yang ditemui di United Kingdom, beliau berkata, dunia luar belakangan ini berasa sangsi dengan institusi kehakiman negara.


Hatta, menurut beliau, sekiranya berlaku pertelingkahan dalam dunia korporat, pelabur-pelabur asing terbabit tidak rela membawa kes mereka ke mahkamah tempatan.

Sebaliknya, menurut beliau, mereka yang terbabit lebih rela membicarakan kes masing-masing di luar negara, termasuk di Singapura.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya memulihara semula tahap integriti dan kebebasan mahkamah tempatan kerana dengan berbuat demikian sekaligus menggalakkan pelabur asing kembali berlabur di Malaysia.

SALAM TAKZIAH

Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (gambar) meninggal dunia jam 9.30 malam ini selepas mengalami barah otak sejak sekian lama.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.

Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari.

Thursday, March 25, 2010

TAZKIRAH:PERJALANAN DUNIA DESTINASI AKHIRAT



Kehidupan dunia adalah sementara yang merupakan persinggahan yang pasti dilalui. Dunia ibarat lapangan peperiksaan kita selepas menempuh satu pengajian yang lama ketika berada di alam roh dan rahim. Peperiksaan ini harus ditempuhi sama ada kita bersedia atau sebaliknya. Bagi mereka yang peka dan tahu apa yang harus dilakukan, semestinya telah membuat persediaan rapi dari awalnya lagi, agar setiap jawapan yang dicoret akan menghasilkan nilai yang tinggi, dan seterusnya mendapat tempat di menara gading iaitu Syurga.

Aturlah kehidupan dari sekarang, jangan terlopong kekosongan antara liang-liang usia meninggalkan bekas kekotoran akibat perbuatan tangan sendiri. Degil kekotoran sukar dibasuh, apatah lagi menanggalkan jejaknya. Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana dirasakan kita tidak mampu mengubah apa-apa, sedangkan perubahan tersebut bukannya sekejap, tapi kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun.

Manusia yang bertemu Allah swt dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia. Kejayaan di dunia hanya sebuah perjalanan, bukannya destinasi abadi kita. Carilah Dia.

BAGAIMANAKAH CARANYA?

Ilmu Tauhid adalah ilmu mengenal Allah swt. Dengan memahami ilmu sains, kefahaman kita kepada Allah swt akan menjadi lebih berkesan, sebagaimana contoh orang purba pun pandai membuat rumah, tetapi dengan sains dan teknologi, teknik membuat rumah menjadi lebih berkesan dan menghasilkan rumah yang jauh lebih baik. Kalau pemikiran kita terbuka kepada manhaj ilmu sains (akal rational), insha-Allah, kewujudan Allah swt akan menjadi lebih bermakna pada kita sebagai muslim dan mukmin.

Kesubjektifan sesuatu perkara diukur dari pengetahuan asal dan pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang. Sebagaimana Allah swt mengajar Nabi Nuh as supaya berdoa memohon daripada meminta sesuatu yang tidak diketahui kesan dan akibatnya, begitu juga kita perlu kembalikan pengharapan bagi proses mencerahkan pemahaman agama kita kepada Allah swt. Sudah terang lagi bersuluh, jika Allah swt mahukan kebaikan ke atas seseorang itu, maka akan Allah swt berikan kefaqihan dan kesahihan dalam beragama.

Analoginya, kita melatih kanak-kanak secara perlahan (gradual proses) untuk memahami sesuatu. Berkembangnya pemikiran kanak-kanak bermakna dia mendapat penambahbaikan dari segi pemahaman pada kehidupan. Kiranya kita boleh berinteraksi dengan situasi itu, maka adalah sama situasinya dengan kemajuan untuk mengenal Allah swt, bagi orang dewasa. Ia bekembang dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi, dengan syarat, ada keterbukaan orang yang beranggapan itu.

Kalau dilihat sebagai 'instruction manual', penulis kira kesemua sistem ini akan menerangkan bagaimana hendak mendapatkan manfaat terbaik dari sesuatu, iaitu dengan mengenalnya dan menggunakannya. Apabila telah mengenalnya barulah timbul rasa hormat dan kemahuan menjaga mengikut panduan yang diberikan. Oleh itu tujuan hidup lebih kepada mengenal-Nya dan kemudian mengabdikan diri kepada-Nya setelah mengenal. Awal agama itu ialah mengenal Tuhan. Islam adalah agama wahyu. Bukan berlandaskan rasional akal dan kajian saintifik semata-mata, namun Islam amat menggalakkan penganutnya menggunakan seluruh anugerah akal demi membangunkan tamadun manusia.

Ilmu dan pengetahuan menjadikan Adam terpilih untuk memimpin bumi ciptaan Allah. Faqih dalam agama adalah asas dan tunjang, juga bertindak sebagai pengawal kepada gelojohnya nafsu dan pemikiran yang tersasar.

MUHASABAH

Sibukkanlah diri dengan amal yang memberi saham kepada kita, usah dikira habuannya di dunia, lebih penting menjadi baucer kita bertemu Tuhan di destinasi terakhir kelak, yaumul akhirah. Tiada pelaburan yang lebih baik berbanding pelaburan akhirat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” (As-Saff,61:10-11)


Dari: iLuvislam

Wednesday, March 24, 2010

TURUNKAN BN CEPAT UNTUK MEMBENDUNG JENAYAH

TELUK INTAN, 24 Mac: Kejadian pembunuhan di negara ini semakin menjadi-jadi, nyawa manusia seolah-olah tidak bernilai, inilah yang membimbangkan seluruh rakyat Malaysia sejak BN berkuasa lebih 50 tahun lalu.

Kejadian pembunuhan kejam ke atas Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak merupakan salah satu bukti menunjukkan hidup rakyat negara ini tidak terjamin keselamatannya.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh ketika melawat keluarga mendiang Siva di kediaman mereka di Taman Mawar, Langkap semalam. (Gambar kanan)

Menurutnya, Umno/BN tidak lagi boleh diharapkan untuk menjaga rakyat negara ini daripada sebarang bentuk jenayah, sudah lebih 50 tahun BN berkuasa, jenayah kian bertambah dari hari ke hari.

Oleh itu, rakyat wajar memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat memerintah negara ini agar keselamatan mereka terjamin.

Sementara itu balu mendiang Siva, Puan Kala @ Papa a/p Kandasamy melahirkan rasa amat bangga apabila tiga hari lalu beliau telah dikunjungi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Saya tidak menyangka Tuan Guru akan hadir. Selama ini saya hanya melihat wajahnya di dalam suratkhabar atau di televisyen tetapi hari itu saya dapat bersua muka dan bercakap dengan Tuan Guru," kata beliau.

Pada pertemun itu, Muslimat PAS Pusat telah menyampaian sumbangan kepada Puan Kala.

Sebelum itu, rombongan Dewan Muslimat PAS Pusat telah mengadakan pertemuan dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS Pasir Salak di pejabat dewan itu. (Gambar kiri)

Di dalam pertemuan tersebut, Dr Halimah Ali memuji DHPP Pasir Salak yang telah mempunyai pejabat sendiri.

“PAS menghormati DHPP walaupun mereka berbeza, inilah yang Umno/BN tidak mahu lihat kerana dakyah BN kononnya PAS parti yang pelampau ternyata satu pembohongan dari BN," katanya.

Monday, March 22, 2010

EZAM TIDAK KENAL ANWAR,SEBAB TU DIA KLUK-KLEK(TAU KE MAKNANYA......)

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 22 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor tidak mengenali Anwar sebenarnya.

Kerana tidak kenal itulah menyebabkan sikap beliau berubah-ubah atau kluk-klek, sekejap sokong dan sekejap lagi menentang Anwar.

“Saya pun kenal juga (Anwar Ibrahim). Dia kenal, saya pun kenal. Jadi tak usahlah mendakwa yang pelik-pelik sangat.

“Saya boleh terima nasihat dia, tetapi (jangan) sampai kepada peringkat (seolah-olah) macam saya tidak kenal siapa Anwar Ibrahim. Saya kenal Anwar semasa dia berada dalam ABIM lagi.

“Saya terima nasihat dia (Izam), tetapi saya juga menasihatkan dia jangan banyak ubah pandangan.

“Ini kerana kalau dia kenal Anwar Ibrahim, kenapa dahulu dia mendekati tetapi sekarang kenapa pula dia lawan. Ini menunjukkan dia tidak kenal. Namun saya kenal Anwar Ibrahim dahulu sampai sekarang.

“Izam tidak kenal, sebab itulah dia (bersikap) sekali rapat, sekali marah, itu menunjukkan tidak kenal,” tegasnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Nik Aziz mengulas nasihat mantan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Izam Mohd Nor supaya (Nik Aziz) menjauhi Anwar Ibrahim.

Ini kerana, mengikut dakwaan Izam bahawa dia lebih mengenali siapa dia Anwar Ibrahim.


Bekerjasama dengan Umno laksana memikul biawak hidup" - Haji Hadi


emelCetakPDF

Langkap, 21 Mac: Tuan Guru Dato Seri Haji Hadi Awang menegaskan bahawa PAS tidak akan mengambil kekuatan daripada parti yang berpenyakit; parti yang sedang melalui kelemahan. Beliau juga menganggap bekerjasama dengan Umno adalah laksana memikul biawak hidup.

“Pepatah Melayu mengatakan, kalau memikul biawak hidup, menyakitkan kita, kuku dia, dia gigit kita …lebih baik kita bersendirian, kita lapah biawak, ambil kulit dia tu, boleh tak?” Tanyanya dengan disambut sorak ketawa para penyokong di pejabat Dewan Penyokong PAS di sini tengahari tadi.

Demikian reaksi TGHA terhadap seorang wartawan akhbar bahasa Cina yang bertanyakan samada PAS akan bekerjasama dengan Umno.

TGHA tiba di pekan kecil ini tengahari tadi untuk menyampaikan ucapan takziah dan sedikit sumbangan PAS Pusat kepada keluarga mendiang Siva, Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak yang ditembak mati pada minggu lalu.

Menurut TGHA, PAS sudah berpengalaman bersama dengan Barisan Nasional. Pada tahun 1974-1978, PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional dan telah mengalami pengalaman yang banyak yang menjadi pelajaran kepada PAS.

Beliau menjelaskan, bahawa selagi Umno tidak boleh membuat perubahan, tidak menerima matlamat untuk mengubah sistem kehakiman, mengubah SPR, mengubah amalan demokrasi yang betul-betul demokratik yang adil; kalau Umno tidak sanggup membuat perubahan ini, tidak ada guna PAS mengadakan kerjasama dengan mereka.

“Mereka mesti terbuka untuk mengembalikan Kehakiman,mengembalikan Demokrasi, mengembalikan Kebebasan Media dan mesti dibuktikan dahulu dengan menunjuk sikap yang positif terhadap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dimana mereka rampas royalti Terengganu, yang menafikan royalti Kelantan, yang menafikan hak Pulau Pinang, hak Kedah …,” katanya.

Beliau juga berkata, “Kalau Umno nak bekerjasama , media-media mesti diberikan peluang kepada semua dan tunjukkan dahulu cara-cara yang baik termasuklah Federalisme, yakni konsep Persekutuan mengikut perlembagaan.”

“Tidak ada penunujuk-penunjuk arah yang positif. Bagaimana nak bekerjasama? Apa yang berlaku, makin hari makin merosot,” katanya lagi.

Seorang wartawan akhbar Sin Chew telah memuji kenyataan TGHA tersebut dengan mengatakan bahawa kaum Cina dan India tentu akan bertambah yakin terhadap apa yang dinyatakan itu, Tuan Guru menjawab :

“Ya, supaya kaum India dan Cina melihat kerajaan kita di negeri-negeri Pakatan Rakyat apa yang kita buat walaupun kita menghadapi pelbagai kepayahan, kita laksanakan seboleh mungkin yang kita buat.

Kepada pertanyaan wartawan yang sama , mungkinkah kaum Cina , India dan bukan-Muslim diterima terus menjadi ahli PAS selepas ini? Tuan Guru berkata:

“Ya, kita telah membuat satu anjakan paradigma dengan memasukan peruntukan di dalam perlembagaan PAS, menubuh Dewan Himpunan Penyokong PAS dan menjadikannya sebagai satu cabang daripada PAS.

Berita asal: alhusseyn51.blogspot.com


PRESIDEN PAS ZIARAH KELUARGA MENDIANG SIVA DI LANGKAP





LANGKAP, 21 Mac - Prihatin terhadap pembunuhan kejam Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, mendiang Siva maka Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah meluangkan masa menziarahi keluarganya di Langkap tengah hari tadi.


Ketibaan Tuan Guru Presiden disambut oleh pimpinan PAS Perak.

Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Presiden PAS telah hadir ke rumah keluarga Siva di Taman Mawar, Langkap. Kehadiran Tuan Guru Presiden dan isteri telah disambut oleh Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak merangkap YDP PAS Pasir Salak Ustaz Mustafa Shaari, YB Haji Zainuddin, YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, pimpinan Dewan Pemuda PAS Perak, pimpinan Dewan Muslimat Perak, pimpinan DHPP dan pimpinan PAS tempatan.


Balu mendiang Siva bersama pimpinan Dewan Muslimat Negeri Perak.




Ustaz Abu Bakar berbincang dengan YB Haji Zainuddin dan YB Hj. Anuar.

Tuan Guru Presiden PAS telah berpeluang bertemu dengan isteri dan anak-anak mendiang Siva. Beliau telah mengucapkan takziah atas nama PAS Pusat atas kematian mendiang Siva beberapa hari yang lalu.

Kemudian, Presiden telah mengadakan pertemuan dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri di Pejabat DHPP Pasir Salak di Pekan Langkap.

Dari blog Intan Hijau...terima kasih

Wednesday, March 17, 2010

PIMPINAN DAN WAKIL RAKYAT PAS MENZIARAHI KELUARGA SDR. SIVA



YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa menenangkan perasaan anak mendiang Siva.

LANGKAP, 16 Mac - Kira-kira pukul 3.30 petang, mayat Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Perak, mendiang Siva telah tiba di rumahnya di Taman Mawar, Langkap. Ketibaan mayat mendiang Siva telah disambut oleh beberapa orang pimpinan dan wakil rakyat PAS.


YB Dato' Wan Abdul Rahim dari Kelantan turut hadir.


YB Ustaz Nasir Zakaria dari Kedah juga mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengucapkan takziah.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Parit Buntar YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Parlimen Jerai (Kedah)YB Ustaz Nasir Zakaria, YB Dato' Hj. Wan Abd. Rahim Wan Abdullah (Kelantan), YB Haji Zainuddin Yusuf, YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Mustafa Shaari dan lain-lain pimpinan PAS tempatan.

Di samping itu, turut hadir ialah YDP PAS Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik, Ketua DHPP Perak Sdr. Surianarayanan, Ketua Dewan DHPP Teluk Intan Sdr. Hacharan Singh (Ram), Sdr. Richard Wong serta beberapa orang pimpinan DHPP.




Dato' Wan Rahim menyampaikan sumbangan kepada balu mendiang Siva.


Dr. Mujahid mengucapkan takziah kepada balu mendiang Siva.

Turut hadir ialah pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat iatu Sdr. Khairul Faizi, Ketua Lujnah Perpadan Nasional DPP Pusat.

Dr. Mujahid turut bersama-sama mengusung keranda mayat mendiang Siva dibawa masuk ke dalam rumah. Kesemua pimpinan dan wakil rakyat PAS telah bertemu dan mengucapkan takziah dan simpati kepada balu mendiang Siva. Mereka juga telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada isteri mendiang.


Wakil muslimat turut hadir menziarahi balu mendiang.

Mendiang Siva telah meninggalkan lima orang anak. Anak ketiga mendiang bernama Viji, 25 tahun sehingga kini masih trauma akan kejadian tersebut kerana peristiwa kejam itu telah berlaku di depan matanya ketika dia membantu bapanya mencuci kereta di kedai bapanya.


Dr. Mujahid membuat kenyataan media. Di sebelah beliau ialah ADUN Changkat Jong YB Haji Mohd. Anuar Sudin.

Di dalam kenyataan bersama media, Dr. Mujahid meminta pihak berkuasa khusus polis dapat menjalankan siasatan segera dan rapi sehingga tertangkapnya pembunuh kejam itu. Beliau juga turut berjanji bahawa PAS Pusat melalui Lujnah Perpaduan Nasional akan membantu keluarga mendiang Siva. Bagi beliau, Sdr. Siva merupakan seorang pemuda yang berani dan rajin dalam melakukan kerja parti.

Dr. Mujahid juga berharap pembunuhan kejam ke atas Ketua Pemuda DHPP Perak ini bukan bermotifkan politik. Namun jika jelas ia bermotif politik beliau meminta tindakan tegas patut diambil.

Mengulas tentang pembunuhan itu juga, beliau meragui akan tahap keselamatan rakyat pada masa kini. Kejadian pembunuhan Sdr. Siva membuktikan bahawa rakyat negara ini pada bila-bila masa terdedah kepada risiko nyawa rakyat terancam. Beliau berharap pihak polis dapat mempertingkat tahap keselamatan dalam negara agar peristiwa malang ini tidak berlaku lagi.



YB Ustaz Nasir pula merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Siva bagi mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat. Begitu juga dengan YB Dato' Wan Abdul Rahim menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mendiang.



Bagi YB Haji Zainuddin, beliau tidak pernah melihat suasana di mana rumah orang India yang kematian telah dihadiri orang ramai berbilang kaum seperti hari ini. Kehadiran orang Melayu, Cina dan India untuk menziarahi keluarga mendiang Siva membukti bahawa suasana sedih dan terharu ini turut dirasai bersama oleh kaum Melayu dan Cina walaupun yang matinya seorang India.



Bagi Ustaz Mustafa Shaari, sebagai mewakili PAS Perak pula berkata Pesuruhjaya Perak dan DS Hai Nizar akan menziarahi keluarga mendiang Siva apabila mereka kembali dari lawatan ke negara Arab dan UK nanti.

Beliau yang juga merupakan YDP PAS Pasir Salak, merakam ucapan takziah kepada keluarga mendiang Siva. Sepanjang bekerja bersama Sdr. Siva, beliau memuji akan kerajinan dan keberanian mendiang. Beliau amat-amat menghargai segala jasa yang dicurahkan oleh mendiang.


Van jenazah tiba dari Ipoh.


Dr. Mujahid Yusuf Rawa bersama-sama orang ramai mengusung keranda.

ar_rawa

TAKZIAH KEPADA KELUARGA SIVA

DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI PERAK MERAKAMKAN UCAPAN TAKZIAH KEPADA AHLI KELUARGA MENDIANG PANTHIAN A/L PATHCAMUTHU @ SIVA, KETUA PEMUDA HIMPUNAN KELAB PENYOKONG PAS PERAK ATAS PEMERGIAN TRAGIS BELIAU PADA 15 MAC 2010 YANG LALU.

DEWAN MUSLIMAT NEGERI PERAK MENGHARAPKAN KELUARGA MENDIANG BERSABAR DAN TENANG MENERIMA DUGAAN INI.

Monday, March 15, 2010

TAKZIAH UNTUK CIK SALMAH AHMAD,BENDAHARI DMPN PERAK

Assalamualaikum.

Dewan Muslimat PAS Perak mengucapkan takziah kepada Cik Salmah Ahmad, Bendahari DMPN Perak diatas kembalinya kerahmatullah adinda yang dikasihinya.

Didoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dikalangan hambaNya yang dirahmati.

Al Fatihah.


MAYAT PELAJAR MATI LEMAS DI SUNGAI PERAK DITEMUI

KUALA KANGSAR, 15 Mac — Mayat pelajar yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Perak berhampiran Kampung Bekor, Manong di sini semalam ditemui hari ini.

Mayat Muhammad Addy Khairuddin Maidin, 16, ditemui tersangkut di celah pokok buluh oleh Unit Penyelam Pasukan Bomba dan Penyelamat kira kira pukul 10.20 pagi, 500 meter daripada tempat mangsa mandi.

Pelajar Sekolah Menengah Perimbun, Cheras, Kuala Lumpur itu dikatakan mandi di Sungai Perak bersama dua rakannya kira kira 5.30 petang apabila mangsa dikatakan tiba-tiba dihanyutkan arus deras dan hilang.

Rakan-rakannya pula berjaya menyelamatkan diri dan memberitahu penduduk kampung yang kemudiannya memaklumkan kejadian tersebut kepada polis, kata Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghafar Mohamad.

“Operasi mencari dan menyelamat segera diadakan selepas kejadian tetapi ditamatan pada 8 malam kerana cuaca gelap. Operasi disambung pagi ini yang kemudiannya menemui mayat mangsa tersangkut di celah rimbunan pokok buluh,”

katanya.

Muhammad Addy Khairuddin yang berasal dari Kajang, Selangor dikatakan mengikut keluarganya balik bercuti sekolah di kampung tersebut.

Mayatnya dijangka dituntut oleh keluarganya di Hospital Kuala Kangsar hari ini untuk dikebumikan di Kajang, Selangor. — Bernama

Saturday, March 13, 2010

MEMANG DAH TERBUKTI: PRESTASI 4 NEGERI PAKATAN YANG TERBAIK

SEBERANG JAYA, 13 Mac: Rakyat digesa memandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat untuk memajukan negara kerana empat buah negeri yang diterajui selepas menang pada pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi dan mampu melakukan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, BN nampak sahaja selesa mentadbir tetapi sebaliknya diseliputi keresahan dalaman apabila berbagai isu melanda.

"Rakyat kena pandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat, usah lagi bersama BN yang nyata lemah dalam pentadbiran. Nampak saja selesa tapi penuh dengan resah dan musibah, " terangnya dengan diiringi laungan reformasi dan Allahu Akbar.

Menurutnya, pilihan raya umum yang dijangkakan berlaku dua tahun lagi memerlukan perubahan yang lebih luas supaya Pakatan Rakyat tidak lagi menjadi pembangkang.

Namun, katanya bagi memastikan kuasa BN mantap, mereka akan berusaha melaksanakan program pendekatan seiras dengan apa yang dibuat menerusi Pakatan Rakyat kerana pendekatan BN yang lalu tidak lagi releven dan menjadi bahan ditertawakan rakyat.

Sehubungan itu, tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, BN sepatutnya akur dengan kehendak rakyat yang telah menyatakan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat di setiap pilihanr aya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

"Prestasi Pakatan Rakyat memang tinggi pada masa ini manakala nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjunam teruk. Itulah yang menggerunkan Umno dan BN, " jelasnya.

Justeru, beliau meminta rakyat melihat apa yang terjadi kepada kes Altantuya, pembelian kapal selam, kehilangan enjin jet, gejala rasuah, masalah dadah, moral remaja dan seumpamanya yang semua tidak dapat diselesaikan oleh pemerintahan BN.

Menurutnya, kepimpinan BN yang ada hanya pandai bercakap tetapi tidak pula bijak bagi menanganinya dengan baik kerana mereka lebih gemar bersandiwara, suka menipu dan bercakap bohong.

“Maka, rakyat yang mempunyai kuasa mutlak kena bekerja untuk menghindarkan BN daripada terus menjahanamkan negara ini.

"Jika rakyat tidak mahu melihat negara ini hancur ekoran ketidakcekapan pemerintahan, tiada jalan lain mereka hanya perlu memangkah parti dalam gabungan Pakatan Rakyat di samping berdoa mengikut agama masing-masing. Mudah-mudahan apa yang terjadi dapat diselamatkan," katanya lagi.

Thursday, March 11, 2010

KENAPA RAKYAT PERLU BOSAN DENGAN UMNO-SALBIAH WAHAB

Kes penderaan kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini menjadi-jadi. Selepas satu kejadian dilaporkan, terdengar satu lagi kejadian. Ia seperti menjadi satu ‘pandemic’ dan trend yang boleh dianggarkan berlaku.

Beberapa cadangan dan pendekatan telah dikemukakan bagi mengatasi gejala penderaan kanak-kanak. Segala saluran dan medium digunakan bagi menunjukkan keseriusan gejala ini hendak dibenteras. Kes penderaan ini telah mencapai tahap pengetahuan maksima, iaitu dibawa ke pengetahuan Kementerian Wanita, Polis, mahkamah malahan akhbar dan media elektronik telah memainkan peranan.

Bermakna umum telah mendapat maklumat terperinci kes-kes kejadian penderaan ke atas kanak-kanak. Akhbar dan televisyen telah menceritakan dan mendedahkan gejala ini. Ditambah dengan arahan baru oleh Kementerian dan pihak berkuasa polis yang mahu dilaporkan kejadian yang serupa sekiranya anda mempunyai maklumat kejadian kes-kes penderaan.

Tetapi, kalau polis tahu, apa polis boleh buat? Mengambil contoh, dalam kejadian Makan Malam Menyambut Ulang Tahun ke-2 Pakatan Rakyat Peringkat Wilayah Persekutuan, bilangan polis yang ramai telah dikerah bertugas di tempat makan malam.

Polis telah mengganggu majlis aman penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di premis persendirian dan polis juga yang telah memukul beberapa pemuda yang berada di majlis tersebut. Jadi, ini adalah kes penderaan oleh polis.

Kerajaan Umno BN juga melakukan beberapa penderaan ke atas rakyat. Kerajaan Umno BN telah menjalankan dan akan mengumumkan beberapa lagi perkara-perkara penderaan ke atas rakyat, kerana memenuhi slogan 'rakyat didahulukan' dalam merasai kesempitan dan penganiayaan.

Dengan menamatkan bantuan kepada sekolah-sekolah Agama Rakyat adalah satu bentuk penderaan kerajaan kepada rakyat. Menyekat bantuan yang sepatutnya diterima oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat adalah juga penderaan kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri. Yang paling jelas lagi ialah sikap Kerajaan Pusat yang tidak mahu membayar royalti minyak kepada rakyat Kelantan adalah menifestasi penderaan kerajaan Umno BNBn kepada rakyat terbanyak.

Apa yang boleh kita setujui apabila Perdana Menteri Malaysia menyatakan ‘kejadian penderaan ke atas kanak-kanak tanda institusi rumah-tangga rapuh’. Benar ini adalah kesan dari institusi rumah tangga yang rapuh dan penyakit sosial yang ‘pandemic’ dan meruncing seperti barah.

Tetapi kejadian seperti ini ada hubung kaitnya dengan kerajaan. Kehidupan dan tahap sosio-ekonomi rakyat adalah hasil daripada rakyat yang tidak mendapat cukup pembelaan oleh kerajaan. Dikala hendak mencari makan sesuap nasi pun susah bagi golongan yang berpendapatan rendah, ditambah dengan pelbagai cukai yang akan dikenakan Kerajaan kepada rakyat, kesemua ini memberi dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Rasulullah saw pernah bersabda: ‘Rakyat mengikut agama pemimpin’. Apakah ini benar dalam kes penderaan kanak-kanak yang dibunah, rakyat mengikut corak pemikiran dan apa yang dilakukan oleh pemimpin?

Memang bukan jalan penyelesaiannya mendera, menyeksa, menyakiti dan akhirnya membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa. Tetapi masalah kehidupan yang serba tidak mencukupi boleh mengheret kepada kehidupan tidak tenang dan menyebabkan fikiran terganggu dan lebih teruk lagi mengakibatkan gejala mental yang serius.

Rakyat juga telah bosan dengan pemimpin kerajaan yang turun padang bertemu dan bersalaman dengan rakyat, kemudian dihidangkan makan nasi kawah. Pegang cangkul 3-saat untuk dirakam oleh juru kamera kemudian disiarkan di dalam surat khabar atau televisyen.

Tambah bosan lagi, bila berucap, mengumumkan akan memberi peruntukan yang besar kepada satu-satu kampung. Bertepuk-bersorak orang kampung akan dapat wang besar yang diberi oleh pemimpin UMNO-BN.

Tapi, bila nak dapatnya? Tunggulah pilihanraya, nanti akan diumumkan lagi. Bila!!? Pemimpin ini akan berkata, ‘Itu janji pilihanraya!’.

Mungkin ramai juga yang tidak bosan dengan pemimpin yang sedemikian. Malahan memuji dan mengikut sikap pemimpin. Kerana pemimpin seperti itu adalah buktinya ‘Pemimpin berjiwa rakyat’. Maka sebab itu pemimpin disanjung-sanjung…manalah tahu boleh dapat projek besar. Kerana pemimpin yang berjiwa rakyat akan bersaing dengan rakyat untuk mendapat projek besar, tapi ‘of course’ pemimpinlah dapat.

Hadith Rasulullah saw bersabda mengenai pemimpin: Sebaik-baik pemimpin adalah kamu mengasihi mereka dan mereka (pemimpin) mengasihi kamu. Kamu berdo’a untuk mereka dan mereka mendoakan kamu, dan begitulah sebaliknya.

Adakah ciri ini ada pada pemimpin Umno BN atau ciri ini sesuai untuk kerajaan Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat? Diharap rakyat Malaysia boleh memikirkan hal ini.

Maka, tanggungjawab kerajaan Umno BN yang memerintah adalah memikirkan kebajikan rakyat secara holistik. Kerajaan Umno/Bn mesti memikirkan kebajikan rakyat. Sehingga kini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak masih belum mengumumkan apa-apa hadiah istimewa kepada rakyat terbanyak. Setakat yang berunsur ‘political mileage’ ada.

Berbanding dengan negeri Pakatan Rakyat yang hanya baru 2 tahun memerintah telah mampu mengumumkan beberapa kemudahan dan keistimewaan untuk rakyat di negeri Pakatan Rakyat. Bantuan kebajikan untuk rakyat terbanyak menjadi agenda Kerajaan Pakatan Rakyat. Contohnya: air percuma sebanyak 20 meter padu untuk rakyat Selangor. Berbeza dengan Umno. menswastakan air dan kos ditanggung oleh rakyat.

Maka sudah sampai masanya rakyat menukar kerajaan di negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan yang ada ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Tidak kira bila masanya, berlaku sahaja pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, kotakan janji anda, pilihlah Kerajaan Pakatan Rakyat untuk kesejahteraan Malaysia dan rakyat seluruhnya.

* Salbiah Abdul Wahab adalah Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat

Wednesday, March 10, 2010

10 DIBEBAS SELEPAS 10 TAHUN DIDAKWA

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Sehari sebelum genap 10 tahun pendakwaan dibuat ke atas mereka kerana mengadakan demo membantah sekatan permit yang dikenakan ke atas akhbar Harakah, Mahkamah Majistret membebaskan kesemua tertuduh.

Mereka dibebas dan dilepaskan selepas saksi dari pasukan polis tidak menghadiri perbicaraan yang sepatutnya diadakan pada hari ini.

Yang dibebas Tian Chua, Sivarasa Rasiah, Hishamuddin Rais, Zulkefli Anwar Ul Haq atau Zunar, Munir, Mona Sofian, Nora, Malik Husin, Ansari, Lokman Nor Adam.

Seorang lagi tertuduh, Omar Tan telah meninggal ketika kes masih berjalan.

Esok 11 Mac genap 10 tahun pendakwaan ke atas mereka dikenakan.

Kesemua mereka ditangkap di perkarangan Masjid Negara kerana mengadakan demonstrasi aman membantah sekatan yang dikenakan Kementerian Dalam Negeri ke atas permit Harakah pada tahun 2000 lalu.

Harakah yang diterbitkan dua kali seminggu sebelum itu telah dibenarkan terbit dua kali sebulan sahaja mulai Mac 2000.

Ia dipercayai dibuat selepas PAS menang besar dalam pilihan raya umum 1999 iaitu mendapat dua negeri, Kelantan dan Terengganu, di samping 27 anggota Parlimen.

UCAPAN HARI WANITA DARI YB DR LO' LO' MOHD GHAZALI


Kesibukan menguruskan kawasan parlimen dan juga menyantuni keluarga dekat dan jauh menyebabkan saya agak terlalai dengan kedatangan hari yang agak penting kepada kaum Hawa yakni Hari Wanita Sedunia yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun. Banyak yang berlaku minggu ini.

Keluarga terdekat yang perlukan pemeriksaan intensif Doktor Pakar Jantung, anak yang baru memulakan karier sebagai seorang Doktor Pelatih, anak menantu yang balik setelah merantau 6-7 tahun di negara orang, cucu yang semakin nakal dan menuntut perhatian, majlis perkahwinan anak saudara serta anak sahabat handai.

Kematian yang perlu diziarahi, orang sakit dan terlibat kemalangan yang perlu dilawati, mesyuarat2 dan perbincangan2 yang perlu dikuti, aduan2 rakyat yang perlu ditangani. Apatah lagi dengan ribut yang ditimbulkan beberapa rakan yang tiada daya tahan dalam perjuangan ditambah dengan goncangan serta kocakan dari pihak lawan yang menyerang kiri dan kanan.

Pagi2 saya telah menerima ucapan2 mendoakan kesejahteraan sempena Hari Wanita SeDunia hari ini 8 Mac. Saya percaya ramai wanita Malaysia yang tidak menyedari kerana sering diraikan pada 25 Ogos yang dikatakan sebenarnya adalah hari penubuhan wanita umno.

Itu bukanlah isunya disini, kerana saya kira ada banyak isu-isu yang perlu diambil perhatian dalam memperkatakan tentang wanita khususnya wanita Malaysia kini.

Kejadian pembuangan bayi, penderaan terhadap kanak-kanak sehingga maut, masalah ragut yang mencedera dan meragut nyawa, jenayah kekerasan rogol dan pemerkosaan terhadap wanita semakin menjadi2 dan menakutkan. Wanita sering menjadi mangsa, malah ahli keluarga sendiri boleh menjadi pemangsa.


Kejayaan dan penguasaan wanita dalam dunia pekerjaan juga kini dipersoalkan. Apakah hukum 'merit' tidak terpakai bila melibatkan kaum hawa? Wanita adalah gender yang rajin bekerja, sanggup berkorban dan sedia berkhidmat walaupun ada beberapa pengecualian.

Buktinya di Malaysia pusat2 Pengajian Tinggi terpaksa merendahkan markah kemasukan pelajar lelaki bagi menyeimbangkan peratus siswa dan siswi. Namun begitu dalam dunia pekerjaan wanita seringkali menghadapi dilema antara kepentingan karier dengan keutamaan keluarga.

Proses mengandung, melahirkan dan menyusukan anak sama mencabar dengan 'dateline' di pejabat. Malangnya proses fitrah ini dipersoalkan, sedangkan proses ini adalah merupakan sebahagian dari sumbangan wanita kepada negara iaitu melahirkan modal insan yang berkualiti.

Wanita muda sering terperangkap dengan proses biologi dan fitrah ini sehingga menjadi mangsa kepada kejahilan dan nafsu menggila yang tidak terkawal. Maka lahirlah sikecil yang tidak diperlukan dan dibenci.

Dibuang di tong2 sampah, dinyah dalam aliran sungai, ditinggalkan tepi surau dan to'kong. Dibakar, dipotong2 malah dicampak dari tingkat atas flat. Bayi tidak berdosa, yang berdosa adalah ibu dan jangan lupa bayi ini lahir dari benih seorang lelaki yang bernama bapa yang berdosa.

Kita sering lupa bahawa setiap bayi yang dicampak, bapanya ada diluar sana. Bapanya mungkin tahu mungkin tidak tahu atau memang tidak mahu ambil tahu. Disini peranan wanita sebagai ibu , sebagai guru penting untuk mengingatkan anak lelaki, pelajar lelaki bahawa setiap benih yang mereka tumpahkan dalam rahim wanita disitu ada kemungkinan akan tumbuh nyawa yang akan menuntut pembelaan.

Para bapa lagi amat penting dan sangat penting untuk menjadi tauladan kepada anak2 lelaki, mengingatkan mereka tentang kedudukan lelaki yang Allah martabatkan sebagai pelindung dan pemimpin kepada wanita dan zuriat mereka.

Kejadian pembuangan bayi yang berleluasa memerlukan pendekatan yang berbeza untuk ditangani. Sudah pasti sistem atau model (sibghah) yang dinukilkan melalui Kalimah Allah yang Maha Pencipta adalah yang terbaik.


Meskipun tanggung jawab membina keluarga adalah kewajipan yang perlu dikongsikan antara ibu dan ayah, namun realitinya wanita sendiri sebagai ibu menyanggupi peranan ini kerana naluri keibuan begitu tebal dan meruntun pengorbanan.

Kaum lelaki Allah beri peranan yang lebih besar dan lebih mencabar yakni memandu, menyara dan memastikan kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat dibawah pengawasan dan pengurusannya. Perkongsian pintar ini akan menjana keluarga berkualiti yang merupakan unit2 kecil yang akan menghasilkan satu masyakat bertamaddun atau masyarakat madani.

Tunjang kepada pembentukan masyarakat madani adalah Taqwa atau takutkan Allah atau 'God Fearing'. Hanya dengan keyakinan ini rakyat Malaysia khususnya kaum wanita akan bangkit sebagai masyarakat yang bermaruah.

Masyarakat bermaruah akan memelihara alam sekitar walaupun sibuk membangun mengejar kemajuan fizikal. Masyarakat bermaruah akan menjernihkan kembali sungai2 kurniaan Ilahi yang dicemari sekian lama.

Masyarakat bermaruah menentang jenayah, keganasan dan kezaliman. Masyarakat bermaruah sudah muak dengan diskriminasi dan ketidak-adilan. Masyarakat bermaruah mengangkat martabat wanita sebagai ibu yang mendorong dan mendokong kemajuan seimbang antara fizikal dan kebangunan insan.

Masyarakat bermaruah jijik dan marah dengan rasuah yang merupakan musuh nombor 1 negara. Rasuah ibu segala penyelewengan, ketirisan dan kebocoran dalam sistem pemerintahan negara.

Rasuah menjadikan para suami dan ayah tidak rasa bersalah menghidangkan makanan dan minuman serta perbelanjaan keluarga yang subahat. Rasuah menjadikan pemimpin barang jual beli. "Beli 3 percuma 1" kata Ketua Penerangan PAS. Rasuah menjadikan pengikut barang gadaian.

Rasuah menghancurkan institusi keluarga dan membocorkan keselamatan negara. Wanita wajib menolak untuk disara dengan duit yang jelas tidak halal. Wanita mesti mempunyai kekuatan dan keberanian untuk menolak dan mencantas pemimpin berasuah walau banyak mana pun jasanya. Wanita mesti ada kesungguhan untuk menyatakan TIDAK kepada rasuah.

Namun rasuah di Malaysia ini seperti jualan arak di pasar2 raya. Ada kaunter bayaran barang tidak halal, ada restoran tidak halal. Ada cafe/kopitiam yang jelas tidak halal dan dijauhi oleh Muslim. Ada juga kaunter halal dan restoran halal atau hotel halal, tapi arak dijual beli disitu, dihidang dan dipamirkan.

Ada peminat dan peminumnya yang alpa atau sengaja melupakan hukum haramnya sebab lazat dan sudah biasa. Begitu juga rasuah, peringatan Allah dan RasulNya tentang hukum pemberi dan penerima rasuah ditinggalkan begitu sahaja di mimbar2 masjid. Diluar masjid urusan beri dan terima rasuah terus subur hingga menjunamkan indeks persepsi rasuah negara.


Wanita mungkin dilaungkan dengan gagasan2 hebat sempena Hari Wanita Sedunia hari ini, namun barangkali apa yang diperlukan hanyalah sedikit keinsafan yang lahir dari hati yang suci hasil dari peringatan yang ikhlas, memanjangkan risalah Rasulullah SAW: "Qu anfusakum wa ahliikum naaro". Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka.


Salam kasih sayang dari wanita kepada wanita,
Kami Prihatin 'We Care'

Monday, March 8, 2010

SAMBIL MAKAN...KITA POSING-POSING

Pengerusi majlis yang menceriakan suasana,nak makan pun deme ceria ye...saudari Suzana,Nicole dan Harbhajan Kaur yg digelar jelitawan oleh YB Cheng Mee Meng,kan senang dapat gelaran tu...hanya para model2 aje yg selalu di gelo rupe tu...Tapi harus diingat merekalah model2 Wanita Pakatan Rakyat.
Satu keluarga besar yang sedang menikmati juadah
Sedap ke YB Cheng...ade le cete yang best tu ye.....
Para peserta sedang menjamu selera diwaktu rehat...makan kenyang2 ye..balik nanti jauh...lapo le pulak.
Orang kuat program....Kak Mizan dengan Kak Mazidah...banyak sikit bubuh ye...lapo dah ni.
YB Anuar Sudin..jauh tenung tu YB....kan ape,mane satu nak dimakan dulu ni.
Terpegun YB Siva dengan YB Ming Kai dengo Datuk Ngeh bercerita....ade berita baik ke Yb.
Nak rase kopi dulu le...orang lame yang banyak berjasa...datang dari jauh ,Ustazah Jamilah,mantan Ketua DMP Pusat yang juga senator dulunya.
Seronok kan waktu makan cam ni,boleh tanya2 habo dengan yb2 Pakatan Rakyat ni...deme pun ramah tamah dan spporting.
Time makan..jangan rebut2 ye,masih banyak lagi...bengkang ubi pun ade kome...sedap!!!!!

Sunday, March 7, 2010

PELANCARAN SEKRETARIAT&HIMPUNAN WANITA PAKATAN RAKYAT PERAK : PART 2

Masuk banyak sikit yong...nanti kite boleh buat program lagi gempak.....tabung untuk sekretariat wanita PR dilancarkan semalam,alhamdullilah banyak dapat...terima kasih semua kepada penderma2 yang budiman.
Mereka yang menghadiri program ini masih setia menanti , banyak ucapan2 dan cerita2 baru yang akan dikongsi dengan pimpinan2 PR .
Memberi tumpuan setiap ucapan yang disampaikan,dan moga2 yang hadir ini dapat memanjangkan mesej yang disampaikan pimpinan PR kepada measyarakat yang berada di tempat masing2.
Seragam dan seputih salju,gembira dan tersentuh melihat penyatuan ini.....moga akan ada lagi himpunan yang sebegini.
Berbagai bangsa,lapisan umur ,warna kulit memenuhi dewan di hotel Hillcity ini.
Saf depan dipenuhi tetamu jemputan dari Kuala Lumpur,kelihatan mantan Ketua DMP Pusat Senator Ustazah Jamilah bersama Datin Seri Fatimah Taat.
Dewan dipenuhi oleh semua wanita penyokong PR,tak kira bangsa dan agama,duduk bersebelahan mendengar ucapan dan saling kenal mengenali...ini le baru penyatuan yang sebenarnya,bukan macam 1 Malaysia yang hanya retorik dan lakunan semata2.
Datang dari jauh,YB Rodziah Ismail yang juga Ketua Wanita Nasional PKR mengharapkan tarikh 8 mac nanti dijadikan tarikh sebenar sambutan hari wanita sedunia untuk mengikhtiraf dan memperkasa wanita.Katanya lagi 25 ogos adalah hari wanita umno bukannya hari wanita sedunia.

Beliau sudi berkongsi apa jua pendapat dan rancangan dengan wanita2 di Perak untuk menjalinkan lagi hubungan yang erat serta bertukar2 pandangan antara dua negeri ini.YB Rodziah juga menceritakan kebaikan dan keselesaan yang diberi kepada wanita2 Selangor sejak PR memerintah,antaranya 90 hari cuti bersalin diberi kepada kakitangan awam wanita serta 2 minggu cuti untuk para suami.
Ustazah Salbiah bt Abdul Wahab yang juga Ketua Penerangan DMP Pusat menyatakan bahawa kini rakyat sedang memerhatikan para pimpinan PR,tentang kekuatan, kelemahan dan kerjasama antara mereka.

Kita harus berganding bahu,tidak teragak2 memberi sokongan dan kita mesti yakin dengan perjuangan ini.

Kita semua ini adalah duta PR, yang bersifat oncall,on light dan umpama broadband,kitalah rakyat dikalangan rakyat,impian kita untuk memerintah Malaysia.
Ustazah Bariah bt Alang Sapri dalam ucapan aluannya mengharapkan dengan tertubuhnya Sekretariat ini akan meneruskan lagi kesinambungan semangat setiakawan ketiga2 komponen parti di samping menjadi platform untuk merangka program2 melibatkan wanita dengan lebih tersusun dan berkesan.